Sabtu, 13 Februari 2010

SISTEM PENDIDIKAN ISLAM YANG TELAH HILANG

Posted by [[ afdholul rahman ]]

" Pokok yang kering, gersang tiada manfaat kepada hidupan lain, melainkan menjadi tempat persinggahan burung, manusia yang kering, gersang daripada sistem didikan Islam, tiada manfaat kepada manusia lain melainkan manfaatnya itu sedikit nilainya..."


"Ummat berada dalam jurang kehancuran"

As-Syahid Sayyid Qutb, mujahid Islam telah memulakan tulisannya dalam buku Ma'alim Fit Thoriq (Petunjuk Sepanjang Jalan) dengan kata-kata itu. Pada hari ini, ummat manusia khususunya ummat Islam terdedah kepada jurang KEHANCURAN. Bukannya hancur disebabkan bencana alam, tetapi hancur di sini disebabkan oleh BENCANA yang melanda jiwa, pemikiran dan tingkah laku manusia. Bencana yang menghilangkan kekuatan yang satu masa dahulu adalah kebanggaan bagi orang-orang beriman.

Ummat Islam yang satu masa dahulu pernah menakluki 2/3 dunia, menawan hampir seluruh pelusuk bumi, tapi kini dimalukan dan dihinakan. Kenapa berlaku begini?
Bukankah ummat Islam satu ketika dahulu adalah ummat yang digeruni, disegani dan dihormati oleh musuh? Hari ini sebaliknya yang berlaku pada ummat Islam. Bahkan ummat Islam bukan sahaja lagi tidak digeruni dan dihormati, bahkan dihina, difitnah dan dipijak-pijak.

Inilah bencana yang melanda ummat yang telah dirisaukan oleh Rasulullah s.a.w. dalam satu hadisnya yang mafhumnya bermaksud:

Dari Tsauban r.a. maula Rasulullah s.a.w. baginda telah bersabda:

Akan terjadi keadaaan yang mana ummat-ummat lain akan mengerumuni kalian bagai orang-orang yang makan mengerumuni makanannya.

Salah seorang sahabat bertanya : Apakah kerana kami sedikit ketika itu?

Bahkan kalian banyak ketika itu, tapi kalian bagaikan ghusa' (buih yang dihanyutkan air banjir). Allah telah mencabut rasa takut musuh kalian terhadap kalian dan mencampakkan kepada kalian penyakit al-wahn.

Maka sahabat bertanya : Apakah al-wahn itu, wahai Rasulullah?

Rasulullah menjawab : Cintakan dunia dan takutkan mati.

(HR Abu Daud dan Ahmad)

Bencana yang melanda ummat Islam pada hari ini benar-benar berlaku sebagaimana yang pernah disebut Rasulullah s.a.w. CINTA DUNIA dan TAKUT MATI.

Mari kita lihat dan kaji dengan penuh ketelitian. Kehidupan ummat manusia pada hari ini dibelenggu oleh satu sistem yang bukan lagi SISTEM ISLAM. Hari ini, sistem jahiliyah secara meluasnya digunapakai oleh masyarakat bahkan masyarakat Islam sendiri tanpa disedari.


Makhluk lain pun hidup atas perintah dan sistem yang Allah tetapkan, mereka tidak pernah ingkar, bahkan kalau mereka ingkar, hancurlah alam ini... Kita manusia yang Allah kurniakan kelebihan, adakah kita hamba yang taat?

Sistem pendidikan yang ada pada hari ini tidak dapat melahirkan manusia-manusia yang mempunyai peribadi yang tinggi, sejahtera rohaninya bermanfaat pula kepada agamanya.
Kata seorang ulama' , Sistem yang ada pada hari ini gagal melahirkan dua golongan :

1) Menangis apabila buat dosa
2) Takut apabila menyebut dan mendengar nama Allah

Secara jelasnya, sistem pendidikan Islam sebenar telah hilang dalam masyarakat. Lantaran itu, sistem pendidikan JAHILIYAH menguasai alam.

Pendidikan Islam yang saya maksudkan di sini bukanlah pendidikan Islam yang diletakkan dalam sukatan Kementerian Pelajaran itu, bahkan Pendidikan Islam di sini mencakupi makna yang meluas dan menyeluruh.

Pendidikan Islam yang saya maksudkan adalah satu proses yang lengkap, bersepadu dan menyeluruh untuk meletakkan kita di tahap yang Allah kehendaki. Bukan itu sahaja, bahkan proses ini adalah proses untuk membentuk peribadi mukmin yang tunduk patuh dan menyerah kepada Allah s.w.t.

Sistem pendidikan inilah yang telah hilang daripada ummat pada hari ini. Ya, tidak dinafikan wujudnya subjek Pendidikan Islam, Pendidikan Al-Quran Sunnah, Syariah dan sebagainya di sekolah dan universiti. Tetapi subjek-subjek akademik ini hanya sebagai satu sistem pelajaran, bukan sistem pendidikan.

Pendidikan sasarannya HATI. Sebab apa hati?
Sebabnya, hati adalah raja kepada segala amalan kita. Bahkan Rasul s.a.w. pernah menyebut dalam hadisnya yang mafhum berbunyi:

"...Dalam diri manusia ada segumpal darah. Apabila baik segumpal darah itu, maka baiklah seluruh amalan tubuh itu. Dan apabila busuk segumpal darah itu, maka busuk jugalah seluruh amalan tubuhnya. Ketahuilah segumpal darah itu adalah HATI."

Sebab itu, suka saya mengambil contoh daripada Rasul s.a.w. dan para sahabat.
Perhatikanlah secara teliti sistem pendidikan Islam yang telah dibawa oleh Rasul s.a.w.
Dalam fasa awal dakwah Rasul s.a.w., selama hampir 13 tahun di Makkah, proses pendidikan Rasulullah adalah menanam KEIMANAN kepada Allah s.w.t.dalam hati para sahabat. Sebab itulah, para sahabat tidak ada masalah untuk mentaati segala perintah Allah apabila turunnya wahyu. Iman yang telah disemai melahirkan peribadi yang mulia, sanggup berkorban apa saja, amanah dan bertanggungjawab.

Sistem pendidikan yang telah hilang inilah menyebabkan ummat kehilangan arah tuju sebenar.
Hakikat pada hari ini, ummat Islam terpisah jauh daripada Islam itu sendiri.
Ummat Islam di satu sudut lain dan Islam di satu sudut lain.

Dalam erti kata lain, ummat Islam telah meninggalkan Islam dalam amalan dan kehidupan mereka. Islam yang difahami hanya apabila berada di masjid menunaikan solat. Islam hanya dilihat daripada aspek yang sempit seperti puasa Ramadhan, zakat dan haji.

Sedangkan Islam itu meluas, komprehensif dan mencakupi seluruh kehidupan.
Daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara, maka semuanya adalah Islam.
Makan adalah Islam, main adalah Islam, pembangunan dan pentadbiran negara adalah Islam, kehidupan kita ini adalah Islam.
Apabila semua cabang kehidupan paksinya adalah Islam, maka tidak akan timbul masalah rasuah, gejala sosial dan pelbagai lagi masalah.

Marilah kita lihat dan kaji semula. Allah telah sebutkan dalam Al-Quran dalm surah Al-Imran yang bermaksud:

"Sesungguhnya deen (cara hidup) di sisi-Ku hanyalah Islam"

Jikalau kita mengambil dan mengembalikan semula ke dalam masyarakat sistem pendidikan ini, maka saya pasti kita dapat melahirkan ummat yang gemilang sebagaimana generasi awal Islam.
Kalau tidak seperti mereka pun, paling kurang hampir menyamai mereka.
Mereka ini telah diiktiraf oleh Allah dalam Al-Quran, surah Al-Imran yang bermaksud:

"Kalian adalah ummat terbaik yang dikeluarkan di kalangan manusia, kamu mengajak kepada KEBAIKAN, mencegah daripada KEMUNGKARAN dan kamu BERIMAN kepada Allah..."



penddikan Islam inilah yang telah melahirkan peribadi-peribadi hebat seperti Abdullah Ibn Mas'ud, Mus'ab bin Umair, Thabit bin Qais, Jaafar Abi Talib, Khalid Al-Walid, Umar Ibn Khattab, dan ramai lagi peribadi-peribadi yang menjadi contoh kepada kita.
Mereka yakin Islam sepenuhnya sebagai jalan hidup dan jalan penyelesaian kepada segala permasalahan.
Kita bagaimana?

Mari kembali kepada sistem didikan Islam...

KEMANAKAH ANAK-ANAK KITA PERGI KERTIGA SOLAT JUMAAT

1. Khutbah Jumaat


Lenggang Kangkung bertanya kepada anak yang baru balik dari sembahyang Jumaat.

Tadi kat masjid tidur tak ?

Dia jawab, tak lah tapi orang lain ada yang tidur.












Khutbah jumaat tadi cerita apa ?

Sambil garu kepala, dia jawab, DAH TAK INGATLAH.

Penyakit ilmu ialah LUPA.


2. SOLAT JUMAAT :

banyak yang tidak menyangka atau tidak ambil peduli tentang anak-anak mereka kita tiap kali solat jumaat di tunaikan. kerana mereka beranggapan anak-anak mereka yang pergi ke laluan arah masjid bahwa sudah pasti ke masjid. tetapi pada hakikatnya pada mutakhirin ini, anak-anak kelihatan berpakaian baju melayu atau berpakaian solat, tetapi ia bukan menuju ke masjid yang disangkakan, kerana hakikat anak manja itulah pergi solat di cyber cafe dan pusat-pusat hiburan game & snooker.

apabila kira-kira jam sudah tamat solat jumaat ditunaikan, maka si anak-anak manja ibubapa itu pun kembali ke rumah dengan muka dan langkah seumpama orang yang baru menuanaikan solat jumaat. owh ibu bapa, malas hendak saya ulas hal sedemikian dengan lebih lanjut. adapaun saya mencadangkan anda sebagai ibu bapa, selidikinya & jangan bagi muka pada mereka ini. kerana adakah anda mahukan si anak-anak ini menahan & mendakwa anda di akhirat kelak? yang mana ketika itu anda baru saja dapat sijil masuk ke syurga, tetapi oleh kerana si anak yang satu inilah anda akan bersama-sama si anak kesayangan anda itu duduk bertafakkur didalam api neraka. na'uzubillah..biar anda & dia sakit didunia tidak mengapa. jangan nanti anda & dia sakit di akhirat, kerana disitu tiada lagi penyesalannya..

wallahu 'alam

MENGATUR AKTIVITI ANAK-ANAK DI MUSIM CUTI SEKOLAH

Bersama Membawa Diri Ke Daerah Muhasabah & Mahabbatullah

Sedar tidak sedar cuti sekolahpun bermula. Ini adalah saat yang paling ditunggu oleh anak-anak. Khususnya mereka yang masih di bangku sekolah. Musim cuti disambut seperti menyambut kemerdekaan kerana seolah-olah ia menandakan bermulanya kebebasan dari beban bangun pagi ke sekolah, beban keletihan mendengar celoteh guru dan beban membuat ulangkaji sebelum peperiksaan tiba.
Cuba jengok di luar rumah kita. Rata-rata kita lihat anak-anak berkumpul di simpang jalan, menunggang motosikal ke hulu ke hilir dan ada yang mundar mandir bersama pasangan masing-masing kononnya tengah kemaruk bercinta. Aktiviti ini biasanya tamat hinggalah ke larut malam dan yang merunsingkan kita ialah tiadanya sebarang halangan daripada ibubapa.

Apa agaknya sikap ibubapa apabila anak-anak balik lewat malam? Biasa sahaja? Atau mereka merasakan kebebasan wajar diberikan untuk anak-anak selepas penat belajar? Sepatutnya ibubapa lebih sensitif dengan gelagat dan tingkahlaku anak-anak. Kerana mereka adalah anugerah dan amanah Allah yang perlu dipelihara dan dijaga oleh ibubapa:

Firman Allah Taala yang bermaksud: Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang bathil dan mengingkari nikmat Allah ?" Surah An-Nahl : 72.

Perkara yang menjadi persoalan ialah mengapa ada di kalangan ibubapa yang tidak mengambil berat soal didikan nilai mulia di kalangan anak-anak? Nampaknya generasi akan datang bertambah parah lagi kerana melalui pemerhatian ramai di kalangan anak-anak kita yang masih di bangku sekolah sudah ketagih rokok, melakukan hubungan seksual malah ada yang terlibat dengan jenayah berat seperti, ketagih dadah, menyamun dan merogol.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w: Tidak ada satu sedekah yang dikurniakan oleh seorang bapa kepada anaknya lebih baik daripada adab yang mulia. Hadis riwayat Tirmizi.Rasanya belum terlewat untuk kita sama-sama beringat bagi memastikan anak-anak kita menjalani waktu cuti sekolah dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah kepada mereka. Jika dilihat kepada iklan yang tersebar bermacam-macam aktiviti yang ditawarkan di musim cuti. Namun yang kurang sedapanya ialah majoriti tawaran tersebut bersifat komersial semata-mata untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesesuaiannya kepada anak-anak.

Tetapi tidak dinafikan bahawa terdapat juga aktiviti berfaedah yang dianjurkan meskipun dengan kos yang agak mahal. Ibubapa seharusnya jangan terlalu berkira untuk menghantar anak-anak ke program cuti sekolah yang bermanfaat kerana ia merupakan satu pelaburan untuk masa hadapan dan bukannya satu pembaziran. Antara program yang baik disertai oleh anak-anak kita ialah ialah seperti perkhemahan bina sahsiah , kursus hafazan al-Quran musim cuti, kursus intensif bahasa dan pelbagai lagi. Ibubapa seharusnya peka dan proaktif membuat tinjauan terhadap aktiviti yang sesuai sebelum berlalunya cuti sekolah.
Jika sekiranya ibubapa tidak berminat untuk menghantar anak-anak ke program seperti yang telah dinyatakan ada baiknya ibubapa sendiri perlu menyusun jadual harian sepanjang cuti sekolah.

Pastikan waktu solat dijadikan agenda utama dengan memberikan penekanan kepada solat subuh dan solat secara berjamaah samada di masjid mahupun di rumah. Solat mesti diprogramkan sebagai agenda utama di dalam pembetukan sahsiah anak-anak dan sekiranya ingin dilaksanakan hendaklah dimulakan seawal usia.

Firman Allah Taala yang bermaksud: Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan nersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezki darimu, Kamilah yang memberikan rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa. Surah Taha:132.

Nabi s.a.w bersabda: Suruhlah anakmu solat apabila umurnya menjangkau tujuh tahun, dan pukullah mereka (jika tidak solat) apabila menjangkau sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka . Hadis hasan sahih riwayat Abu Daud.

