Ahad, 11 Januari 2009

Tarbiyyah Rohani, tarbiyyah yang sering dilupai. (siri 2)



JANGAN TERLALU KERAP MEMBICARAKAN DIRI MU KELAK AKAN HILANG ALLAH DARI PANDANGAN MU

2. Memahami hakikat perhambaan kepada Allah.

Walau dimana pun posisi kita dalam jamaah ini, kita secara umumnya adalah "hamba kepada Allah". Samaada kita yang berada dikerusi kepimpinan atau sekadar 'Amilin diperingkat bawahan. Semua kita wajib berfikir sebagai "hamba". Membentuk acuan berfikir sebagai hamba akan menjadikan kita;

a). Sentiasa berkhidmat kepada jamaah tanpa banyak soal.

Sifat seorang hamba ialah akan sentiasa patuh dengan batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh "Tuannya". Hamba tidak pernah bertanya apakah habuan yang bakal diterima sebagai ganjaran atas khidmatnya kepada Tuannya. Hamba sudah cukup berpuas hati dan bersyukur jika dapat berkhidmat kepada Tuannya sekalipun tidak dijanjikan apa-apa ganjaran. Jika sifat sedardiri ini berjaya ditarbiyyah keatas seorang 'amilin dan petugas dalam jamaah, kita akan dapat saksikan pribadi tawadhuk yang cukup setia dengan arahan yang diberikan oleh jamaah. Kita tidak seharusnya berfikir apa akan Allah berikan atas jihad dan kerja-kerja jamaah yang telah kita lakukan. Kita lakukan tugasan ini kerana kita hamba kepada Allah. Takdir kata Allah tidak menjanjikan apa-apa janji kemenangan kepada perjuangan ini, kita masih tetap dituntut bekerja tanpa soal. Inikan pula bila Allah dalam banyak ayat-ayatNya menjanjikan kemenangan dan pertolongan atas perjuangan hambaNya. Kita sebenarnya tidak layak bertanya bilakah kemenangan dan kejayaan akan diberi jika sekalipun kita telah mengerahkan seluruh tenaga dalam perjuangan ini. Inikan pula masih terlalu sedikit sumbangan yang kita berikan, masih terlalu sedikit masa yang kita peruntukkan untuk jamaah dan masih jarang benar doa kita untuk kejayaan jamaah.

b). Sentiasa beradab dengan adab hamba.

Adab hamba ialah rendah diri, banyak bekerja dari bertanya, lebih banyak berfikir apakah khidmatnya kepada Tuannya berbanding apakah anugerah Tuannya kepadanya dan setiap saat ia menjaga adab-adab perhambaan. Fikrah ini jika dimiliki oleh para 'amilin dalam jamaah, mereka akan sentiasa dihiasi dengan sifat-siafat mahmuudah. Akhlak yang dihiasi dengan sifat tawadhuk yang akan menjadikan ia sentiasa dicintai oleh Allah dan kawan serta disegani oleh lawan. Perasaan perhambaan itu akan sentiasa menjadi penasihat kepadanya, jika ia hampir tergelincir dari landasan jamaah. Ia tidak akan lari dari jamaah walau apa pun sebabnya, sebagaimana ia tidak sanggup untuk menjadi hamba yang lari dari Tuannya.

c). Sentiasa merasai kehadiran Allah dalam hidupnya.

Orang yang diasuh dengan "berfikir secara rohani" akan sentiasa merasai kehadiran Allah dalam setiap sudut dan penjuru hidupnya. Allah sentiasa hadir samaada saat ia bersendiri atau dikhalayak umum. Mereka tidak akan menjadi ahli jamaah yang hipokrit. Apa pun situasi yang dihadapinya ia tetap menyantuni Allah. Allah tetap bersamanya. Justeru itu ia tidak merasa gelisah dengan berlikunya jalan perjuangan yang dilalui. Jiwanya sentiasa segar dengan pengharapan dan keyakinan bahawa Allah tiadak akan pernah membiarkan dan mengabaikannya. Hasil kerja jamaah yang datang dari 'amilin yang sentiasa yakin dengan pertolongan Allah tidak sama dengan hasil kerja 'amilin yang dilonjak dengan pujian dan sanjungan.

d). Menghargai apa jua yang datang dari Allah.

Seorang hamba merasa sangat gembira jika dihadiahkan sesuatu oleh tuannya. Bukan nilai hadiah itu yang dilihatnya tetapi dari siapa hadiah itu datang. Justeru itu anggota jamaah yang diasuh dengan kesedaran ini sangat menghargai apa jua kedudukannya dalam jamaah. Jika Allah menganugerahkannya posisi ahli biasa, maka ia sangat bersyukur kerana itulah pilihan Allah untuknya. Ia tidak pernah merasa kecewa dengan pilihan Allah. Jika Allah menganugerahkan posisi kepimpinan untuknya, maka ia bersyukur dan akan menjaga anugerah itu dengan penuh amanah. Ia yakin, apa pun pilihan Allah pastinya itulah pilihan yang paling baik untuk dunia dan akhiratnya. Kerana Allah Maha Tahu dan Maha Bijaksana. Jika Allah menganugerahkan kemenangan, maka itu adalah kemanisan yang harus disyukuri. Jika Allah mentakdirkan kekalahan, maka itu adalah ujian yang perlu diredhai.


p/s : Catatan Tarbiyyah ini di ambil dari karangan guruku Al-Fadhil Tuan Guru Hj Mokhtar bin Senik
Pengurusi Pondok An-Nuur, Kuantan, Pahang.

Tarbiyyah Rohani,tarbiyyah yang sering dilupai. (siri 1)

KETIKA BERDIRI DIHADAPAN CERMIN, LIHAT LAH KEKURANGAN DIRI JANGAN DILIHAT KELEBIHANNYA



Dalam rancak kita berbicara soal-soal tarbiyyah. Sering kita fokuskan kepada pembentukan fikrah, wala', sifat-sifat jundi dan qiady yang dikehendaki oleh jamaah dan beberapa perkara yang berkaitan dengan adab-adab berjamaah. Sering kali kita lupa kepada tanggungjawab membentuk fikrah rohani. Saya tidak maksudkan tarbiyyah rohani disini ialah mendidik ahli jamaah tekun menunaikan ibadah, atau giat berqiamullail dan berma'thurat setiap hari. Namun apa yang saya maksudkan disini ialah "berfikir secara rohani". Berfikir secara rohani akan mengukuhkan lagi sifat-sifat kerohanian sehingga menyerlahkan hakikat sebenar sifat "mahmudah" yang diimpikan oleh semua hamba yang sejati. Apakah bentuk "berfikir secara rohani" yang diperlukan oleh anggota jamaah?.

1.) Memahami hakikat kerja dalam jamaah.

Kita perlu diasuh untuk memahami ruh sebenar segala kerja yang kita lakukan untuk jamaah ini. Apabila kita mengatakan berjamaah adalah wajib ( menurut usul fiqh, bagi mencapai maksud dakwah yang sebenar) bermakna segala kerja yang kita lakukan dalam jamaah ini adalah "ibadah". Apabila kerja dan pengelibatan itu ibadah, maka hendaklah kita faham bahawa;

a). Ibadah hendaklah dengan niat yang ikhlas Lillahi Ta'ala.

Sebagaimana solah, puasa, haji dan ibadah-ibadah khususiyyah yang lain menetapkan adanya niat kerana Allah, maka begitulah juga apa jua kerja yang kita lakukan untuk jamaah ini.Objektif utama kita ialah mencari keredhaan Allah. Ada sahabat bertanya kepada saya, kalau begitu mengapa dalam perjuangan ini kita harapkan kemenangan dan kuasa. Memang benar. Kita memang mengharapkan Kemenangan dan kuasa. Tujuannya ialah untuk menegakkan khilafah Allah di mukabumi ini, bagi mencari keredhaan Allah. Justeru itulah kita Iltizam dengan matlamat "negara Islam". Jika perjuangan ini bukan kearah matlamat menegakkan "daulah Islamiyyah" yang terlaksana di dalamnya syariat Allah, maka kerja-kerja kita kearah meraih kemenangan itu tidak lagi "ibadah". Apabila kerja-kerja dalam jamaah ini sudah tidak lagi berwajah ibadah maka sendi-sendi perjuangan ini akan lumpuh disegenap peringkat. Apabila kerja dalam jamaah ini bukan Ibadah, maka sudah tentu kita lakukannya untuk wang, atau pangkat atau bagi mencapai kepuasan nafsu. Sedangkan kita telah saksikan perjuangan yang bermatlamatkan wang akhirnya hancur kerana rasuah telah menjalar sehingga ketulang sulbi parti mereka. Jika dilakukan kerja jamaah kerana pangkat semata-mata maka telah kita saksikan perebutan jawatan yang sedang berlaku dalam sebuah parti di negara kita. Sehingga terhapusnya wajah dan sikap manusia bertamaddun saat pemilihan parti mereka. Perbalahan berlaku dimana-mana.
b). Ibadah hendaklah bersesuaian dengan sunnah Rasul.

Sesuatu amalan itu tidak dinamakan Ibadah jika berlawanan dengan sunnah Rasulullah saw. Justeru itu kita hendaklah sentiasa menjaga nilai-nilai sunnah dalam melaksanakan apa jua urusan dalam jamaah. Kita sememangnya dituntut berusaha untuk mendapatkan simpati, undi dan sokongan serta penyertaan ummat umum. Namun usaha-usaha kearah itu tidak boleh dibuat secara terpinggir dari suluhan siirah Rasulullah saw. Jangan sekali-kali bersikap "asalkan menang, lakukan lah apa cara sekalipun atau yang penting kita menang dulu, selepas itu baru kita fikir tentang melaksanakan syariat Islam". Cuba kita lihat kembali bagaimana Rasulullah membentuk generasi dua'at yang pertama dalam sejarah perjuangan Islam. Ada suara-suara yang berkata; "cara itu lambat menang". Lalu cuba tunjukkan kepada saya di Malaysia ini mana dia jamaah yang telah berjaya mencapai kemenangan mendahului Pas?.

c). Ibadah hendak dipelihara daripada perkara-perkara yang membatalkannya.

Setiap ibadah hendaklah terhindar daripada perkara-perkara yang membatalkannya. Solah tidak boleh diteruskan apabila wudhu' telah terbatal. Begitu juga dengan kerja-kerja jamaah ini. Jangan kita laksanakan kerja-kerja jamaah bersamaan dengan kita melakukan perkara-perkara yang haram. Mungkinkah kita mengharapkan pertolongan Allah dalam keadaan kita mendurhakai Allah?.

d). Ibadah menuntut sifat khyusuk dalam melakukannya.

Khyusuk umumnya bermakna sentiasa ingat pertemuan mereka dengan Allah dan yakin bahawa segala amalan mereka akan dibawa kembali kepada Allah. Khuyusuk,khususnya dalam solah bermakna berta'ammul ( memerhati dan menghayati) setiap bacaannya sepanjang solah. Bagitulah hakikatnya kerja kita dalam jamaah ini. Semua yang kita lakukan ( samaada peringkat atasan jamaah atau bawahan) pastinya akan dibawa kehadapan Allah swt di Akhirat. Kita seharusnya menghayati perjuangan ini dengan sebenar-benar penghayatan. Keujudan kita (pas) bukan sekadar untuk memenuhi ruang kosong dalam politik di Malaysia. Kita ada tugas yang besar, tugas yang kita warisi dari Rasulullah saw, iaitu membangunkan kalimah tauhid sehingga meratai setiap inci bumi Allah ini.

e). Ibadah hendaklah dilaksanakan terus menerus tanpa jemu.

Ibadah adalah lambang pengabdian diri kepada Allah. Justeru itu kita tidak boleh jemu beribadah. Jemukah kita menjadi hamba Allah?. Sebagaimana kita tidak boleh merasa jemu menjadi hamba kepada Allah, kerana hakikatnya kita mengharapkan Allah setiap saat, maka begitu jugalah kita tidak boleh jemu beribadah kepadanya. sumbangan kerja yang kita lakukan untuk jamaah ini adalah sebahagian daripada ibadah itu.

f). Ibadah tidak dihalangi oleh susah atau senang dan apa jua rintangan.

Ibadah yang tulus ikhlas kepada Allah akan terus dilaksanakan walau apapun keadaannya. Solah umpamanya. Tiada keadaan yang boleh menghalagi kewajipan solah kecuali gila dan mati. Hatta saat di medan peperangan pun solah masih perlu dilaksanakan. Itulah juga tanggungjawab kita dalam jamaah ini. Apakah saat mencapai kemenangan kita bersungguh-sungguh melakukan kerja-kerja jamaah, manakala saat ditimpa kekalahan kita berundur diri daripadanya?. Saat diberi jawatan kita aktif mengisi program jamaah, apabila tidak lagi memegang apa-apa jawatan kita terus berundur dari memberi sumbangan. Bukankah Allah mengajar kita, berilah infaq di jalan Allah samaada dalam keadaan senang ataupun susah.

p/s : Catatan Tarbiyyah ini di ambil dari karangan guruku Al-Fadhil Tuan Guru Hj Mokhtar bin Senik
Pengurusi Pondok An-Nuur, Kuantan, Pahang.