Isnin, 22 Julai 2013

WAHAI ANAK-KU siri 5

Wahai anakku,
Ingatlah semenjak engkau dilahirkan, aku dan bondamu masih belajar menjadi ayah dan bondamu. Tiada petua atau panduan yang khusus bagi seseorang yang bergelar ibubapa.

Wahai anakku,
Aku sedar aku tidaklah sempurna dan aku hanyalah seorang insan biasa. Aku juga akan melakukan kesilapan. Kadang-kala aku juga tidak melaksanakan apa yang aku katakan, tapi aku akan cuba sedaya upaya untuk mengelakkan engkau dari melakukan kesilapan yang sama.

Wahai anakku,
Mungkin dalam mindamu terasa aku ini seperti seorang hipokrit. Tapi, aku hanya inginkan yang terbaik untuk kamu. Aku tidak boleh berjanji bahawa aku selalu akan membuat keputusan yang betul, tapi yakinilah bahawa setiap keputusan dibuat dengan hati yang penuh kesayangan dan demi kebaikanmu.

Wahai anakku,
Aku mungkin tidak dapat menjadi ayah yang sempurna di hatimu tapi aku akan melakukan yang terbaik sedaya mampu buat anak kesayanganku. Ingatlah, kamu adalah segalanya bagi aku dan terutamanya bondamu. 


Senyum.

WAHAI ANAK-KU siri 4

Wahai anakku,
Apabila engkau senyum dan ketawa, kamu tidak pernah berasa sedih. Sewaktu engkau senyum, kamu tidak ingat pada perkara silam dan sedih. Kemurungan engkau juga hilang. Sewaktu engkau ketawa, kamu tidak terfikir apa yang terjadi besok, minggu depan. Sewaktu engkau senyum, hati tetiba terasa riang. Apabila engkau melihat orang senyum pada kamu, hatimu akan terikut gembira dan senyum bersama.

Wahai anakku,
Ini kerana senyum dan ketawamu akan menghasilkan penawar di air liur yang mengubatkan duka, menenangkan fikiranmu dan membawa mindamu kembali ke saat ini, bahawa saat ini sahajalah apa yang kamu ada.

Penawar ini begitu kuat dan ajaib, sehinggakan orang yang melihat kamu senyum dan ketawa turut menghasilkan penawar yang sama. Inilah sebabnya mengapa senyuman itu adalah satu sedekah yang mulia.

Oleh itu, wahai anak kesayanganku, senyumlah selalu. Senyumlah ketika engkau memandu, ketikamu mandi, ketikaku bercakap dengan isteri, ketikamu di pejabat, ketikamu memasak, ketikamu membeli juadah berbuka dan di mana-mana dan jangan sesekali kamu terlupa untuk melakukannya dalam keadaan kesederhanaan.

Senyum petang.

WAHAI ANAK-KU siri 3

Wahai anakku,
Semasa engkau di waktu pagi, jangan kamu berharap akan berjumpa petang. Semasa engkau di waktu petang, jangan pula kamu berharap akan berjumpa pagi.

Wahai anakku,
Jika engkau tidak hidup dalam "lingkungan hari ini", minda kamu akan bercelaru. Selepas itu, kebimbangan kamu akan bertambah dan kamu akan bertambah keliru dengan urusan seharian kamu. 

Ini petua orang tuamu yang sedikit untukmu wahai anak kesayanganku. Aku sebutkannya supaya engkau tidak tersilap petua seperti aku di waktu muda dan engkau lebih cepat mencapai kebahagiaan dalam kehidupan kamu.

Senyum.

Cerita 5 : kisah sebuah rumah

Petang itu kedengaran rungutan tangga sudah tidak terbendung lagi. Dia terus berleter. 

“Penat letih jadi tangga. Waktu orang naik, aku kena pijak. Waktu turun pun orang pijak aku. Seronok jadi atap. Tak pernah kena pijak. “

Mendengarkan kata kata tangga. Atap terus bersuara. 