Berpandukan hadis di atas amat jelas kepada kita bahawa usia 7 tahun iaitu ketika anak-anak mula melangkah kaki ke tahun satu sekolah rendah adalah saat yang paling wajar diberikan penekanan tentang solat. Apa yang difahami dari hadis ini ialah perlunya ibubapa secara konsisten menyuruh anak-anak solat tidak sepertimana ketika usianya di bawah tujuh tahun. Sikap sambil lewa dan alpa tentang solat anak-anak di awal usia tujuh tahun boleh menanamkan sikap memandang ringan terhadap kewajipan kepada Allah Taala. Meremehkan kewajipan kepada Allah Taala menjadi penyebab utama terbentuknya nilai negatif dalam diri anak-anak. Ini adalah kerana solat merupakan manifestasi kepada Iman dan ketaqwaan. Di samping itu penekanan Rasulullah s.a.w kepada usia tujuh tahun ini juga memberikan kefahaman kepada kita bahawa jika hendak menerapkan nilai dan menanamkan pemikiran yang positif kepada anak-anak hendaklah dilakukan secara konsisten di peringkat usia ini.

Kemudian apabila umur anak-anak menjangkau sepuluh tahun Rasulullah s.a.w menganjurkan kita menghukum anak-anak yang tidak solat iaitu dengan memukul atau merotannya. Saranan ini menjelaskan kepada kita bahawa penguatkuasaan undang-undang dan hukuman dalam mendidik anak-anak mestilah dilakukan secara konsisten di peringkat usia sepuluh tahun atau ketikmana mereka berada di tahun empat sekolah rendah. Kecuian menghukum dengan tegas terhadap anak-anak di usia ini apabila mereka melakukan kesalahan seperti meninggalkan solat akan menebalkan lagi rasa ketidakhirauan mereka kepada tanggungjawab sebagai seorang Islam. Kecuaian menghukum di usia sepuluh tahun juga boleh mengakibatkan anak-anak hilang rasa takut dan hormat kepada suruhan ibubapa.

Firman Allah Taala yang bermaksud: Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan shalat dan Bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. kami tidak meminta rezeki kepadamu, kamilah yang memberi rezki kepadamu. dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa. Surah Taha : 132.

Ibubapa juga seharusnya mengambil kesempatan di musim cuti sekolah menanamkan nilai-nilai yang baik kepada anak-anak seperti bangun awal, mengemas rumah, minat membaca dan sebagainya dengan memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada mereka. Sebagai contoh jika anak-anak ingin diterapkan dengan budaya membaca, ibubapa seharusnya membudayakan minat membaca dalam diri mereka terlebih dahulu kerana bak kata pepatah Melayu, ‘Bapa borek anak rintik’. Ia juga menepati slogan ‘Kepimpinan melalui tauladan’. Pembentukan nilai positif di dalam diri anak-anak khususnya di musim cuti ini tidak akan berhasil sekiranya ibubapa tidak menunjukkan contoh dan tauladan yang mulia kepada mereka.

wallahu 'alam


ANCAMAN FAHAMAN ISLAM LIBERAL

Mafhum Firman Allah : Wahai Orang-orang yang beriman selamatkanlah diri mu dan ahli keluarga mu dari siksaan api neraka...


Islam sebagai sebuah agama yang benar dan istimewa sering dicemburui oleh musuh-musuhnya. Oleh sebab itulah pelbagai usaha dilakukan bagi menjatuhkan Islam dan menggugat keyakinan penganutnya terhadap kesucian syariat Islam. Usaha-usaha musuh Islam ini dilakukan samada melalui usaha meruntuhkan nilai-nilai budaya Islam ataupun dalam bentuk menyerapkan kefahaman-kefahaman yang menjejaskan aqidah umat Islam. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Sof ayat 8:

Ertinya: Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Mutakhir ini umat Islam berhadapan dengan munculnya fahaman-fahaman baru yang bersembunyi di sebalik nama Islam tetapi hakikatnya didasari oleh ideologi yang sesat. Antaranya ialah fahaman Islam Liberal yang didokongi oleh sekelompok umat Islam yang mendakwa ingin membawa pembaharuan dalam Islam. Perjuangan golongan ini adalah kononnya mahu melihat Islam yang lebih progresif, terbuka dan sesuai dengan perkembangan semasa. Dalam sejarah Islam moden kemunculan ideologi sesat bermula dengan fahaman yang dibawa oleh Seorang Sarjana Mesir iaitu Ali Abdul Raziq yang menjadi hakim Mahkamah Syariah Mesir pada tahun 1925. Akibat dari terlalu terpengaruh dengan fahaman sekular Barat Ali Abdul Raziq mengarang sebuah buku yang bertajuk ”Al-Islam Wa Usulul Ahkam” yang mengandungi fakta-fakta songsang tentang Islam. Antara kandungan buku ini ialah:

1. Mendakwa bahawa syariat Islam hanya bersifat kerohanian sahaja, tidak ada hubungan dengan soal keduniaan dan pemerintahan negara.
2. Mendakwa bahawa jihad tiada kaitan dengan agama dan wahyu Allah. Ia hanya usaha Nabi SAW untuk menguasai negara sahaja.
3. Menuduh bahawa perlaksanakan hukum pada zaman Nabi SAW adalah kabur, tidak stabil dan menimbulkan tanda tanya.
4. Menyatakan bahawa utusan Nabi SAW hanya bersifat menyampaikan risalah Islam dan bukannya menjadi pemerintah umat Islam.
5. Mendakwa bahawa pemerintahan khulafa Ar-Rasyidin bukan bersifat agama sebaliknya hanya keduniaan semata-mata.
Demikianlah fahaman Ali Abdul Raziq yang cuba dikembangkan dan akhirnya ulama-ulama Mesir sepakat menjatuhkan hukuman sesat keatasnya. Ini adalah kerana dakwaan-dakwaan beliau amat jelas bertentang dengan Al-Quran yang menjelaskan bahawa Nabi SAW bukan sahaja memandu manusia dalam urusan kerohanian tetapi merangkumi bidang urusan keduniaan dan pemerintahan negara. Allah SWT berfirman di dalam surah An-Nisa ayat 105:

Ertinya: Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

Di dalam negara kita kemunculan fahaman-fahaman baru yang bertopengkan Islam juga semakin menular. Fahaman-fahaman ini biasanya menyandarkan nama kumpulan mereka dengan nama Islam tetapi sebaliknya membawa satu gerakan menghancurkan aqidah Islam yang tulin.

Fahaman Islam Liberal yang berkembang dewasa ini adalah akibat dari sikap umat Islam yang begitu mudah terpengaruh dengan sesuatu yang baru dan melihat Islam hanya dalam aspek ibadah khusus semata-mata tanpa menjadikannya landasan dalam urusan dunia. Akibat dari perkembangan fahaman Islam liberal di negara kita maka muncullah tulisan-tulisan dan kenyataan-kenyatan yang bercanggah dengan Islam. Antara aliran pemikiran yang wujud hasil dari fahaman liberal itu ini ialah:

1. Mendakwa semua agama membawa kepada kebaikan.
2. Mendakwa bahawa soal sembahyang, puasa dan ibadat-ibadat khusus adalah hak-hak individu dan tidak perlu kepada paksaan.
3. Mendakwa bahawa lelaki dan wanita adalah sama haknya.
4. Menuduh sesetengah syariat Islam tidak adil kepada wanita seperti hukum nikah kahwin dan hukum harta pusaka.
5. Menuduh bahawa undang-undang Islam sudah lapok dan tidak sesuai untuk dilaksanakan pada zaman moden.
6. Mendakwa bahawa maksiat seperti minum arak, berkhalwat, berzina dan berjudi adalah hak individu dan tidak perlu ada undang-undang yang menyekatnya.
7. Menyeru supaya Al-Quran ditafsir semula dan agama Islam perlu diberikan definisi baru.
8. Menerapkan fahaman plurarisme (kesamarataan) dalam kehidupan beragama di kalangan umat Islam dan penganut-penganut agama yang lain.
9. Mendakwa bahawa setiap orang Islam bebas menukar agamanya dan hukuman murtad tidak sesuai lagi pada zaman sekarang.

Apa yang menggusarkan kita ialah fahaman-fahaman ini mendapat perhatian di kalangan sesetangah umat Islam yang merasakan syariat Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad SAW menghalang kebebasan hidup mereka. Akibat dari penularan budaya hiburan dan pergaulan bebas yang dikembangkan oleh Barat maka ianya dilihat amat bersesuaian dengan khidupan moden. Maka tidak hairanlah fahaman-fahaman baru seperti Islam Liberal ini sangat diminati oleh golongan muda kerana ianya memberi lebih kebebasan kepada mereka tanpa menyedari bahawa kebebasan tersebut membawa kehancuran kepada hidup mereka.

Islam adalah agama yang membawa kebahagian kepada manusia dengan sentiasa memelihara tuntutan fitrah manusia dan memberikan kebebasan kepada mereka dalam urusan kehidupan mereka. Oleh itu kita dapati setiap syariat Islam yang ditetapkan oleh Allah SWT tidak ada yang menghalang manusia untuk bekerja, bersosial, berumahtangga, berhibur, bersukan dan mencari kekayaan hidup. Islam juga memberika kebebasan kepada umatnya untuk bersuara dan berkarya. Mengenai keduduka wanita dalam Islam ia adalah sama dengan kedudukan seorang lelaki malah tidak pernah dicatatkan dalam sejarah islam bahawa wanita dihalang dari turut serta menjalani kehidupan mereka seperti kaum lelaki. Di dalam Islam wanita dibenarkan keluar menuntut ilmu dan bekerja tetapi dengan syarat memelihara syariat dan adab-adabnya.
Dalam memberikan kekebasan kepada manusia Islam juga amat prihatin dalam soal menjaga kemaslahatan mereka. Kebebasan yang diberikan mestilah sentiasa dikawal oleh prinsip tidak membawa kemudaratan kepada diri dan orang ramai. Oleh itu Islam telah menetapkan hukum-hakam sebagai pengawal kepada kebebasan manusia agar mereka tidak tersalah dalam memilih kehidupan mereka. Sebagai contoh Islam memberikan kebebasan beragama di mana tiada sebarang paksaan bagi orang kafir memeluk Islam. Namun setelah memeluk Islam seroang muslim tidak diberikan kebebasan mutlak untuk menukar agamanya kerana perkara tersebut pastinya membawa kehancuran kepada dirinya sendiri maka Islam telah menetapkan hukum hudud bagi orang yang murtad sebagai satu kaedah pencegahan. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 217:

Ertinya: Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

Begitu juga dalam mengumpul kekayaan. Setiap orang Islam diberikan kebebasan terlibat untuk makan apa sahaja tetapi ianya hendaklah halal dan tidak membazir. Manakala dalam perniagaan bagi mencari kekayaan sebanyak mungkin. Namun dalam masa yang sama Islam melarang pembaziran dan melarang sebarang aktiviti penipuan dalam perniagaan serta pencerobohan kepada harta orang lain. Manakala dalam soal makan minum, setiap umat Islam dibenarkan makan apa sahaja tetapi dengan syarat ianya halal dan tidak membazir. Allah SWT berfirman dalam surah Al-A’raf ayat 31:

Ertinya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
Semua kenyataan di atas adalah membuktikan bahawa setiap hukum dan undang-undang yang ditetapkan di dalam Islam adalah bertujuan memastikan kemaslahatan manusia sentiasa terpelihara dan terjamin sekaligus menyangkal setiap dakwaan golongan pendokong fahaman Islam Liberal.
Dalam berhadapan dengan situasi kemunculan fahaman-fahaman dan ideologi-ideologi yang menyesatkan umat Islam ini maka sewajiblah umat Islam sentiasa berhati-hati dan bertindak membuat persediaan diri agar kita dapat memelihara kesucian aqidah yang menjadi teras keunggulan umat Islam. Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah:

1. Banyak menghadiri kuliah-kuliah agama, forum, diskusi dan wacana Ilmu yang menjelaskan isu-isu aqidah umat Islam.
2. Memastikan ilmu agama yang diperolehi diajar oleh para ustaz dan ulama yang jelas aqidahnya dan mempunyai kelulusan dalam bidang masing-masingnya.
3. Membuat pemantauan terhadap ahli keluarga dan anak-anak yang menuntut ilmu agama agar tidak terjebak dengan fahaman-fahaman sesat.
4. Memilih bahan bacaan agama yang berlandaskankefahaman Islam yang betul.
5. Jika timbul keraguan dalam sesuatu majlis ilmu atau pada bahan bacaan berkaitan dengan Islam hendaklah membuat rujukan kepada mereka yang berautoriti dalam bidang agama seperti Jabatan Mufti, Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan juga para alim ulama.

Demikianlah beberapa langkah yang boleh diambil sebagai perisai mempertahankan kesucian aqidah umat Islam. Sebagai umat Islam yang prihatin kita seharusnya sentiasa berwaspada terhadap setiap fahaman-fahaman baru yang mula bertapak di negara kita kerana ia akan menggugat keharmonian dan kedamaian hidup kita.

Dr Yusof Al-Qardhawi :“Allah” adalah untuk semua!...

cacatan : Zuraidan Mohd Daud At-Thamimi


Saya kurang pasti apakah isu penggunaan nama 'Allah' sudah reda atau masih panas. Pada peringkat awal isu ini tercetus sengaja saya tidak memberikan apa-apa komen secara bertulis kerana menunggu mereka yang berautoriti memberikan pendapat dan pandangan. Bukan kerana tidak yakin dengan pandangan sendiri tetapi dalam soal seumpama ini biarlah mereka yang benar-benar berlayakan dan memegang amanah seperti Mufti menjelaskannya supaya tidak mengeruhkan keadaan. Benar telahan saya apabila semua orang mahu meluahkan pendapatnya maka macam-macam kekalutan telah berlaku. Saya juga melihat ada sesetengah NGO Islam dan Melayu yang tidak didokong oleh para ulama berwibawa begitu cepat menunjukkan reaksinya tanpa berfikir panjang hingga mengundang tindakan yang tidak didasari oleh ilmu Islam. Dalam masa yang sama mereka pula mahu mengambil kesempatan menonjolkan diri dan kononnya menjadi hero mempertahankan Islam!

Akhirnya majoriti para ulama dan pemimpin gerakan Islam Malaysia sependapat bahawa menggunakan nama 'Allah' pada orang Kristian adalah hak mereka dan ini sudah terakam dalam sejarah perkembangan Islam....Pendirian ini juga telah disokong oleh pendapat Ketua Kesatuan Ulama Sedunia As-Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi sepertimana yang disiarkan oleh laman web Islamonlie.net. Pendapat beliau ini telah menambah yakin lagi kebenaran apa yang saya fahami selama ini dalam isu penggunaan nama 'Allah' di kalangan ahli Kitab khusunya Kristian. Oleh itu untuk lebih jelas bersama ini saya terjemahkan pendapat beliau seperti berikut:

(Terjemahan bebas dari Islamonline.net 23 Jan 2010)


Doha- Al-Allamah Dr Yusof Al-Qardhawi, Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia menempelak beberapa kejadian pertembungan di antara orang-orang Islam dan Kristian yang berlaku di beberapa negara Arab dan Islam termasuk serangan yang berlaku ke atas gereja-gereja dan beliau menegaskan bahawa ia adalah berpunca dari kejahilan dan bukannya semangat taksub kepada Islam. Beliau berpendapat bahawa serangan-serangan yang berlaku khususnya di Malaysia yang berpunca dari penggunaan kalimah “Allah” oleh penganut Kristian tidak sepatutnya berlaku kerana Allah adalah Tuhan Sekelian Alam’ dan bukannya kepada orang Islam sahaja.


Dalam Khutbah Jumaatnya pada 22 Jan 2010 yang lalu di Masjid Umar Al-Khattab di Doha ibu negara Qatar, Al-Qardhawi berkata bahawa: “Kejadian yang berlaku di antara orang-orang Islam dan kristian di beberapa negara adalah sebahagian besarnya berpunca dari kejahilan, dan bukannya sikap taksub orang Islam (yg sebenar). Orang Islam pada hakikatnya adalah sangat bertolak ansur, Al-Quran mengajar mereka bertolak ansur kerana Allah Taala sendiri Yang Menciptakan manusia dengan berbeza-beza (bangsa dan agama).

Kemudian beliau menegaskan: “Jika Allah menginginkan supaya semua manusia disatukan nescaya akan disatukan, tetapi Allah jua telah berfirman: ((Dialah Yang Menjadikan kamu, maka ada di kalangan kamu orang kafir dan ada di kalangan kamu orang yang beriman)) Surah Al-Taghabun ayat 2.((Jika Tuhanmu menginginkan nescaya dijadikan semua manusia sebagai satu ummah, sedangkan mereka masih berselisih kecuali sesiapa yang di rahmati oleh Tuhanmu)). Surah Hud 118-119. Perbezaan manusia dalam soal agama adalah merupakan kehendak Allah dan tiada siapa yang boleh menentang kehendak Allah dan memaksa manusia semuanya menjadi muslim!.

Beliau juga menjelaskan bahawa sesungguhnya perselisihan yang berlaku di kalangan manusia dalam soal agama antara orang beriman dengan agama dan orang yang ingkar dengan agama tidak akan memisahkan kita kaum muslimin (dengan mereka) di dunia ini. Sesungguhnya Allah Taala akan mengasingkannya di akhirat kelak. Sebagaimana firman-Nya: ((Jika mereka berdebat dengan kamu maka katakanlah, Allah lebih Mengetahui apa yang kamu lakukan. Allah lah Yang Menghukum di antara kamu pada hari Qiamat kelak di atas apa yang telah kamu perselisihkan)) Surah Al-Hajj ayat 68-69. ((Allah Tuhan kami dan Tuhan kamu, bagi kami amalan kami dan bagi kamu amalan kamu, tiada hujjah di antara kami dan kamu, Allah lah Yang Menghimpunkan kami dan kepada-Nyalah (kami) akan kembali)) Surah As-Syura ayat 15.
Berkenaan dengan peristiwa yang berlaku di Malaysia dan serangan yang berlaku ke atas beberapa gereja, Al-Qardhawi mengulas: Sesungguhnya serangan yang berlaku ke atas gereja di Malaysia adalah tidak sepatutnya berlaku. Beliau turut tidak bersetuju dengan punca kejadian itu berlaku iaitu penganut Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam terjemahan mereka, dengan berkata: Wahai saudaraku, Allah adalah Tuhan sekelian alam seluruhnya, Tuhan orang Islam dan Tuhan orang Kristian. Surah terakhir di dalam Al-Quran ada menyebut : ((Katakanlah! (wahai Muhammad) Aku berlindung dengan Tuhan sekelian manusia, Yang Menguasai sekelian manusia!))..bukan Tuhan orang Islam sahaja atau Tuhan Arab sahaja, atau Menguasai Arab sahaja ….) Kemudian beliau(Al-Qardhawi) bertanya: Oleh itu kenapakah perkara ini menimbulkan kemarahan wahai orang-orang (Islam) Malaysia?

MENGIMBAU PENGALAMAN SILAM DALAM TARBIYYAH

Oleh : Zuridan Mohd Daud At-Tamimi


Apabila ada rakan-rakan yang mengeluh dan bertanya tentang anak-anak mereka yang bersekolah di sekolah-sekolah agama, tetapi bila pulang ke rumah bercuti tidak mahu berjamaah di Masjid atau surau, sukar juga saya menjawabnya. Apakah silibus agama terlalu kurang atau tidak berkesan atau memang anak kita jenis malas dan sukar menerima pentarbiahan di sekolah? Saya pun keliru!


Bila soalan ini diajukan terus saja fikiran saya mengimbau suasana di sekolah agama tempat saya menuntut lebih kurang 25 tahun yang lampau. Pada asalnya memang semangat cintakan berjamaah dan perjuangan Islam tiada di dalam hati meskipun di dalam kelas, 90% pengajaran adalah subjek agama tulen. Namun pada hakikatnya tiadapun satu subjek yang menjurus kepada beramal dan berjuang. Lebih-lebih lagi kalau ustaz yang mengajar memang bukan kaki Masjid dan bukan seorang daie. Banyak pengajaran lebih cenderung kepada oreantasi peperiksaan. Oleh itu tidak hairanlah ramai pelajar-pelajar yang berfahaman agama tetapi amalannya agak suram dan bila pulang ke kampung tidak mampu menggerakkan masyarakat, bagi mereka apa yang penting belajar dan periksa, belajar dan periksa, kemudian masuk universiti untuk dapat kerja..
Namun apa yang mencetuskan kesedaran kepada saya ketika itu ialah dengan adanya pendakwah-pendakwah Al-Arqam yang datang ke sekolah menjual kaset nasyid dan majalah-majalah mereka yang banyak membicarakan tentang perlu kembali kepada amalan sunnah Nabi SAW dalam kehidupan. Pengaruh penonjolan diri, nasyid dan bahan bacaan Al-Arqam ini sangat kuat menusuk ke dalam jiw, hingga pernah saya terdorong mengikuti kursus kefahaman Islam di Kampung Sempadan selama seminggu yang dianjurkan oleh Al-Arqam.

Kemudian dalam masa yang sama wujudnya pengaruh jamaah Tabligh di dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di surau sekolah turut memberikan kesan jangka panjang kepada saya. Selepas solat Maghrib ada 'bayan' yang disampaikan oleh senior dan akhirnya sayapun terpaksa melatih diri bercakap di depan khalayak melalui bayan ini. Kesannya, rasa malu dan takut hilang ketika bercakap di depan orang ramai. Ini ditambah pula dengan faktor sikap ustaz-ustaz yang sangat mengambil berat soal solat berjamaah. Terutama ustaz Abdullah Ahmad bekas pengetua yang turun padang menggerakkan pelajar-pelajar asrama untuk solat Subuh setiap pagi dan beliau turut sama berjamah dengan pelajar. Beliau bagi saya adalah seorang pengetua, ustaz dan pendidik yang sangat berjaya dan wajar dijadikan contoh oleh generasi baru.

Perubahan daripada seorang pelajar beroreantasikan peperiksaan kepada seorang pelajar mempunyai fikrah Islam dan memiliki ruh perjuangan pula tercetus apabila saya mula mengikuti usrah Cikgu Shaharom seorang aktivis Parti Islam yang tinggal di luar pagar sekolah. Meskipun bukan tenaga pengajar di sekolah saya, tetapi minatnya kepada tarbiah telah menjalinkan hubungan antara kami. Begitu juga dengan Ustaz Abu Qasim Manaf aktivis JIM ketika itu (sekarang menjadi ketua Dewan Ulama PAS Pahang). Beliaulah satu-satunya ustaz di sekolah saya yang berkorban masa untuk menghidupkan usrah dan tarbiah. Seorang lagi ustaz yang saya masih ingat ialah ustaz Hud. Beliau juga banyak menanamkan fikrah haraki kepada para pelajar melalui kuliah Maghribnya yang disampaikan di surau asrama. Ketiga-tiga murabbi inilah yang banyak membentuk fikrah saya hingga menjadikan saya seorang daie pada hari ini. Yang menariknya mereka semua mentarbiyyah dengan semangat perjuangan Islam tanpa menggadaikan kewajipan menuntut ilmu.

Alhamdulillah gabungan silibus agama yang luas di sekolah, sentuhan rohani oleh jamah Al-Arqam, latihan keberanian berdakwah oleh Tabligh, kesungguhan dan dedikasi ustaz-ustaz kemudian ditambah dengan tarbiah oleh Cikgu Shaharom dan Ustaz Abu Qasim adalah ramuan lengkap yang sentiasa menjadi panduan kepada saya sehingga kini....Jazakumullahukhairan.

Setelah saya mengimbau pengalaman silam ini, barulah saya temui jawapan kenapakah pelajar-pelajar sekolah agama hari ini kurang minat beramal dan tiada ruh perjuangan Islam? Setelah bertanyakan anak saya sendiri dan anak rakan-rakan di sekolah agama yang lain, mereka mengadu ketika ini begitu kurang aktiviti tarbiah dan seolah-olah hampir tiada! Ramai ustaz-ustaz yang hanya tahu mengajar sahaja tetapi kurang yang berkorban masa mentarbiyyah pelajar-pelajar mereka(maaf kalau sangkaan saya tidak tepat). Memanglah solat berjamaah ada tetapi ustaz-ustaz tiada bersama berjamaah, kelas hafazan ada tetapi usrah tiada. Maka inilah agaknya yang menjadi punca pelajar-pelajar ini, meskipun bersekolah agama namun ruh perjuangan untuk menegakkan agama tiada dalam diri mereka.

Kepada ustaz-ustaz yang mengajar di sekolah-sekolah agama khususnya (begitu juga sekolah biasa), kita seharusnya lebih proaktif, bersemangat dan bertanggungjawab dalam mentarbiyyah para pelajar kita. Gunakan kesempatan sebagai guru, yang dekat dengan pelajar untuk mendidik mereka supaya menjadi orang berilmu yang beramal dan menjadi ahli agama yang berjuang untuk agama dan bukan sebaliknya. Sudah ramai kita lihat lepasan sekolah-sekolah agama, yang berpada dengan jawatan dan gaji mereka tanpa melibatkan diri dalam dakwah dan perjuangan Islam...