KETIKA BERDIRI DIHADAPAN CERMIN, LIHAT LAH KEKURANGAN DIRI JANGAN DILIHAT KELEBIHANNYA
Dalam rancak kita berbicara soal-soal tarbiyyah. Sering kita fokuskan kepada pembentukan fikrah, wala', sifat-sifat jundi dan qiady yang dikehendaki oleh jamaah dan beberapa perkara yang berkaitan dengan adab-adab berjamaah. Sering kali kita lupa kepada tanggungjawab membentuk fikrah rohani. Saya tidak maksudkan tarbiyyah rohani disini ialah mendidik ahli jamaah tekun menunaikan ibadah, atau giat berqiamullail dan berma'thurat setiap hari. Namun apa yang saya maksudkan disini ialah "berfikir secara rohani". Berfikir secara rohani akan mengukuhkan lagi sifat-sifat kerohanian sehingga menyerlahkan hakikat sebenar sifat "mahmudah" yang diimpikan oleh semua hamba yang sejati. Apakah bentuk "berfikir secara rohani" yang diperlukan oleh anggota jamaah?.
1.) Memahami hakikat kerja dalam jamaah.
Kita perlu diasuh untuk memahami ruh sebenar segala kerja yang kita lakukan untuk jamaah ini. Apabila kita mengatakan berjamaah adalah wajib ( menurut usul fiqh, bagi mencapai maksud dakwah yang sebenar) bermakna segala kerja yang kita lakukan dalam jamaah ini adalah "ibadah". Apabila kerja dan pengelibatan itu ibadah, maka hendaklah kita faham bahawa;
a). Ibadah hendaklah dengan niat yang ikhlas Lillahi Ta'ala.
Sebagaimana solah, puasa, haji dan ibadah-ibadah khususiyyah yang lain menetapkan adanya niat kerana Allah, maka begitulah juga apa jua kerja yang kita lakukan untuk jamaah ini.Objektif utama kita ialah mencari keredhaan Allah. Ada sahabat bertanya kepada saya, kalau begitu mengapa dalam perjuangan ini kita harapkan kemenangan dan kuasa. Memang benar. Kita memang mengharapkan Kemenangan dan kuasa. Tujuannya ialah untuk menegakkan khilafah Allah di mukabumi ini, bagi mencari keredhaan Allah. Justeru itulah kita Iltizam dengan matlamat "negara Islam". Jika perjuangan ini bukan kearah matlamat menegakkan "daulah Islamiyyah" yang terlaksana di dalamnya syariat Allah, maka kerja-kerja kita kearah meraih kemenangan itu tidak lagi "ibadah". Apabila kerja-kerja dalam jamaah ini sudah tidak lagi berwajah ibadah maka sendi-sendi perjuangan ini akan lumpuh disegenap peringkat. Apabila kerja dalam jamaah ini bukan Ibadah, maka sudah tentu kita lakukannya untuk wang, atau pangkat atau bagi mencapai kepuasan nafsu. Sedangkan kita telah saksikan perjuangan yang bermatlamatkan wang akhirnya hancur kerana rasuah telah menjalar sehingga ketulang sulbi parti mereka. Jika dilakukan kerja jamaah kerana pangkat semata-mata maka telah kita saksikan perebutan jawatan yang sedang berlaku dalam sebuah parti di negara kita. Sehingga terhapusnya wajah dan sikap manusia bertamaddun saat pemilihan parti mereka. Perbalahan berlaku dimana-mana.
b). Ibadah hendaklah bersesuaian dengan sunnah Rasul.