"Hoi tangga. Aku lagi sakit tau. Berpanas berhujan siang malam. Mendidih kepanasan bila tengahari. Bila hujan aku terpaksa menahan kesejukan. Yang seronok jadi tiang. Tak kena panas. Tak kena hujan. Tak kena pijak.”

Mendengarkan kata atap, tiang terus bersuara.

“Mana kamu tahu? Aku dok tahan pikul atap, segala alang rumah bertan-tan siang malam. Aku terpaksa pikul jugak. Tuhan saja tahu betapa beratnya. Yang seronok jadi dinding. Tak payah pikul. Tak kena panas. Tak kena pijak.”

Mendengar kata-kata tiang, lalu dinding menjawab.

“Akulah pelindung khazanah rumah ni. Aku lindung aurat tuan rumah, hartanya bahkan aku terpaksa jaga sepanjang masa. Kalau aku tak ada semua tak guna,“ jawab dinding dan semua tersenyap.

Wahai anakku,
Aku ceritakan ini untuk mengingatkan engkau bahawa setiap manusia mempunyai tugasnya sendiri. Kamu buatlah kerja yang diamanahkan padamu sebaiknya. Jangan sesekali engkau berdengki pada orang lain. Sebab mata kamu hanya dikurniakan penglihatan daripada segi zahirnya sahaja. Sedangkan realitinya mungkin tidak seindah yang kamu lihat di minda. Jadilah diri sendiri, jangan cuba jadi orang lain. 


Senyum.

WAHAI ANAK-KU siri 2

Wahai anakku,
Allah memastikan cahaya matahari tiba di bumi daripada 150 juta km jauhnya dari bumi untuk engkau tanpa gagal setiap hari. Allah juga memastikan bumi berputar mengikut konsisten yang sama untuk engkau menikmati siang malam dan musim berubah selagi kamu belum dimasukkan ke liang lahad.

Namun, bagaimana pula kamu membalas Tuhanmu dan ajarannya? Aku sengaja mengungkitkan ini supaya kamu dapat tinggalkan perasaan malasmu dan mula membaca Quranmu. Dah berapa juzuk engkau baca setakat ini di bulan mulia ini? Apakah masa yang dihabiskan berlegar di Facebook melebihi masa engkau mendekatkan diri dengan Tuhanmu?

Wahai anakku,
Jangan sesekali engkau berfikiran akan ada Ramadan yang akan datang. Aku sangat bimbang ini barangkali Ramadan terakhir untukmu dan engkau membazirkannya dengan menangguhkan ibadahmu ke Ramadan satu lagi.

Aku sangat sedih jika engkau berfikiran sedemikian, wahai anakku. Lakukan segala yang diperintah dan disaran dengan sepenuh hati kerana engkau mungkin tidak berpeluang selepas ini. Jangan lepaskan peluang untuk berbuka dan bersahur bersama dua orang tuamu, yang sanggup berkorban segalanya untuk kesejahteraanmu tanpa mengharapkan apa-apa dari engkau, selain mengharapkan kamu sentiasa sihat, selamat dan kehidupanmu diredhai Allah.

Senyum

WAHAI ANAK-KU

Wahai anakku,
Jika mata dan minda engkau mampu melihat segalanya dalam bentuk dosa dan pahala, percayalah kamu tidak akan lagi membuat dosa dan hanya berusaha mendapatkan pahala. Dosa engkau sama seperti bentuknya pahala yang tidak mampu dilihat matamu dan tidak disedari mindamu tapi percayalah jiwamu mengetahuinya.

Wahai anakku,
Bila engkau berbuat perkara memberi pahala, hati kamu akan terasa berat pada mulanya akibat bisikan syaitan, tapi setelah kamu melakukannya, hati kamu berasa riang bersenyum kerana telah berjaya menumpaskan syaitan. Perasaan itu umpama engkau melihat sampai di tepi jalan, hati dan mindamu berbalah tidan henti antara mengutip dan tidak mengutip sampah tersebut, tapi selepas dikutip dan dibuang ke tong sampah, senyuman terpancar di wajahmu dari hati sanubarimu.

Wahai anakku,
Perasaan itu cukup berbeza ketika engkau membuat dosa. Hatimu akan terasa seronok yang amat sangat untuk sementara, tetapi kamu akan diselubungi rasa bersalah akhirnya. Ia umpama maksiat, seronok perasaannya ketika minda melayan bisikan syaitan dipandu nafsu bergelora ketika membuatnya, tapi tatkala nafsumu hilang, jiwa engkau akan diselubungi perasaan bersalah kerana gagal melawan nafsu.

Wahai anakku,
Ambillah peluang di bulan mulia untuk menguatkan diri kamu. Aku bimbang tatkala aku tiada satu hari nanti, kamu boleh menjaga dirimu walaupun tiada orang lagi untuk menegurmu.

Senyum.

cerita 4 : kisah posmen…

Ada seorang pakcik tua suka menerima surat. Setiap hari dia akan menunggu kedatangan posmen.

“Terima kasih banyak-banyak. Anta paling hebat di dunia. Tiap-tiap hari ada surat untuk pakcik,” pakcik itu memuji posmen.

“Pakcik, ana ini penghantar surat sahaja,” jawab posmen itu.

“Tidak. Tanpa anta manalah surat ini dapat datang,” jawab pakcik itu kembali.

Pakcik ini menjadi terlalu memuja posmen.

Satu hari, di bulan Ramadan…

Pakcik menunggu surat, tapi posmen tidak berhenti di depan rumahnya.

Untuk 4 hari berturut-turut, posmen tidak berhenti.

Hari ke 5, pakcik tak tahan, lalu menahan posmen.

“Mengapa anta tak hantar surat pada pakcik?” sergah pakcik itu.

“Sebab tak ada surat untuk pakcik,” jawab posmen itu.

“Mana mungkin tak ada surat. Sebelum ini, tiap-tiap hari anta akan hantar surat pada pakcik,” sergah pakcik itu lagi.

“Ana penghantar surat sahaja pakcik. Kalau tak ada orang hantar surat pada pakcik, ana tak ada apa yang boleh hantar pada pakcik,” jawab posmen dengan penuh sabar.

“Kalau tak ada surat, buatlah surat untuk pakcik! Itu pun tak tahu,” jawab pakcik itu.

Selepas seketika, surat pakcik mula datang kembali.

Satu hari, posmen itu memberitahu pakcik, “Besok ada orang baru ganti ana. Ana dah naik pangkat.”

“Habislah surat pakcik,” keluh pakcik itu.

Posmen tidak berkata apa-apa. Besok posmen baru mula menghantar surat pada pakcik. Kebimbangan pakcik bahawa suratnya tidak sampai selepas posmen bertukar hilang bila posmen baru mengirimkan surat kepadanya.

“Bagusnya posmen baru ini. Surat masih datang seperti biasa. Tak sangka tukar posmen pun dapat lagi surat seperti biasa,” kata pakcik seperti biasa.

Anak pakcik yang mengirim surat setiap hari ke pakcik. Di bulan Ramadan, anak pakcik kemalangan masuk hospital, tak sempat kirim surat, tapi juga tak beritahu pakcik kerana bimbang dia risau.

Wahai anakku,
Begitulah kisah di mana pakcik terlalu memuja kebesaran posmen yang menghantar surat kepadanya, sehingga terlupa bahawa surat datang daripada pengirim surat. Sedangkan posmen ini hanyalah pengirim sahaja, tapi pakcik itu terlalu memuja hilang menyangka bahawa suratnya akan hilang jika posmen bertukar orang. Walhal jika ada surat, posmen akan hantarkan walau bertukar orang.

Wahai anakku,
Aku sengaja ceritakan ini untukmu dijadikan tauladan apabila melihat pada rezekimu di bumi sementara Allah ini. Ingatlah anak kesayanganku, rezeki kamu Allah yang tentukan. Manusia, haiwan bahkan tumbuhan boleh jadi pengirimnya - kadangkala kerajaan jadi pengirimnya.

Wahai anakku,
Jangan engkau terlupa hakikat ini sehingga kamu terlalu memuja dan membesar-besarkan tangan yang mengirim rezekimu sehingga ia lebih penting dan besar daripada Tuhanmu. Walhal mereka ini posmen sahaja. Seperti juga bertukar kerja mahupun pemerintah, ia tidak menyekat rezeki yang Allah sudah tentukan untuk kamu. Asalkan engkau teruskan kerja dan berusaha, akan ada pengirim lain sekiranya rezeki itu Allah dah ditentukan untuk kamu. Allah maha Pemurah lagi maha Mengetahui.

Senyum.

CERITA 3 : Alkisah pegawai bank di atas perahu...


Seorang pegawai bank ditugaskan ke sebuah kampung bagi berkempen penduduk yang baru dapat durian runtuh agar menyimpan wang yang baru diperolehinya. Dia terpaksa menyeberangi sungai yang didayung oleh seorang tua. 

Sambil perahu bergerak pegawai bank bertanya kepada lelaki tua itu, apakah pak cik pandai membaca dan menulis, jawab lelaki itu, tidak. 

Lalu kata pegawai itu, pak cik hilang separuh kejayaan kehidupan kamu. Lalu pak cik tersebut terdiam.

"Orang yang tidak pandai membaca dan menulis dia hilang separuh keupayaan mendapat maklumat," rungut pegawai tersebut.

“Pak cik ada simpanan wang dalam bank?” tanya pegawai lagi.

"Tak der,” jawab pak cik dengan selamba.

"Oh, pak cik hilang separuh kebahagiaan masa depan, bagaimana nanti apabila kita dah tua dan tak mampu lagi untuk bekerja, kalau tidak punya simpanan.”

Jawab pendayung sampan itu, "pendapatan saya hanya cukup cukup untuk makan saja, macam mana nak simpan durian runtuh ni pun dah lebih 50 tahun baru dapat”.

Lalu pegawai bank menasihati pak cik tersebut agar menyimpan, “kalau tidak separuh kehidupan masa depan akan pudar”.

Sampan terus bergerak laju, tidak semena-mena terlanggar satu kayu di dalam sungai, menyebabkan perahu uzur itu bocor dan air mulai memasuki perahu tersebut.

Lalu pak cik tua itu bertanya pegawai bank adakah dia pandai berenang?

Jawab pegawai tersebut, "saya tak pandai langsung berenang”.

Jawab pak cik pendayung sampan, "kalau begitu kamu hilang semua kehidupan kamu”.

Dapat isi tersirat? Senyum.

Cerita 2 ; kisah lampu trafik baru…



Di jalan menuju ke Kuantan telah diwujudkan satu lampu trafik baru untuk menyenangkan kereta memasuki Sungai Isap di jalan menghala ke Kuala Lumpur.

Seorang anak muda yang sudah lama tidak melalui jalan itu merungut pada ayah angkatnya ketika melalui jalan itu.

“Trafik light baru ini menyusahkan. Sekarang buat jem sampai Permatang Badak. Alangkah baiknya kalau seperti dulu, tiada trafik light, straight saja terus sampai Kuantan,” rungut anak muda itu ketika membawa ayah dan mak angkatnya ke klinik di tepi Tunas Manja, 1 kilometer daripada lampu trafik tersebut.

Setibanya di klinik, jururawat meminta mak angkat untuk pulang dulu dan datang sejam kemudian kerana ada tujuh lagi pesakit di hadapannya untuk bertemu dengan doktor yang satu.

Ayahnya mencadangkan untuk pergi minum air kelapa di gerai-gerai berdekatan sambil menunggu masa berlalu.

Pusing-pusing di sekitar Sungai Isap, tiada air kelapa yang dijumpai, akhirnya mereka bertiga berpusing balik ke jalan besar menghala balik ke Kuantan dan singgah di sebuah gerai 500 meter daripada lampu trafik yang dirungut tadi.

Setelah selesai minum dan masa menghampiri satu jam, mereka bertiga beredar menuju ke klinik.

Ketika ingin keluar ke jalan besar, terdapat banyak kereta sehingga anak muda itu susah nak keluar.

“Nasib baik ada lampu trafik. Tunggu sekejap, anakanda boleh keluar apabila lampu menjadi merah,” kata ayah angkatnya sambil menepuk manja belakang anak angkatnya.

Anak angkatnya tergelak dan mencubit pipi berlesung pipit ayah angkatnya.

“Ayah ini memang pandai. Diam-diam ayah tunggu masa yang sesuai untuk sampai mesej pada anakanda. Memang hebat ayah saya sebagai ustaz,” balas anak muda itu sambil kereta bergerak keluar ke jalan besar.

“Mestilah. Tadi anakanda marah, ayah berhujah kata lampu trafik itu ada baiknya pun tak guna. Kena tunggu masa sesuai, baru boleh makan dalam. Senyum,” kata ayah angkat sambil mengusap belakang kepala anak angkatnya.

Dapat cerita tersirat?

Senyum.

Cerita 1 ; kisah seorang manusia ‘tak guna’.

"Ustaz, ana rasa ana tak guna. Apa pun tak tahu… tak tahu datang dunia ini buat apa,” kata seorang pemuda di kampung….

“Apa kerja enta?” tanya ustaz tersebut…

“Malu nak cerita… tapi kerja yang hina, tak perlu guna otak, tak ada skil, rezeki kais pagi makan petang je…” jawab pemuda itu…

Melihat pemuda itu yang hilang semangat terhadap hidup dan kerjanya… ustaz tersebut menyuruh pemuda tersebut mengikutnya untuk berjalan di sekitar kampung….

Sambil berjalan, ustaz tersebut pun bercerita…

“Lihat matahari di atas… Allah pastikannya timbul tiap subuh dan terbenam setiap senja. Dalam tempoh tersebut, manusia kadang-kala merungut berkata panas, kulit sakit….

Tapi rumput-rumput di bawah ini – tak merungut… mereka perlukan cahaya untuk membuat makanan daripada apa yang diserap daripada tanah….

Mengapa rumput perlu buat makanan?

Kalau tak, daun dia tak tumbuh, lembu-lembu dan kambing-kambing akan kelaparan….

Bila lembu-lembu kelaparan, manusia hilang sumber protein lak pulak…

Allah tak cipta semua benda hidup boleh guna cahaya matahari dengan terus… cahaya matahari sumber tenaga universal… lepas itu Allah cipta benda hidup yang boleh menggunakan cahaya matahari untuk membuat makanan sendiri… seperti rumput.

Lepas itu, Allah mencipta benda hidup yang boleh memanfaatkan makanan yang dibina rumput… seperti lembu dan kambing…

Dalam lembu dan kambing ini, Allah wujudkan sistem, makan rumput, dapat bina daging, susu dan juga hasilnya najis….

Manusia pula menggunakan lembu dan kambing sebagai sumber makanan. Manusia tak makan rumput… manusia tak dapat guna cahaya matahari untuk hasilkan makanan daripada badan sendiri… Allah ciptakan setiap satu dengan peranan yang unik….

Faham tak cerita yang ustaz nak sampaikan?”

Pemuda itu melihat pada ustaznya, “Maksud ustaz ialah setiap perkara yang Allah letak di alam ini ada tujuannya dan tidak sia-sia….”

Ustaz itu tersenyum, “Jadi apa kerja enta?”

Pemuda itu tersenyum lalu memberitahu ustaz tersebut dia perlu beredar kerana banyak kerja yang Allah tinggal untuk dia belum siap.

Sebelum beredar, pemuda itu memeluk ustaz tersebut… ustaz tersebut membisik padanya, “Mungkin masa ini anta tak tahu apa tujuannya… tapi percayalah Allah tidak akan utuskan enta buat kerja sia-sia… asalkan enta rajin dan bertaqwa, Allah akan membuka jawapannya…”

Akhirnya, pemuda tersebut berubah dari seorang pengutip najis binatang ternakan menjadi pengeluar baja terkemuka di kampungnya…

Dapat isi tersirat?

Senyum.

MODUS OPERANDI SELEPAS PRU PRU PRU

Misi memperbodohkan rakyat berjaya....
terima kasih yang gi pangkah BN, kita semua merana dan rase tempiasnye :

1)Tambang bas - harga naikq30%
Rakyat bising... ok kerajaan naikkan 10% sahaja... 
kesimpulannya tambang bas berjaya naik secara rasmi...

2)Ayam - sebelum ramadhan rm 6.50 sekilo
Masuk ramadhan naik sehingga rm8.80
Rakyat bising.... ok... kerajaan tetapkan harga siling rm7.70 sekilo.... 
kesimpulannya harga ayam berjaya naik secara rasmi...

adakah otak anda masih tidur ??

ISU HARGA AYAM & Mc.D lagi Mc.D lagi...

Kali ini giliran sudin plak yang terkena ngan pelayan Mc.D yg tengah berJiwa Kacau...!

Sudin : " Hello Mekdi ??"
Mc.D : " iyea.."
Sudin : " ayam ada?"?
Mc.D : " kenapa asyik Ayam Ayam dan Ayam,,?? Kenapa kau tak pernah ingin tahu keadaan aku ??"
Sudin : " Aiiikkk, err.......Sory salah no?!! hufh.."(tutup telepon)
---------------
Sudin : " Hallo Mekdi ??"
Mc.D : " iyeer.."
Sudin : " 24jam kan ??"
Mc.D : " aku selalu ada untukmu 24jam tapi kenapa kamu selalu jer tak mahu pedulikan aku??"
Sudin : " Sah! makin parah dah kegilaan dia ni !!"*tuut*tuut*
-----------
Sudin : " hallo Mekdi,, tlg jgn main2, saya dah lapar sangat ni, tlg antar Ayam dan nasi kerumah saya sekarang..!!"
Mc.D : " kamu selalu jer macam tu, kalau ada yang kamu mahu, selalu jer suruh aku datang ke rumah mu tapi kalau aku yg perlu, kamu tak pernah ada waktu.."
Sudin : "Woiii...GILAAAK !!"*Tuut*Tuut*
-------------
Sudin : " Hallo Mekdi.. Kalau kamu masih main2 lagi, saya laporkan kamu ke manager kamu, FAHAM !!
Mc.D : " Maaf maaf.. iyer2, Nak pesan apa ??
Sudin : " hanya satu pesan ku buatmu,, carilah lelaki lain, tinggalkan saja lelaki bangang tu.. Hahahaha
Mc.D : " arrrrrrrghh!

- senyum

PRAMUGARI ANGKUH v/s ULAMAK

Seorang ulamak sedang berada di dalam sebuah kapal terbang untuk ke sebuah negeri.

Apabila tiba waktu solat, dia pun ke tandas untuk berwudhuk.

Oleh kerana tandas di dalam kapalterbang terlalu kecil, maka beliau terpaksa membuka pintu tandas itu ketika berwudhu. Tatkala beliau mengangkat salah satu dari kakinya ke tangki (washing basin), seorang peramugari telah ternampak perbuatan ulamak itu dan menegurnya.

Pramugari: (dengan suara tinggi dan dikeraskan..) Tuan tidak boleh memasukkan kaki ke dalam tangki tu! Sebab ia akan mengotorkan tangki.

Ulamak: (dengan suara lembut dan penuh rendah diri…) Berapa kali saudari mencuci muka saudari dalam satu hari?

Pramugari: (dengan sifat angkuh…) Kebiasaannya sekali atau dua kali dalam sehari.

Ulamak: (dengan sifat bersahaja….) Saya mencuci kaki saya lima kali dalam sehari, bererti kaki saya lebih bersih dari muka saudari.

Sekadar renungan bersama.... Walaupun agak kasar tetapi ambil sedikit pengajaran darinya..
- wallahu'alam

CIKGU & ANAK MURID

Cikgu : Murid2 sape ingat ape kita belajar minggu lepas..?

Semua Murid : Mmmmm (Berfikir)

Tetiba seorang murid mengangkat
tangan...

Cikgu : Ha,Haikal kamu tahu....?

Haikal : Cikgu.,bukan ke cikgu ada ajar, benda yang lepas jangan dikenang..


- sabo je le (senyum)

PENIAGA & PELANGGAN

Seorang budak lelaki berusia dalam lingkungan 8 tahun membeli sekotak serbuk pencuci dari sebuah kedai runcit. 

Pekedai: Banyak sangat ke pakaian nak dibasuh? 
Budak: Saya nak mandikan kucing saya.
Pekedai: Eh..tak boleh gunakan serbuk ni, ia terlalu kuat untuk kucing awak, silap-silap kucing awak mati nanti.

Budak itu diam dan terus berlalu selepas membayar harga serbuk pencuci itu. Seminggu kemudian budak itu kembali ke kedai runcit tersebut.

Pekedai: Bagaimana kucing kamu?
Budak: Mati!
Pekedai: Kan saya dah kata...!
Budak: Tapi saya tak fikir serbuk itu yang membunuhnya.
Pekedai: Habis siapa yang membunuhnya?
Budak: Mesin basuh itu la..ia berpusing terlalu laju..!!!!


- sabo je le (senyum)

IBU BAPA & ANAK

Pagi tadi:
Pergi ke bank, bayar hutang kat cash deposit atm (maybank). Di belakang, ada seorg pakcik berdiri.
Nak, boleh tolong saya?
Ya, boleh pakcik.
Tolong saya masukkan duit sbb selalunya ada pegawai yg tolong.
Hari ini cuti public cik..
Duit utk anak pakcik ya?
Ya.dia belajar di selangor - uia.
Duit dmasukkan utk anak pertama.
Berjaya.
Jumlah yg sama tapi kali ini ada rm10 5keping, rm50, rm100. Semua duit masuk dlm mesin tapi yg rm100 keluar semula. 2kali.
Pakcik ada duit lain?
Tak ada nak.
Sempat mata ini menjeling ke dlm porch pakcik itu (maafkan saya). Tinggal rm7 sahaja.
Hati mula tersentuh.
Cuba lagi masukkan.
Moga dpermudahkan.
Alhamdulillah berjaya.
Jelas rasa lega tlihat di riak wajahnya.
Berlalu tapi perlahan..
Ingin kutahu dia naik apa..
Motor.
Dlm hujan renyai.
Terlihat wajah kepayahan.
Mengalir air mata.
Semoga pengorbanan seorang ayah itu dberi ganjaran syurga.
Belajarlah sungguh2 wahai anak2 kpd pakcik itu.
RM400 utk 2org anak.
Sikit utk dirinya memadai..
Moga ALLAH memberkati pakcik itu.
Moga ALLAH luaskan rezeki semua ayah di luar sana.
Wahai anak-anak di luar sana...Belajarlah sungguh-sungguh utk membalas jasa ibubapa kita..ibu ayah kita tidak pernah mengeluh atau merungut dalam melayani segala karenah dan kehendak kita, sekalipun kita tahu ibu ayah letih bekerja dan masih belum rehat, tetapi itulah pengorbanan dan kasih sayang ibu ayah yang telah menitiskan air mata ku ini....jangan lepaskan peluang ini untuk menjadi insan yg bertaqwa...