KOTA BHARU, 3 April (Hrkh) - Pernah anda mendengar seorang tukang kebun sekolah boleh merasmikan mesyuarat PIBG. Pelik dan tidak masuk akal.
Namun semuanya tidak mustahil apabila tukang kebun itu ada jawatan dalam Umno.
Ia bukan kisah omongan, tetapi itulah realiti yang pernah berlaku di Tanah Merah beberapa tahun lalu.
Lebih menarik lagi apabila ketua cawangan Umno boleh mempengaruhi Pejabat Pelajaran Daerah untuk menukarkan guru.
Mungkin mengambil kira situasilah agaknya Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Hussien mahu guru kumpulan A dibolehkan berpolitik.
Bekas pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Muhamad Fadzli Hassan berkata, hasrat untuk memberi ruang kepada guru kumpulan A berpolitik perlu dilakukan secara adil.
"Seharusnya dilihat secara adil dan tidak menyekat mereka berpolitik dalam mana-mana parti politik.
"Namun apa yang berlaku sekarang guru hanya dihalal berpolitik dengan Umno sahaja. Kriteria kenaikan pangkat pun diambil kira sentimen politik di Kelantan," katanya di sini.
Menurutnya juga sejak 1990 sehingga sekarang wakil-wakil rakyat bukan Barisan Nasional langsung tidak dibenarkan masuk ke sekolah di bawah kementerian.
Sedangkan katanya, wakil-wakil rakyat BN bebas menggunakan sekolah untuk kepentingan politik.
"Malah ada tukang kebun yang menjadi ketua cawangan lebih berpengaruh daripada seorang pengetua sekolah.
"Inilah yang berlakunya sekarang, ketua cawangan atau ketua bahagian menggunakan sekolah untuk berkempen sedangkan wakil-wakil rakyat di pihak lain tidak dibenarkan langsung.
"Bagi saya bukannya setakat penglibatan guru kumpulan A sahaja, malah ia seharusnya untuk semua penjawat awam," katanya yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan.
Beliau berkata, berilah kebebasan memilih parti yang dekat dengan naluri mereka.
Menurutnya orang yang berpendidikan tinggi seharusnya diberi kebebasan untuk berpolitik kerana mereka merupakan golongan intelek.
Kata beliau sebagai golongan terpelajar tentunya dapat membahagikan masa di antara kerjaya dan politik. - mj & HKH
|