Selasa, 6 September 2011

Mohamad Sabu dan Mat Indera

Zulkifli Sulong

MEMBACA transkrip ucapan timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu di Padang Menora, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu membuat kita faham kenapalah Umno marah dan bimbang sangat dengan ucapan itu.

Rupanya, isu penting yang dibangkitkan oleh Mohamad adalah sejarah kemerdekaan negara ini. Mohamad memberikan andaian beliau kenapa sambutan kemerdekaan sejak kebelakangan ini hambar.

Puncanya, kata Mohamad adalah kerana rakyat terasa Umno telah menjadikan sambutan kemerdekaan negara seumpama sambutan memperingati perjuangan Umno sahaja.

"Sekarang kita ni dalam suasana nak sambut merdeka, kita tengok takda orang pun bawa bendera di kereta. Ada setengah tu kereta dia bubuh dekat 200 bendera, tu hak jenis masuk ayak (air) dalam kepala tu. Hak jenis tu ada tapi orang biasa, saya tak nampak pun, sebab rakyat tak berasa sambut merdeka, sambut merdeka seolah-olah perayaan Umno, betul ke dak?

"Sepatutnya tokoh pejuang kemerdekaan kena masuk dalam televisyen. Kalau nak buh Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn pun takpalah (tetapi) kena letak juga Dr Burhanudin, kena letak juga Ustaz Abu Bakar Al Bakir, kena letak juga Datuk Ahmad Bustamam, kena letak juga Datuk Ibrahim Yaakob, kena letak juga perjuang-perjuang seperti Mat Kilau dan sebagainya, ini penentang-penentang British.

(Mohamad Sabu menunjukkan kandungan buku 'Pengukir Nama Johor' yang mencatatkan Mat Indera sebagai salah seorang heronya)

"Tapi bila merdeka, Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn. Kalau gitu Umno lah saja yang layak, betul ke dak?" kata Mohamad Sabu dalam ceramah itu.

"Ertinya sambut merdeka ni seolah-olah kepunyaan Umno. Sebab tu kita lihat tulisan-tulisan, blog-blog kebelakangan ni, anak-anak muda kata ...umph.. sambut buat apa. Bendera pun dia kata serupa bendera Amerika. Lagu Negaraku pulak,lagu Hawai. Kemudian diterjemahkan lagu jadi Terang Bulan di Indonesia, kemudian jadi lagu Negaraku.

"Mula-mula saya ingat budak-budak ni melawak. Hari tu anak saya tunjuk, dia bukak YouTube. Dia kata ayah dengak, ini lagu Terang Bulan di Indonesia, ini lagu Negaraku, hundred percent serupa. Ertinya lagu ni lagu diambik daripada lagu Terang Bulan, bukan lagu patriotik apa-apa pun. Sebab tu kita harap, takpalah dah guna pakai nak buat macamana," kata Mohamad.

Dalam ceramah itu jelas Mohamad tidak menafikan sumbangan tokoh-tokoh Umno itu tetapi yang dikesalkan oleh beliau adalah sikap media yang dikuasai Umno menggelapkan jasa pihak lain yang turut berjuang untuk kemerdekaan negara.

Bagi Umno, hanya perjuangan Umno sahaja menyebabkan negara kita merdeka. Hanya pemimpin Umno sahaja yang berjasa dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

Yang menarik juga, Umno melalui tukang-tukang tulis sejarah mengiktiraf mereka yang berjasa adalah mereka yang bersama dengan British yang menjajah negara kita. Mereka yang berjuang, bekerjasama dan bersekongkol dengan British adalah pejuang manakala penentang British adalah petualang.

Atas sebab itulah, Mohamad Sabu membawa balik cerita filem Bukit Kepong.

"Kita lihat cara yang dibuat itu memang banyak yang tak kena. Bila hari merdeka nanti tunjuklah filem Bukit Kepong, (dalam filem) Bukit Kepong, polis itu, polis British, hak serang Bukit Kepong tulah pejuang kemerdekaan, ketuanya Mat Indera, (seorang) Melayu.

"Tetapi semua sejarah itu ditutup. Jins Samsudin buat filem, Jins Samsudin tu Umno. Dalam cerita Bukit Kepong hak serang balai polis (rumah pasong nama ketika itu) tu penjahat, polis tu polis British, sebelum merdeka, negara kita diperintah oleh British. Tetapi dibuat filem yang hero hak pertahan balai polis (rumah pasong), hak serang tu pengganas. Padahal (yang hero) Mat Indera, ketua penyerang balai polis itu yang akhirnya dia dihukum gantung di Jail Taiping," kata Mohamad dalam ceramah itu.

Inilah ayat-ayat yang digunakan oleh Umno untuk menyerang Mohamad Sabu. Kononnya, Mohamad menghina polis dan memuji komunis. Padahal dalam ceramah itu tidak ada pun perkataan komunis yang disokong beliau.

Kini, Mohamad telah menemui sebuah buku yang asalnya didedahkan oleh seorang pembaca Harakahdaily, Mohamed Hadi al-Majwi, melalui tulisannya bertajuk 'Kerajaan Johor Mengiktiraf Ketokohan Mat Indera'.

Buku yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor bertajuk "Pengukir Nama Johor" menyenaraikan Mat Indera sebagai salah seorang hero Johor. Di Johor, yayasan ini umpama Jabatan Muzium Negeri Johor kerana Johor tidak ada jabatan muzium ini. Ia adalah satu jabatan kerajaan di Johor.

Melalui buku ini, sejarah perjuangan Mat Indera memperjuangkan kemerdekaan dicatatkan dengan baik sekali oleh penulis buku ini.

Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn.

Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Datuk Abdul Ghani Othman.

Jika Umno dan medianya terus mengatakan Mat Indera komunis dan menyifatkan Mohamad Sabu sebagai penyokong komunis maka tuduhan Umno itu tidak patut berhenti di situ.

Umno juga mesti menuduh menteri besar Johor sekarang, Datuk Ghani Othman yang memberikan kata-kata aluan untuk buku ini sebagai penyokong komunis.

Umno juga perlu menuduh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn juga sebagai penyokong komunis kerana menulis bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan dan bukannya komunis.

Di samping mereka berdua, Umno juga perlu menuduh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002 sebagai penyokong komunis juga kerana mereka berdualah yang menyunting buku itu.

Dan yang lebih penting lagi, Umno kena mendakwa dan membuat laporan polis terhadap Yayasan Warisan Johor kerana menerbitkan buku ini.

Kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin pula, beliau perlu mengkaji balik tuduhannya kepada Mohamad Sabu dan Mat Indera khasnya. Ini kerana, ayahanda beliau, Haji Mohamad Yasin adalah guru agama kepada Mat Indera.

Muhyidin kena mendakwa ayahandanya mengajar ilmu salah bahkan diserap fahaman komunis kerana telah menyebabkan Mat Indera menjadi komunis.

Kalau kita pergi lebih jauh lagi, kakak Muhyidin yang hampir berkahwin dengan Mat Indera juga patut didakwa oleh Muhyidin kerana pengaruh beliaulah menyebabkan Mat Indera jadi komunis jika benar Mat Indera komunis.

Semua ini tidak terlepas dari Umno dan benarlah apa yang dikatakan Mohamad Sabu, Umno menggali kuburnya sendiri dalam isu ini dan "saya mahu tabalkan MB Johor baharu dari PAS selepas pilihan raya umum akan datang," kata Mohamad Sabu sambil menepuk bahu seorang pemimpin PAS yang berasal dari Johor.

Ahli akademik jangan terpedaya propaganda Umno

Khairil Abdul Rahim

KUANTAN, 6 Sept: PAS Pahang menggesa agar cendekiawan Melayu dan ahli-ahli akademik tidak mudah terpengaruh dengan propaganda Umno atau cuba mengampu dengan memutar belitkan sejarah.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad, berkata golongan tersebut sepatutnya bersifat merdeka dan tidak tenggelam bersama Umno yang hanya menggunakan mereka apabila terdapat kepentingan kepada parti itu.

Beliau mengulas kenyataan editor buku 'Pengukir Nama Johor', Prof Datuk Abu Bakar Hamid dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini yang membidas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu yang menggunakan fakta buku tersebut dalam isu Mat Indera.

Akhbar tersebut memetik katanya "dakwaan bahawa buku Pengukir Nama Johor yang diterbitkan Yayasan Warisan Johor (YWJ) pada 2004 menyokong kenyataan (Mohd Sabu), sebaliknya tidak menyatakan Muhammad atau Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan tetapi mengajak rakyat menilai siapa sebenarnya Mat Indera."

Menurut Suhaimi, beliau meneliti baris demi baris ayat dalam buku Pengukir Nama Johor. Perenggan akhir rencana berkaitan Mat Indera mencatatkan:

“Dia rela mempertahankan nyawa demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajah. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan nama sebagai pejuang bukan petualang”.

“Bukankah penutup ini sudah cukup jelas menyimpulkan bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan?” soalnya.

Justeru, beliau mencadangkan Prof Datuk Abu Bakar membaca kembali baris demi baris setiap tokoh dalam buku itu terutama Mat Indera.

“Jangan hanya sekadar mencari glamour meletakkan nama sebagai editor tanpa membaca buku tersebut. Jangan jadi cendikiawan yang gila publisiti untuk mendapat nama dalam buku ilmiah tanpa meneliti dan membaca buku tersebut.

“Kajian ilmiah sejarah adalah milik rakyat dan negara ini, ia mesti pertahankan. Mempertikaikan bahan sejarah yg dieditorkan oleh diri sendiri adalah jenayah akademik. Pakar sejarah tak sepatutnya melacurkan sejarah sehingga ia dilihat hina oleh rakyat,” katanya.

Beliau menyeru supaya jadilah ahli akademik yang merdeka dan tidak tenggelam bersama kebodohan Umno.

Tambah Suhaimi, sebelum ini Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, seorang yang juga dikenali sebagai tokoh sejarah terkemuka tanah air mengatakan Mat Indera bukan anak tempatan dan berasal dari Indonesia.

Namun selepas itu, adik Mat Indera yang masih hidup mengesahkan Mat Indera dilahirkan pada tahun 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor.

Sementara itu, Suhaimi turut menemui artikel bertajuk ‘Kopi kecubung tewaskan kekebalan Mat Indera’ yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 13 Disember 2010 yang mengesahkan Mat Indera bukan pengkhianat bangsa sebagaimana didakwa Umno melalui lidah rasminya Utusan Malaysia.

Artikel tersebut boleh dilayari di alamat: http://www.bharian.com.my/articles/KopikecubungtewaskankekebalanMatIndera/Article/

‘Pada hakikat British jajah kita’

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Sept: Pakar perlembangaan Prof Abdul Aziz Bari (gambar) berkata meskipun negeri-negeri Melayu bukan atau tidak pernah dijajah oleh British, tetapi pada hakikatnya telah “dijajah kerana pentadbiran negeri dikawal” oleh kuasa Eropah itu sehingga negara merdeka lima dekad lalu, lapor The Malaysian Insider.

“Pendeknya dari segi teknikal memang negeri-negeri Melayu bukan atau tidak pernah dijajah... hatta pentadbiran agama pun dipantau oleh British,” kata beliau dalam reaksi kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Secara teknikal memang betul bahawa kita tak pernah dijajah; negeri-negeri Melayu hanya negeri lindungan. Hanya Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang pernah dijajah,” kata beliau.

Bagaimanapun menurut ahli akademik ini, negeri-negeri Melayu bukan negeri yang bebas dan berdaulat kerana mereka tidak bebas mengadakan hubungan luar.

“Raja-raja, contohnya, dipaksa menerima kejatuhan Empayar Uthmaniah yang dihancurkan oleh British dan sekutu-sekutunya pada 1924. Ini semua berlaku kerana Raja-raja di bawah tangan British meskipun mereka tidak dijajah.

“Selain itu meskipun di sisi undang-undang, yakni secara teknikalnya, mereka berdaulat kita semua tahu dasar dan undang-undang semuanya ditentukan oleh British,” kata beliau sambil menambah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim tidak harus membesar-besarkan kedudukan teknikal itu sehingga menafikan hakikat yang berlaku ketika itu.

Aziz mengulas mengenai kritikan beberapa pihak ekoran pandangan tokoh sejarah itu bahawa negara ini sebenarnya tidak pernah dijajah oleh British, sebaliknya berada di bawah naungan negara Eropah itu.

Khoo melahirkan pandangan itu dalam satu temu bual dengan akhbar arus perdana kelmarin ketika kontroversi berkaitan kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hangat diperkatakan sehingga ada yang mahu fakta sejarah diteliti semula.

Negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54 bersama hari pembentukan Malaysia — buat julung kali pada 16 September ini.

Menjawab soalan mengenai kenyataan Mohamad bahawa Allaharham Datuk Onn Jaafar dan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bukan pejuang kemerdekaan sebenar kerana mereka pegawai British, Khoo berkata: “Mereka tidak pernah bekerja dengan British. Kerajaan Melayu tidak pernah menjadi jajahan British. Kerajaan Melayu dulu secara rasmi dikenali sebagai Negeri Melayu Naungan iaitu di bawah perlindungan British, tetapi tetap diperintah oleh Raja.”

Katanya, kehadiran British adalah berasaskan perjanjian dengan raja setiap kerajaan dan pegawai British ditugaskan menjalankan pentadbiran, kedaulatan tetap pada raja.

“Maksudnya dari segi undang-undang, British tidak pernah menjajah kerajaan Melayu, hanya Negeri-Negeri Selat yang dikenali sebagai Tanah Jajahan Mahkota British. Pegawai British utama di Negeri-Negeri Selat dikenali sebagai gabenor, padahal kedudukan pegawai yang sama di kerajaan Melayu dikenali sebagai Pesuruhjaya Tinggi. Gabenor Hugh Clifford dalam ucapannya kepada Majlis Persekutuan pada Januari 1949 mengatakan apabila beliau merujuk kepada kerajaan Melayu: ‘They were, they are and they must remain Malay states. These states were when our cooperation in government was first invited Mohamedan monarchies. And such they are today. We have neither the right nor the desire to vary the system of government’,” katanya lagi.

Kata beliau, dalam undang-undang ada dua keadaan iaitu ‘de jure’ dan ‘de facto’.

“Datuk Onn mula-mula bekerja dengan kerajaan Johor dan Tunku dengan kerajaan Kedah. Mereka bekerja di negeri yang dianggap Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Raja masih ada banyak autonomi.

“Selepas perang, mula-mula Datuk Onn kemudian Tunku diterima oleh British sebagai presiden Umno yang diakui British sebagai parti politik orang Melayu. Oleh sebab orang Melayu menentang Malayan Union, British tidak melaksanakan Malayan Union. British selanjutnya berunding dengan Raja-Raja juga Umno untuk menentukan sistem lebih sesuai,” kata Khoo lagi dan menambah, “akibatnya pada Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan.”

Mengulas lanjut, Aziz berkata, Khoo perlu faham beza antara kedudukan teknikal dan formal dengan kenyataan atau hakikat, yakni sesuatu yang benar-benar berlaku.

“Sama seperti hari ini, Raja-raja adalah ketua agama. Soalnya apakah mereka benar-benar ketua agama dalam erti kata yang sebenar? Tidakkah pentadbiran agama dijalankan oleh kerajaan?” kata beliau lagi.

Pejuang Merdeka: PAS harap Umno terima debat

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 6 Sept: PAS mencabar Umno mengadakan debat mengenai isu pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air bagi membetulkan catatan sejarah mengenainya yang diselewengkan oleh pihak penjajah khususnya British.

Surat jemputan mengenainya akan ditulis dan dihantar oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Ketua Penerangan Umno pada minggu ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjelaskan, debat tersebut perlu diadakan memandangkan para pemimpin Umno kini semakin keterlaluan dalam memutarbelitkan dan menggelapkan fakta-fakta sejarah mengenai pejuang-pejuang kemerdekaan negara.

Menurut beliau, penyelewengan fakta sejarah terkini yang dilakukan oleh para pemimpin Umno membabitkan seorang pejuang kemerdekaan negara dari Johor, Mat Indera apabila tokoh tersebut dikaitkan dengan perjuangan komunis.

Katanya, pada hal Mat Indera tidak terlibat langsung dengan perjuangan komunis, sebaliknya adalah seorang tokoh agama dan pejuang kemerdekaan sebenar yang sengaja digelapkan fakta sebenar mengenainya oleh pihak British sejak menjajah tanah air kita dulu.

"Selain Mat Indera, tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tanah air kita yang lain yang turut diselewengkan fakta mengenainya termasuklah Datuk Bahaman dan Mat Kilau di Pahang, Datuk Dol Said di Melaka, Tok Janggut di Kelantan, Mat Salleh di Sabah, Datuk Maharajalela di Perak, Rosli Doby di Sarawak.

"Selain nama-nama itu terdapat juga tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan lain yang turut diselewengkan dan digelapkan fakta mengenainya, sehingga menyebabkan orang ramai terkeliru dengan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan sebenar di tanah air kita," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Kesilapan tersebut, menurut beliau, dilakukan oleh pihak penjajah dengan persekongkolan para pemimpin Umno sendiri dan ia tidak boleh dibiarkan, sebaliknya perlu diperbetulkan kembali demi kepentingan negara.

"Menyedari hakikat itulah, PAS memutuskan untuk mengadakan debat dengan pemimpin Umno yang membabitkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai pendebat utama bagi pihak PAS, manakala bagi pihak Umno pula kita mengharapkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pendebat utamanya," katanya.

Perdebatan antara Mohamad Sabu dan Muhyiddin, katanya, merupakan sesuatu yang wajar kerana mereka adalah sesama Timbalan Presiden bagi PAS dan Umno.

Menurut beliau, tambahan pula, Muhyiddin juga merupakan antara pemimpin Umno yang banyak dan lantang memperkatakan tentang Mat Indera yang dikaitkan dengan perjuangan komunis, manakala Mohamad Sabu pula di sebaliknya yang jelas menepati realiti sebenar mengenai tokoh tersebut.

"Begitu juga dengan surat untuk mengajak debat itu. PAS menyerahkan tanggungjawab untuk menulis dan mengutusnya kepada Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan surat itu pula akan ditujukan kepada Ketua Penerangan Umno, sesuai dengan kedudukan mereka sesama Ketua Penerangan kedua-dua parti terbabit," jelasnya.

Sesudah surat itu dihantar, jelas beliau, terpulanglah kepada pihak Umno untuk menyambutnya dan menentukan tempat untuk mengadakan debat tersebut.

"Kami mengharapkan agar ajakan kami ini disambut dengan baik oleh Umno kerana ia bertujuan untuk membetulkan fakta sebenar mengenai nama-nama pejuang kemerdekaan tanah air kita," katanya.

Disebabkan kesilapan itu, menurut beliau, orang ramai menjadi keliru sehingga pejuang kemerdekaan sebenar dikatakan penderhaka atau petualang, manakala petualang pula dikatakan pejuang kemerdekaan.

Katanya, fakta salah itu termasuklah yang membabit Mat Indera yang dikaitkan dengan perjuangan komunis oleh pihak Umno, pada hal beliau adalah pejuang kemerdekaan sebenar yang patut diangkat ke tempat yang tinggi dalam catatan sejarah negara dan oleh seluruh rakyat negara ini.

Buku Pengukir Nama Johor bukti Umno bohong

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 6 Sept: Para pemimpin Umno jelas terbukti memutarbelitkan sejarah, khususnya mengenai Mat Indera, berdasarkan beberapa bukti termasuk buku bertajuk Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004 lalu.

Buku yang ditulis oleh dua orang ahli sejarah itu, Abu Bakar A Hamid dan Mad Ismail Zamzam jelas mencatatkan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan dan tokoh agama yang disegani, malah tidak terlibat langsung dengan perjuangan komunis.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan, dengan itu, tindakan para pemimpin Umno mencetuskan isu itu tidak akan mendatangkan sebarang keuntungan kepada parti itu, malah ia ternyata akan menimbus Umno ke dalam lubang yang digalinya sendiri.

Menurut beliau, buku Pengukir Nama Johor itu setebal 170 muka surat, manakala kata-kata aluannya ditulis oleh Menteri Besar Johor sendiri, Datuk Abdul Ghani Othman.

Katanya, buku tersebut boleh dibaca oleh sesiapa sahaja dan ia diterbitkan sejak tahun 2004 yang sepatutnya turut dijadikan rujukan oleh para pemimpin Umno sebelum memperkatakan tentang sejarah perjuangan Mat Indera.

"Tetapi sesetengah pemimpin Umno sendiri mungkin tak tahu mengenai penerbitan buku itu dan tidak pernah membacanya sehingga menyebabkan mereka buta sejarah.

"Kini, mereka telah menyelewengkan fakta sejarah dan menggelapkan sejarah, walaupun sejarah mengenai Mat Indera tercatat dengan jelas dalam buku itu yang turut membabitkan pemimpin Umno sendiri dalam penerbitannya," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Sesudah membuat kesilapan mengenai sejarah perjuangan Mat Indera, menurut beliau, para pemimpin Umno kini terus membuat kesilapan lebih jauh dengan perancangannya untuk mengadakan 'road show' bagi menerangkan kepada orang ramai mengenai Mat Indera yang dikatakan terlibat dengan perjuangan komunis oleh mereka.

"Kita difahamkan, 'road show' itu akan diadakan oleh Pemuda Umno. Tetapi dalam hal ini, jika mereka mengadakan 'road show' sekalipun, mereka tetap gagal mempengaruhi orang ramai mengenai fakta sejarah yang diselewengkan itu kerana orang ramai sudah tahu siapa Mat Indera yang sebenarnya yang sememangnya tidak terlibat langsung dengan perjuangan komunis," tegasnya.

Turut hadir pada sidang media itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzukefly Ahmad.

Sementara itu, dalam buku Pengukir Nama Johor, antara lain dicatatkan, dalam sejarah perjuangan menentang penjajahan dan mencapai kemerdekaan Tanah Melayu, banyak tokoh yang telah terkorban demi bangsa dan negara, dikenang sebagai patriot tanah air seperti Datuk Bahaman dan Mat Kilau (Pahang), Datuk Dol Said (Melaka), Tok Janggut (Kelantan), Mat Salleh (Sabah), Datuk Maharajalela (Perak) dan Rosli Doby (Sarawak).

Mereka berjuang untuk kebebasan hak dan kemerdekaan negara. Namun begitu, mereka dianggap oleh penjajah sebagai penderhaka dan petualang yang mengancam keselamatan negara dan kerana itu mereka bukan sahaja perlu ditentang habis-habisan, malah dilenyapkan sama sekali daripada wujud di muka bumi ini.

Mereka tidak sekadar diburu, tetapi juga orang-orang yang hampir dan rapat dengan mereka turut diancam, digertak, diugut dan dimalukan.

Selain itu, propaganda memburuk-burukkan peribadi mereka disebarluaskan sehingga sesetengah anak negeri terpedaya dengan pembohongan itu.

Di negeri Johor terdapat seorang pejuang bangsa dan negara yang telah diberi imej buruk oleh penjajah Inggeris. Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Orang-orang yang rapat dan mengenali peribadi Mat Indera secara dekat menafikan pembohongan tersebut. Mereka tidak mempercayai bahawa itulah sifat-sifat Mat Indera.

Mereka mempersoalkan bagaimana dengan sekelip mata sifat-sifat terpuji Mat Indera boleh bertukar kepada sifat-sifat keji.