Sesuatu amalan itu tidak dinamakan Ibadah jika berlawanan dengan sunnah Rasulullah saw. Justeru itu kita hendaklah sentiasa menjaga nilai-nilai sunnah dalam melaksanakan apa jua urusan dalam jamaah. Kita sememangnya dituntut berusaha untuk mendapatkan simpati, undi dan sokongan serta penyertaan ummat umum. Namun usaha-usaha kearah itu tidak boleh dibuat secara terpinggir dari suluhan siirah Rasulullah saw. Jangan sekali-kali bersikap "asalkan menang, lakukan lah apa cara sekalipun atau yang penting kita menang dulu, selepas itu baru kita fikir tentang melaksanakan syariat Islam". Cuba kita lihat kembali bagaimana Rasulullah membentuk generasi dua'at yang pertama dalam sejarah perjuangan Islam. Ada suara-suara yang berkata; "cara itu lambat menang". Lalu cuba tunjukkan kepada saya di Malaysia ini mana dia jamaah yang telah berjaya mencapai kemenangan mendahului Pas?.
c). Ibadah hendak dipelihara daripada perkara-perkara yang membatalkannya.
Setiap ibadah hendaklah terhindar daripada perkara-perkara yang membatalkannya. Solah tidak boleh diteruskan apabila wudhu' telah terbatal. Begitu juga dengan kerja-kerja jamaah ini. Jangan kita laksanakan kerja-kerja jamaah bersamaan dengan kita melakukan perkara-perkara yang haram. Mungkinkah kita mengharapkan pertolongan Allah dalam keadaan kita mendurhakai Allah?.
d). Ibadah menuntut sifat khyusuk dalam melakukannya.
Khyusuk umumnya bermakna sentiasa ingat pertemuan mereka dengan Allah dan yakin bahawa segala amalan mereka akan dibawa kembali kepada Allah. Khuyusuk,khususnya dalam solah bermakna berta'ammul ( memerhati dan menghayati) setiap bacaannya sepanjang solah. Bagitulah hakikatnya kerja kita dalam jamaah ini. Semua yang kita lakukan ( samaada peringkat atasan jamaah atau bawahan) pastinya akan dibawa kehadapan Allah swt di Akhirat. Kita seharusnya menghayati perjuangan ini dengan sebenar-benar penghayatan. Keujudan kita (pas) bukan sekadar untuk memenuhi ruang kosong dalam politik di Malaysia. Kita ada tugas yang besar, tugas yang kita warisi dari Rasulullah saw, iaitu membangunkan kalimah tauhid sehingga meratai setiap inci bumi Allah ini.
e). Ibadah hendaklah dilaksanakan terus menerus tanpa jemu.
Ibadah adalah lambang pengabdian diri kepada Allah. Justeru itu kita tidak boleh jemu beribadah. Jemukah kita menjadi hamba Allah?. Sebagaimana kita tidak boleh merasa jemu menjadi hamba kepada Allah, kerana hakikatnya kita mengharapkan Allah setiap saat, maka begitu jugalah kita tidak boleh jemu beribadah kepadanya. sumbangan kerja yang kita lakukan untuk jamaah ini adalah sebahagian daripada ibadah itu.
f). Ibadah tidak dihalangi oleh susah atau senang dan apa jua rintangan.
Ibadah yang tulus ikhlas kepada Allah akan terus dilaksanakan walau apapun keadaannya. Solah umpamanya. Tiada keadaan yang boleh menghalagi kewajipan solah kecuali gila dan mati. Hatta saat di medan peperangan pun solah masih perlu dilaksanakan. Itulah juga tanggungjawab kita dalam jamaah ini. Apakah saat mencapai kemenangan kita bersungguh-sungguh melakukan kerja-kerja jamaah, manakala saat ditimpa kekalahan kita berundur diri daripadanya?. Saat diberi jawatan kita aktif mengisi program jamaah, apabila tidak lagi memegang apa-apa jawatan kita terus berundur dari memberi sumbangan. Bukankah Allah mengajar kita, berilah infaq di jalan Allah samaada dalam keadaan senang ataupun susah.
p/s : Catatan Tarbiyyah ini di ambil dari karangan guruku Al-Fadhil Tuan Guru Hj Mokhtar bin Senik
Pengurusi Pondok An-Nuur, Kuantan, Pahang.
p/s : Catatan Tarbiyyah ini di ambil dari karangan guruku Al-Fadhil Tuan Guru Hj Mokhtar bin Senik
Pengurusi Pondok An-Nuur, Kuantan, Pahang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan