Kekusutan hati yang masih kelam akan CAHAYA-NYA kerna di timbuni oleh deduri jiwa syaitan...namun teramat malang tiada satu usaha untuk membersihkan sisa deduri perosak itu...
Kita sesungguhnya sebagai insan, adalah makhluk yang sangat lemah. Allah s.w.t. sendiri menjelaskan hakikat ini dalam firmanNya yang bermaksud ; “dan manusia dijadikan bersifat lemah” [Surah An-Nisaa’ ayat 28].. Lemahnya seorang manusia itu sehingga ia pada bila-bila masa sahaja terdedah dengan kesilapan dan kesalahan. Bila-bila masa sahaja… dan sesiapa sahaja… termasuklah seorang daie itu sendiri.
Catatan saya kali ini adalah sebagai muhasabah kita bersama khususnya para duat atau daie ilalLah. Antara bencana besar yang sangat berisiko menimpa kita sebagai daie, murabbi, ketua, pemimpin atau sesiapa sahaja yang memiliki kelebihan atau kedudukan ialah bencana EGO.
Secara lisan memang mudah untuk seorang yang telah memiliki kedudukan tertentu di mata manusia untuk menyatakan bahawa “kita mestilah boleh menegur dan ditegur!” namun, secara hakikatnya Allah s.w.t. sahaja yang tahu bagaimana sukarnya membuang bisikan mazmumah ketika diri kita ditegur dan dikritik.Di antara kuman atau virus biasa yang akan mendampingi kita (daie, murabbi, qiyadah dsb) tatkala ditegur, dinasihati ataupun dikiritik ialah ;
- Sukar menerima kesilapan dan kesalahan yang dikritik
- Mencari justifikasi untuk membenarkan atau mempertahankan kesalahan tersebut
- Segera berpaling kepada kelemahan dan keburukan yang ada pada si penegur
- Mempertahankan kesalahan sendiri dan memburukkan peribadi si penegur
Kuman-kuman dan virus tersebutlah sekiranya tidak dihapuskan dengan segera akan mendedahkan kepada situasi yang lebih buruk sehingga membawa kepada terkoyaknya persaudaraan Islam dan timbulnya bibit-bibit permusuhan. Bagaimanakah cara untuk mencegah diri dari ditimpa oleh risiko penyakit jiwa yang merbahaya ini? Di antara tips nya ialah :
- Sewaktu menerima kritikan dan teguran di atas kesalahan yang memang kita lakukan, berfikirlah dengan dengan akal dan jiwa yang waras, tidak emosional dan dikuasai perasaan.
- Berusaha melihat sesuatu dengan berjiwa besar dan berpandangan luas (big picture). Sekiranya timbul perasaan malu dan jatuh maruah ketika ditegur, yakinkan diri dengan segera bahawa orang yang berlapang dada dengan teguran akan lebih dihormati.
- Segera bersangka baik bahawa si penegur yang menasihati kita tersebut sebenarnya sangat sayang akan kita sehingga ia sangat berharap perubahan yang positif dari tegurannya, bukan merendahkan kita.
- Anggaplah bahwa kejadian ditegur atas kesilapan ini adalah cara Allah s.w.t. mendidik kita secara langsung. Allah sangat sayang kepada kita sehingga ditakdirkan ada orang yang berani menegur dan memperbaiki kesilapan kita. Nikmatilah tarbiyah Allah ini..
- Bersyukur lantaran ada orang yang menegur agar kita tidak semakin leka, lalai dan terseleweng. Bayangkan jika kita terus di atas jalan kesilapan tersebut.. bagaimana natijahnya?
Ingatlah bahawa Rasulullah s.a.w. juga ditegur oleh Allah s.w.t. dalam peristiwa bersama Abdullah bin Ummi Makhtum yang buta. Tatkala Rasulullah s.w.t. sibuk melayani kalangan pimpinan dan pembesar kafir Quraisy sehingga merasa agak tidak selesa dengan kedatangan Sahabat yang buta lagi miskin ini datang untuk meminta pengajaran. Allah s.w.t. lantas menegur Nabi s.a.w. di atas perkara tersebut. Selepas turun surah ini, Rasulullah s.a.w. terus menyebarkannya agar dijadikan iktibar kepada umat yang lain. Dan jika Baginda bertemu dengan Abdullah bin Ummi Makhtum, baginda akan menyapanya dengan berkata: " Selamat bertemu dengan orang yang menyebabkan aku dikecam oleh Tuhanku". Inilah tarbiyah Allah s.w.t.
Inilah yang ditunjukkan pemimpin Islam selepas era pasca nabawi sebagai menterjemahkan amalan dan sunnah Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar al-Siddiq umpamanya, dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai khalifah meminta umat membetulkannya jika dia melakukan penyelewengan. Kata beliau, “andainya aku melakukan kebaikan, bantulah; tetapi andainya aku melakukan kesalahan, perbetulkanlah aku… patuhilah aku selama aku mentaati Allah, tetapi andainya aku sudah tidak mentaati Allah, kamu tidak perlu mematuhi aku lagi…”
wallahu 'alam bissowab.. aku juga insan kerdil... mari kita bermuhasabah bersama...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan