Rabu, 24 Ogos 2011

Saya minta jangan tuduh Dr M tak dengar - Harussani


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria (gambar) mendakwa beliau pernah meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar jangan membuat tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim jika tidak cukup bukti.

Namun demikian, nasihat itu tidak didengar oleh Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri dahulu, kata Harussani dalam wacana Ulama Politik Untuk Dakwah atau Parti? yang bermula jam 11.00 pagi tadi di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf.

“Saya, banyak perkara suruh Dr Mahathir berhenti (tidak lakukan), tapi ada tiga perkara beliau tidak mahu berhenti, yang pertama bila nak pecat, Anwar saya ditahan daripada jumpa perdana menteri.

“Saya kata kepada pembantu (Dr Mahathir) pecat Anwar pengaruh bukan sikit boleh pecah Melayu... bila nak buat tuduhan liwat, saya kata kalau nak pecat Anwar (dari timbalan perdana menteri) buat rombakan Kabinet, letak di kementerian lain... tapi saya tidak dibenarkan jumpa perdana menteri,” katanya pada Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti hari ini.

Turut serta dalam forum anjuran akhbar Sinar Harian itu adalah Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ulama muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya manakala moderatornya adalah Datuk Dr Asri Zainal Abidin.

Dalam majlis itu, Mufti Perak itu mendedahkan, bagi memastikan perpaduan Melayu-Islam, beliau pernah mengingatkan Datuk Seri Najib Razak tentang kerajaan yang "lemah, tidak amanah dan rasuah."

"Saya kata pada Najib, Datuk Seri, perpecahan Melayu sebab kerajaan cukup lemah, tak amanah dan rasuah," kata Harussani.

Harussani berkata sebagai orang yang tidak berparti, beliau telah mengambil pendekatan itu sejak zaman Tun Razak Hussein lagi.

Diminta menghuraikan tegurannya itu, Harussani bagaimanapun enggan melakukannya kerana berharap ia "habis di sini sahaja".

Anwar didakwa lagi

Anwar sekali lagi didakwa atas tuduhan meliwat oleh kerajaan yang ditadbir oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Beliau kini sedang dalam peringkat membela diri atas tuduhan itu.

Bekas Duta Amerika ke Malaysia, John Mallot dalam tulisannya mendakwa, pentadbiran Umno dan BN akan mempastikan Anwar akan hidup terus dalam penjara.

Rakan Najib, Datuk Abdul Razak Baginda pernah memberitahu seorang pegawai senior di kedutaan, “Keputusan sudah dibuat. Mereka akan “nuke” (membunuh) Anwar secara politik untuk keseluruhan masa akan datang. Sehingga beliau tidak boleh berdiri lagi dalam politik,” kata Mallot dalam tulisannya.

"Bermaksud, ini adalah satu keputusan politik – untuk memusnahkan Anwar. Itu yang Razak – yang sekarang ini membuangkan diri di London – katakan. Selepas itu, seorang pegawai daripada Special Branch (SB) memberitahu satu pegawai di kedutaan, “Kita akan terus menfailkan dakwaan demi dakwaan terhadap Anwar supaya beliau berada di dalam penjara untuk 100 tahun akan datang," tulisnya lagi.

Elak keliru, 'Majlis Syura' ditukar 'JK Pendengaran'


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Bagi mengelak kekeliruan berhubung penubuhan jawatankuasa menyiasat isu pemeriksaan gereja, kerajaan negeri Selangor memutuskan menukar nama jawatankuasa itu dari 'Majlis Syura' kepada 'Jawatankuasa Pendengaran'.

Menurut kenyataan daripada sekretariat akhbar Pejabat Menteri Besar, tindakan itu demi mengelakkan sebarang pertindihan dengan Majlis Syura Negeri Selangor yang diterajui Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mencari penyelesaian isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Methodist Church di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu yang kini diperkatakan banyak pihak.

"Walaubagaimanapun, matlamat asal, gerak kerja dan keahlian jawatankuasa ini tetap sama dan selaras dengan perbincangan antara Dato' Menteri Besar dan DYMM Sultan Selangor.

"Kerajaan Negeri berharap perubahan nama ini akan dapat merungkai sebarang kekeliruan yang wujud dan meneruskan segala usaha mencari penyelesaian berhubung isu DUMC dan JAIS bagi kesejahteraan rakyat jelata," kenyataan itu dipetik.

Isu kekeliruan itu timbul dipercayai selepas Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah, semalam meluahkan rasa terkejut dengan penubuhan Majlis Syura itu.

Dalam satu kenyataan media setiausaha sulit kepada sultan Datuk Mohamad Munir Bani berkata, isu baginda menitahkan atau menasihatkan kerajaan negeri Selangor menubuhkan majlis penasihat syura adalah tidak benar.

Katanya, sultan juga berpendirian, majlis penasihat syura atau badan berbentuk dialog berkaitan agama "tidak pernah diperkenankan".

Ini kerana, tambahnya, selain JAIS, negeri itu mempunyai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan jabatan mufti negeri.

Akur nasihat Sultan

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim juga berkata, kerajaan negeri tetap akan akur kepada segala nasihat dan titah yang diterima secara langsung daripada DYMM Sultan Selangor serta bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan penyelesaian terbaik dalam isu tersebut.

Isnin lalu, Khalid mengumumkan pembentukan majlis itu bagi menyelesaikan kontroversi isu murtad dan bagi mengendurkan ketegangan yang mungkin tercetus di kalangan masyarakat Islam dan komuniti bukan Islam di Selangor.

Dalam kenyataannya itu, Khalid berkata idea penubuhan majlis tersebut dicadangkan oleh Sultan Selangor hasil perbincangan mereka minggu lalu.

Majlis tersebut akan dianggotai oleh Mufti Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan timbalannya, Datuk Abd Majid Omar serta dirinya sendiri.

Bukan anak kite je mati andeh!

Abdul Aziz Mustapha

KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan Pak Pandir yang berkeriau "bukan anak kita saja yang mati, anak orang pun mati".

Beliau juga mengulangi penegasan bahawa kenaikan harga barang lebih diakibatkan oleh kegagalan kerajaan BN menguruskan ekonomi negara dan bukannya semata-mata berpunca dari kenaikan harga barang di peringkat global.

"Reaksi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) mencerminkan sikap Pak Pandir kerajaan BN yang tak habis-habis menjerit 'bukan anak kita sahaja yang mati, anak orang pun mati'.

"Bila berlaku kenaikan harga, tak habis-habis menyalahkan faktor luar seperti kenaikan harga di peringkat global, 'imported inflation' dan sebagainya.

"Kalau semata-mata disebabkan tempias kenaikan harga barang diperingkat global seperti yang cuba didakwa olehnya, mengapa harga barang di negara ini naik berkali ganda berbanding kenaikan peringkat global?

"Persoalannya, adakah beliau tahu realiti sebenarnya tentang kenaikan harga barang di negara ini?," kata Mahfuz.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, sebelum ini telah beberapa kali dibangkitkan bahawa kenaikan harga makanan di negara ini berkali ganda lebih tinggi dari kenaikan harga di peringkat global seperti yang dibuktikan oleh angka-angka Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Bangsa-bangsa Bersatu (FAO).

Beliau juga menyelar Ismail Sabri yang membangkitkan soal harga nasi kerabu dan nasi dagang sedangkan kenaikan harga pelbagai barang berpunca dari kenaikan harga barangan asas seperti minyak yang gagal dikawal oleh kerajaan.

"Inilah mentaliti kerajaan BN. Bila harga tepung naik misalnya, yang diburu ialah Mamak jual roti canai dan pekedai runcit sedangkan mereka yang memonopoli perniagaan barangan berkenaan tidak pernah diusik.

"Samalah juga sekarang, kita bincang tentang kenaikan barang yang berpunca dari kegagalan kerajaan mengawal harga barangan asas seperti minyak, dia suruh kita bagi duit kepada penjual nasi kerabu dan nasi dagang supaya mereka dapat turunkan harga.

"Tak pernah berubah perangai BN yang berak di sana-sini dan lepas itu suruh orang cuci," katanya.

Mahfuz sependapat dengan Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat (PR) tentang pasaran negara ini yang dicengkam monopoli, oligopoli dan kartel.

"Masalahnya, kerajaan BN bersungguh-sungguh menyembunyikan punca-punca utama kenaikan harga barang itu dari rakyat demi kepentingan yang semakin disedari rakyat," katanya.

Beliau berkata, Kelab Protes Barang Naik atau ringkasnya Protes BN yang digerakkan oleh Lajnah Pengguna PAS yang diterajuinya akan melipatgandakan penerangan kepada rakyat.

"Kita mahu rakyat sedar punca berlakunya kenaikan harga barangan ini disebabkan kelemahan pengurusan ekonomi oleh kerajaan BN.

"Perkara ini boleh dielak jika tiada keborosan, tiada ketirisan, tiada salah keutamaan dan tiada amalan rasuah dalam pentadbiran negara," kata Mahfuz.