Isnin, 23 Mei 2011

Berbahagialah Sang Ghuraba'


Nasrudin Tantawi

1. Perjuangan Islam bermula dalam keadaan asing atau dagang [gharib ]. Berdepan dengan manusia jahiliah yang rendah upaya untuk membezakan antara haq dan bathil. Sistem nilai yang kabur diselaputi fahaman syirik dan kebendaan. Mereka merajakan nafsu dan mempertuhankan aqal. Rasuulul ummah saw. sebagai utusan Allah swt. difitnah, dinista dan dicerca. Risalahnya ditertawa dan menjadi bahan lelucon ummat jahiliah.

2. Islam dibawa untuk menyelamatkan ummah. Risalahnya disasarkan kepada semua kecuali mereka yang tekun dan konsisten memerangi Islam. Slogan yang dibawa oleh Pendakwah Agong saw. ialah [Aslim Taslam ] Terima Islam Engkau Selamat. Serendah - serendah pangkat manusia seperti lelaki gasar di padang pasir sehinggalah setinggi - tinggi pangkat manusia seperti raja di istana menjadi sasaran risalah Islam.

3. Islam didokong dan diperjuangkan dengan gigih tanpa peduli pahit getir. Islam digalas dan dipertahankan dengan tabah tanpa peduli susah sukar. Gurun sahara diredah dan lautan luas diharungi demi menyemarakan kebangkitan Islam dan mendaulatkan syariatnya. Sabar membelah masa dan merempuh waktu menanti detik janji Allah ditunaikan. Tidak mengenal erti putus asa dan kecewa.

4. Akhirnya Islam tegak berdaulat dengan bertiangkan aqidah, berdindingkan syariat, berbumbungkan jihad dan berlantaikan akhlak. Bumi diimarahkan dengan peraturan dan manhaj rabbani. Keadilan merata kepada semua tanpa membezakan latar belakang agama, bangsa, kaum dan bahasa lidah. Keamanan dan kesejahteraan dinikmati, bukan sahaja oleh manusia bahkan binatang dan tumbuhan.

5. Namun Nabi saw telah menegaskan yang bermaksud:

"Telah bermula Islam dalam keadaan asing , kelak ia akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah mereka yang asing [tetap bersama Islam]."

6. Hari ini Islam kembali ditertawa. Syariat dan syiar Islam dipersenda. Kerja dakwah menjadi bahan lelucon. Dunia kembali menganggap pelik cara kita berjuang dan mengajak ummat manusia kembali kepada Islam dan perjuangannya. Menyeru dan mengajak orang menyertai perjuangan Islam dianggap kerja bodoh sebagaimana tanggapan ummat jahiliah. Firman Allah swt yang bermaksud:

"dan apabila diseru kepada mereka , Berimanlah sebagaimana berimannya manusia yang lain. Mereka menjawab : Apakah kami akan beriman sebagaimana berimannya orang - orang yang bodoh. Ketahuilah sesungguhnya merekalah orang - orang yang bodoh akan tetapi mereka tidak mengerti." - Surah al Baqarah : Ayat 13

7. Sungguhpun Islam kembali menjadi asing dan pejuangnya ditertawa dan diperbodohkan, ianya adalah sunnah yang telah dijanjikan kebahagiaannya oleh Rasulullah saw kepada mereka yang tetap gigih berjuang, berjihad dan berdakwah. Biarpun Nabi saw telah sekian lama meninggalkan ummah, namun kesediaan para pejuang menggalas tugas besar untuk menyelamatkan manusia dari neraka Allah adalah tugas berat yang penuh dengan kemuliaan. Istiqamah dan iltizam bersama kerja - kerja amal Islami biarpun disinis dan disindir tajam, ia adalah ghuraba' yang dijanjikan kebahagiaan oleh Rasulullah saw.

8. PAS adalah Gerakan Islam yang membawa pakej perjuangan yang menarik, mengulangi pakej asal yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw. Pakej yang dimaksudkan ialah tarbiyah, dakwah dan siasah. Melalui pakej ini, PAS bergerak ke tengah medan lantas mengadun gerakkerja amal Islaminya secara seimbang berasas ramuan 3 elemen dari pakej tersebut.

9. Adunan 3 elemen dari pakej itulah tercetusnya pelbagai slogan seperti :

* Pemuda PAS adalah Duta Penyelamat dan Kasih sayang. Bermaksud Pemimpin dan anggota pemuda PAS turun ke medan, menyantuni masyarakat dengan penuh kasih sayang biarpun mungkin suatu masa dahulu, mereka adalah musuh kita. Mereka menentang kita dengan kejahilan dan hasad dendam yang menyelubungi jiwa mereka. Namun mereka mesti diselamatkan dari terus menjadi hamba nafsu dan syaithan yang menguasai diri mereka untuk memusuhi Islam. Pemuda PAS adalah penyelamat, lalu selamatkan seramai mungkin manusia dari api dosa yang sedang membakar mereka.

* Orang Muda Geng Kite . Adalah slogan lanjutan untuk menterjemah "Duta Penyelamat dan Kasih sayang" bagi mendekati golongan muda dari pelbagai lapisan dan latar belakang. Dari anak muda professional sehinggalah kepada anak muda yang bergelandangan. Mereka didekati oleh pemuda PAS dengan pelbagai cara dan kaedah. Tertubuhnya Alternative Riding Club [ARC] dan wujudnya aktiviti seperti Alternative Futsal Club, Alternative Band Club dan sebagainya adalah untuk melengkapkan usaha mendekati anak muda.

* Jom Sertai PAS . Juga antara slogan popular PAS untuk mendekati semua golongan masyarakat agar mereka menyertai PAS. Menyertai PAS hanya semudah mengisi borang, membayar yuran tahunan dan bersedia mematuhi perlembagaan PAS atau undang - undang tubuh PAS. Penyertaan mereka akan diperkasa dari masa ke semasa melalui proses pentarbiyahan yang wujud di dalam PAS sehinggalah akhirnya mereka menjadi seorang ahli PAS yang soleh dan berjuang. Melalui slogan ini, telah ramai tokoh - tokoh yang suatu masa dahulu sangat memusuhi PAS namun kini berjuang bersama saf perjuangan PAS. Laksana tokoh - tokoh yang menentang Nabi saw kemudiannya menerima Islam lalu gigih berjuang disamping Nabi saw. Kepada mereka Nabi saw menyebut :

"yang terpilih [hebat] di zaman jahiliah jua terpilih [hebat] di zaman Islam asal sahaja mereka memahami Islam."

* PAS For All atau PAS Untuk Semua. Sebahagian dari slogan PAS yang berjaya meletakkan PAS dihati mereka. Bukan sahaja ummat Islam mahu menyertai PAS lalu menjadi ahli yang baik, malah non muslim turut melahirkan hasrat mahu bersama perjuangan Islam lalu tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS [DHPP]. "PAS Untuk Semua" membawa maksud perjuangan PAS adalah untuk semua tanpa mengira latar belakang bangsa dan bahasa malah juga bermaksud semua boleh menyertai PAS asal sahaja mereka bersedia untuk mematuhi dasar dan manhaj perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

10. Alhamdulillah, melalui gerakkerja amal Islami bersandarkan slogan - slogan di atas, kini menjadikan keluarga PAS kian besar sehingga mencecah angka sejuta. Pada tahun 1985 saya menjadi ahli PAS yang ke 274,589. Kini angka keahlian tentunya telah mencecah 9 angka. Kita menyedari, ada yang menyertai PAS kemudian gugur ditengah jalan kerana gagal bertahan dengan ujian atau tribulasi perjuangan ini justeru itulah sunnatullah, namun kita jangan kecewa dan putus asa untuk terus berdakwah, menyeru dan mengajak masyarakat ummat Islam menyertai PAS dan non muslim menyertai DHPP.

Biarpun seribu manusia sedang mentertawakan gerakkerja Amal Islami yang dilakukan oleh saudara, lalu menganggap dakwah saudara sebagai suatu lelucon dan kebodohan politik, yakin lah saudara sedang menjadi manusia dagang dan asing dengan Islam yang diperjuangkan. Sedang Rasulullah saw pernah menegaskan : Berbahagialah Sang Ghuraba'

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Menjawab tuduhan Khairy Jamaluddin



Idris Ahmad

Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno mendakwa hanya Umno pembela Melayu di negara ini. Lain daripada Umno, bukan pembela Melayu. Persoalannya benarkah Umno pembela Melayu. Tidak malukah Khairy yang mendakwa bahawa Umno pembela orang Melayu, hakikatnya Umno hanya mengguna Melayu untuk membela pemimpin Umno bukan bela Melayu jauh sekali untuk mengangkat agama di tempat yang sepatutnya.

Beliau juga menyebut fakta yang tidak betul ketika berucap di Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pontian di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) Pontian yang mendakwa PAS ditubuhkan kerana Ustaz Haji Ahmad Fuad kalah menentang Datuk Onn Jaafar di dalam mesyuarat Agung Umno. Faktanya bukan Ustaz Haji Fuad kalah melawan Dato' Onn Jaafar, tetapi tewas dengan dengan Tunku Abdul Rahman merebut jawatan Yang Dipertua Umno. Seorang lagi calon ialah CM Yusuf. Khairy juga salah fakta mengenai perkara tersebut, kerana apa yang berlaku ialah tarikh pertandingan dalam Umno ialah 25 Ogos 1951 sedangkan mesyuarat di kalangan ulamak untuk menubuhkan PAS kali kedua pada 23 Ogos 1951 di Padang Kelab Sultan Sulaiman. Mesyuarat ulamak dahulu daripada tarikh pertandingan Haji Ahmad Fuad dengan Tunku Abdul Rahman. Di manakah fakta beliau dapat?

Perlu diingatkan penubuhan PAS bukan kerana kecewa tidak mendapat jawatan dalam Umno, tetapi kerana teguran ulamak mengenai isu agama tidak dipedulikan antaranya isu judi. Ulamak merasakan perlu menubuhkan badan yang bebas untuk memberi tekanan kepada Umno dalam hukum agama.

Menjawab tuduhan yang mengatakan penubuhan PAS memecahbelahkan perpaduan Melayu juga ditolak. Sebenarnya penubuhan Umno menyebabkan Melayu berpecah, kerana sebelum Umno sudah ada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945. Umno ialah parti restu penjajah, sebab itu Umno tidak diharamkan ketika Ordinan Dharurat 1948 walaupun semua parti diharamkan seperti PKMM dan Hizbul Muslimin.

Beliau menuduh Melayu terbela di bawah Umno? Sudah 54 tahun merdeka, keadaan ekonomi jauh terkebelakang berbanding dengan Cina, India. Apa yang Umno lakukan untuk orang Melayu sehingga tertinggal ke belakang. Bukankah 2/3 anggota kabinet orang Melayu? Bukankah pegawai tertinggi orang Melayu.

Maka jalan pintasnya untuk menutup bangkai gajah, maka Umno menuduh ini angkara bukan melayu dengan meniupkan sentimen kaum.

Di sini adalah sebahagian jawapan yang membuktikan Umno gagal membela Melayu.

1. Umno menggunakan konsep "Umno Putera" bukan "Bumiputera", akhirnya yang ketinggalan orang Melayu.

2. Apabila jawatan di dalam Umno untuk mengaut keuntungan bukan untuk bela melayu, akhirnya mereka rebut harta, Melayu merempat merata-rata.

3. Menindas sesama bangsa kerana berlainan ideologi walaupun dari segi merit dan kebolehan ada kepada orang Melayu contohnya dalam soal perniagaan.

4. Menafikan royalti kepada Kelantan walaupun Kelantan negeri majoriti Melayu.

5. Macam mana melayu hendak terbela, minyak yang sepatutnya mendarat di Kelantan sebaliknya dibawa ke pantai Songkla Siam walaupun jaraknya lebih jauh daripada pantai Kelantan. Jarak ke Kelantan hanya 150 kilometer, berbanding ke Songkla Thailand 270 kilometer.

6. Melesapkan RM52 bilion nilai saham bumiputera. Sepatutnya orang Melayu akan memiliki ekuiti bumiputera melebihi 40 peratus jika benar Umno pembela Melayu.

7. Menyekat 118 projek pusat ke Kelantan sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9).

8. Menggadai tanah rezab Melayu 1.3 juta hektar. Penjajah Inggeris tinggal tanah rezab Melayu seluas 3 juta hektar selepas merdeka. Tahun 1995 tanah rezab Melayu hanya tinggal 1.3 juta hektar. Siapa punya angkara? Adakah ini dalil Umno pembela Melayu.

9. Memperkenalkan sains dan metematik dalam bahasa Inggeris, melibatkan pelajar Melayu luar bandar dizalimi kerana kurang pasarana.

10. Menyalah guna hak keistimewaan orang Melayu untuk mendapat projek, kemudian mengagihkan kekayaan sesama kroni, akhirnya melayu terus ketinggalan dari segi taraf hidup.

Ini adalah sebahagian daripada bukti Umno tidak boleh membela Melayu. Maka sampailah masanya PAS Ganti Umno. PAS terbukti dan teruji untuk membela Melayu berbanding dengan Umno. Tuduhan DAP dan PKR mengkhianat Melayu sebagai strategi pencuri menjerit pencuri, supaya orang Melayu emosi untuk terus menyokong Umno walaupun hakikatnya Umno menjaga Melayu seperti serigala menjaga kambing.

Panduan pimpinan menghadapi cabaran perjuangan Islam


Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
“Sempena Muktamar ke-57”

Firman Allah yang bermaksud: “Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa (8); Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) (9). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (10).” (Surah Asy-Syams 91:8-10)

Sesuatu yang penting dihayati dan diambil iktibar ialah mengenai pengiktirafan masyarakat Mekah kepada Nabi Muhammad SAW sebelum baginda dilantik oleh sebagai Rasul. Syakhsiyah baginda sudah masyhur sebagai seorang ‘al-amiin’ sudah diterima baik oleh semua lapisan masyarakat.

Ini bererti sifat al-amiin itu sudah menghiasi syakhsiyah Nabi Muhammad SAW sehingga terserlah kepercayaan dan keyakinan masyarakat, betapa baginda seorang yang benar-benar ‘boleh diharap’ sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

Justeru semua individu yang bergelar pimpinan perlulah utamakan muhasabah diri supaya boleh diterima sebagai al-amiin. Ia sesuai dengan maksud firman Allah di atas (seperti maksud ayat di atas) yang meletakkan sifat membersih diri sebagai tangga kejayaan.

Maknanya, seseorang itu perlu bersih diri dan cara membersih diri ialah dengan mengawal nafsu. Percayalah, sifat peribadi (syakhsiyah) seseorang itu tidak boleh baik dan sempurna kalau nafsu tidak boleh dikawal.

Selain itu, cara bersih diri dari pengaruh nafsu buruk ialah menggunakan ‘taqwa.’ Melalui taqwa kepada Allah sahaja yang boleh menyebabkan masyarakat percaya dan yakin kepada seseorang pemimpin. Atas sifat taqwa jugalah apa sahaja yang kita buat––sembahyang, puasa, jaga keluarga hatta mengurus kemasyarakatan––masyarakat akan rasa yakin dan boleh percaya.

Begitu juga, bila seseorang itu bertaraf pemimpin, syakhsiyahnya akan dilihat baik atau sempurna bila ia tidak merokok, lekat sembahyang berjemaah, berterusan dengan amalan sunat, tidak kedekut bersedekah, ringan kaki tulang kerana kerja kebajikan rakyat atau seumpamanya. Ia sebagaimana sifat dan amalan Nabi Muhammad SAW. Apa yang utama, sifat Nabi itu hendaklah dijadikan asas melakukan muhasabah diri.

Ambillah pengajaran daripada kisah tatkala Nabi Muhammad balik dari Gua Hira’ selepas bertemu Malaikat Jibrail. Ketika itu, isteri baginda Siti Khadijah menjadi pendorong dan penguat semangat untuk Nabi berhadapan dengan tugas dan tanggungjawab setelah menerima wahyu. Kata-kata mulia Siti Khadijah berbunyi: “Sekali- kali tidak! Demi Allah, sekali- kali Allah tidak akan menghinakan kamu selamanya. Sesungguhnya kamu benar-benar orang yang suka menyambung tali persaudaraan, menghormati tetamu, membantu orang yang sengsara, memenuhi keperluan orang yang memerlukan, dan membantu orang-orang yang ditimpa musibah.”

Dalam konteks masyarakat Malaysia yang diselubungi fahaman sekular dibawa oleh Umno, ia telah menjauhkan kehidupan rakyat dari agama. Oleh itu terlalu penting bagi setiap rakyat (kalangan Melayu, Cina dan India dan semuanya) menjaga diri masing-masing supaya tubuh badan kita boleh menjadi bahan dakwah, contoh kepada semua orang.

Demikian pengalaman PAS di Kelantan yang sudah masuk 20 tahun memimpin rakyat ke jalan kehidupan beragama. Justeru di Kelantan kini wujud senario atau suasana ke’Islam’an, sekaligus mendidik rakyat menghayati amalan mengikut syariat Islam. Wujud suasana di masjid-masjid sekitar bandar yang dimakmurkan dengan sembahyang berjemaah pada setiap waktu puncak.

Begitu pula, cukup terasa ketenangan dan keselamatan ketika berada di pusat bandar. Terasa perubahan suasana, apabila hotel-hotel yang dulunya sinonim dengan aktiviti tidak sihat, sehingga ada tok-tok lebai terasa goyah bila ke hotel. Namun kini, berkat peraturan Islam, hotel sudah jadi tempat selamat didiami.

Diikuti pula, perkembangan baik berlaku dari segi sistem kewangan Negeri berikutan majoriti bank sudah bertukar kepada sistem kewangan Islam. Tidak ketinggalan, pihak bank luar negara turut membuka cawangan di Kelantan, seperti mana yang terbaru dari sebuah bank dari Kuwait. Ia disokong lagi dengan kemajuan sistem pajak gadai Ar-Rahn yang diperkenalkan oleh Kerajaan Kelantan turut diterima oleh Bank Rakyat dan Bank Islam. Malah yang terbaru, RHB Bank turut melancarkan pajak gadai Islam (ar-Rahnu).

Tidak ketinggalan, selama 20 tahun Kelantan di bawah kepimpinan Islam telah mencipta perkembangan baik di bidang pendidikan Islam. Sehingga merakam kejayaan sistem pengajian Yayasan Islam Kelantan (YIK). Malah turut berkembang sama sistem pengajian tahfiz al-Quran dan sains di bawah Kerajaan Negeri dan swasta. Kesannya telah lahir bijak pandai (intelek) Islam menguasai bidang profesional yang hafal al-Quran.

Berkat daripadanya, wujud suasana kerukunan hidup masyarakat Kelantan dan hubungan harmoni antara kaum––Melayu, Cina, India dan Siam––hidup dengan aman dan sejahtera.

Kesemuanya meletakkan asas kukuh bahawa tanggungjawab kepimpinan ke arah memerintah secara Islam adalah wajib. Lihat sahaja perjalanan Nabi Muhammad SAW sepanjang menjadi nabi dan pemimpin negara. Ketika sistem pemerintahan telah zaman-berzaman wujud di dunia, tetapi Nabi sendiri yang bawa Islam dan tatkala Islam berkuasa, maka Nabi tidak meniru sistem pemerintahan yang sedia ada. Nabi sendiri rela bergadai nyawa, demi menegakkan pemerintahan Islam. Ketika di Mekah pun, Nabi sendiri ditawar dengan serba-serbi kekuasaan dan kemewahan. Namun kesemuannya ditolak. Malah Nabi sendiri meninggalkan Mekah (berhijrah ke Madinah) demi menegakkan pemerintahan Islam.

Di Madinah pula, Nabi mengadakan tahaluf-siyasi dengan puak-puak bukan Islam (Yahudi dan Nasrani). Nabi sendiri memimpin dan mengendalikan semua urusan politik dan pentadbiran negara. Maka kepimpinan Nabi telah berlaku selama 23 tahun, bermula dari Mekah hinggalah ke Madinah.

Biarpun selama itu, apa sahaja cara dan gaya kepimpinan Nabi dilihat ‘berlawan arus’ atas semata-mata untuk tegakkan Islam. Natijahnya, Nabi berjaya menunjukkan contoh kepimpinan terbaik (khudwah hasanah) yang mesti ditiru oleh semua pemimpin dari dahulu sampailah sekarang.

Di sebalik kebaikan kepimpinan Nabi, baginda sering mengutamakan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab atas apa yang dipimpin. Justeru Nabi bukanlah seorang yang bermewah kerana jawatan, malah pernah berhutang dengan seorang Yahudi dan sanggup mencagarkan baju rantai untuk membayar hutang. Walau pun ada sahabat sedia menyara Nabi, tetapi baginda tidak bersedia untuk hidup atas bantuan orang lain.

Pengajaran daripada syakhsiyah dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW itu, harapnya semua pemimpin PAS hari ini perlu meletakkan ‘peribadi Nabi’ sebagai khudwah. Maka, seorang pemimpin itu hendaklah bergantung bulat kepada apa yang Nabi tunjuk itu. Ia sesuai dengan apa yang kita baca di dalam sembahyang. Sebab itulah, setiap kali sembahyang diwajibkan menyebut dan memuji Nabi. Dan sembahyang itu berlaku sebelum awal fajar dan ketika mata hari terbenam. Kesemuanya menuntut untuk kita sentiasa menyebut-nyebut sifat Nabi. Agar sifat itu sentiasa menjadi ikutan kita. Sesungguhnya, kebaikan kepimpinan Nabi Muhammad SAW jelas membawa rahmat dan kesejahteraan untuk sekalian alam. Justeru kenapakah kita tidak mahu menjadikan Nabi sebagai khudwah hasanah?

Semoga sekalian pemimpin PAS menjadikan syakhsiyah Nabi Muhammad SAW sebagai khudwah hasanah. Kepimpinan akan beroleh kejayaan dan jemaah akan terus utuh menuju matlamat perjuangan, yakni kemenangan Islam.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Al-Mursyidul Am PAS.

APA DAH JADI? APA NAK JADI? SAMPAI SEKARANG TAK SEDO LAGI....APA DAH JADI....

Tahniah, Malaysia ke 10 pengguna arak

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan 'tahniah' kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berjaya membawa Malaysia ke rangking ke-10 negara konsumer arak yang terbesar di dunia.

Kejayaan ini benar-benar diluar jangkaan rakyat kerana Malaysia yang pernah di umumkan sebagai sebuah Negara Islam oleh pemimpin Umno berjaya mengalahkan sebahagian besar negara-negara bukan Islam di Eropah dan Benua Amerika.

Demikian kata Ketua Penerangannya, Herman Samsudeen dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Kata Herman, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menganggap pengakuan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie sebagai satu bukti kejayaan gelap BN selama 12 penggal mereka memerintah negara ini.

Ranking yang telah disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) ini juga menyatakan bahawa rakyat Malaysia menghabiskan lebih dari RM1.5 bilion setahun untuk membeli arak.

Setiap tahun, 30 peratus kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku kerana pengaruh alkohol.

Malah lebih teruk dari itu, arak juga sering dikaitkan dengan jenayah penganiayaan, dera, rogol dan bunuh. Gejala pengambilan arak juga kini sudah menular kalangan pelajar sekolah.

"Sampai bilakah kerajaan BN mahu pertahankan rekod ini?" soal beliau.

Beliau mengesa kepada pihak berkuasa kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan persekutuan supaya serius menangani perkembangan industri arak dinegara ini.

Pengeluaran arak di kilang-kilang dalam negara hendaklah dikurangkan, dan permohonan lesen-lesen pengilangan dan penjualan arak baru hendaklah dibatalkan, cadang beliau.

DPPWP juga mahu pihak berwajib memantau aktiviti penjualan arak dikedai-kedai, restoran dan kelab malam.

Bagi beliau, arak tidak sepatutnya dibiarkan dijual secara terbuka seperti dikedai-kedai ubat dan 7-Eleven yang beroperasi 24 jam.

Akses pembelian arak yang begitu terbuka menyebabkan rakyat negara ini begitu mudah terlibat kepada gejala penagihan arak ini, katanya.

DPPWP juga kesal kerana kerajaan gagal menghalang umat Islam mengadakan urusniaga arak dan meminumnya.

Oleh itu, kerajaan wajib memberikan kuasa penuh kepada JAKIM dan Majlis Agama Negeri memantau umat Islam dari terjebak kepada arak, katanya.

Islam mengharamkan umatnya meminum arak. Bukan hanya kepada rakyat biasa tetapi kepada golongan kaya dan pemimpin sekalipun, hukumnya tetap haram disisi Islam.

"Bagi yang bukan Islam, DPPWP menasihatkan supaya menjauhi arak. Kesan mabuk akibat arak lebih banyak keburukkannya dari kebaikan. Maka carilah minum yang lebih menyihatkan dan memberikan kebaikan kepada diri anda," katanya.

Beliau juga berharap agar kerajaan tidak terus menerus menutup mata, memekakkan telinga hanya kerana cukai arak yang tinggi dapat memberikan pulangan kepada dana kewangan negara.

Ahli-ahli parlimen wajar membincangkan isu ini dan mencari langkah-langkah penyelesaikan terbaik bagi menyelamatkan rakyat, katanya.

DPPWP berharap agar pemimpin Islam dan bukan Islam dinegara ini dapat mengambil perhatian serius fakta WHO ini dan berusaha menjadikan negara ini bebas dari pengaruh arak, tambah beliau.