Jumaat, 3 April 2009

BICARA PRESIDEN PAS - Siri 1

Bakal PM:Kerajaan dicabar saman media asing
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Tue | Mar 31, 09 | 11:49:52 am MYT

Artikel ni koi ambil dari website harakah dengan tujuan untuk memberi sokongan pada perjuangan PAS.. jika anda ada juga artikel yang ingin dikongsikan bersama sila hartarkan ke email : feldaku82@yahoo.com atau sinaarku@yahoo.com....


"...bakal Perdana Menteri Malaysia yang baru mestilah dibersihkan terlebih dahulu dari sebarang fitnah sebelum layak memegang tampuk pemerintahan.."





Sekarang ini seluruh rakyat dalam negara ini dan dunia sedang menyaksikan satu lagi episod perubahan kepimpinan bagi negara Malaysia. Perubahan kepimpinan ini juga adalah merupakan satu sejarah yang akan dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia, kerana ianya berlaku terhadap barisan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang memegang tampuk pemerintahan kerajaan di peringkat persekutuan.


Perubahan ini adalah bukannya hal dalaman UMNO dan BN semata-mata, tetapi ianya juga turut memberi kesan kepada seluruh rakyat yang bernaung dalam negara Malaysia tercinta ini.


Semua rakyat tidak mengira latarbelakang agama dan kaum, parti-parti politik yang sah di sisi perundangan negara, dan segala bentuk perubahan polisi kerajaan yang baru nanti adalah berlaku hasil dari perubahan kepimpinan ini.


Parti Islam SeMalaysia (PAS) berpendapat bahawa kepimpinan adalah merupakan satu amanah yang sangat besar, dan ianya wajib dipikul oleh orang yang bukan sahaja layak dan adil tetapi juga perlu dilihat bersih amal perbuatannya. Risiko mempunyai kepimpinan yang rosak akhlak dan mempunyai seribu satu macam bebanan fitnah adalah sangat tinggi, di mana maruah negara adalah menjadi taruhannya.


Hal ini menjadi lebih buruk apabila media cetak dan internet antarabangsa mula menyiarkan berita kaitan kes rasuah dan jenayah ini dengan Timbalan Perdana Menteri. Penyiaran berita seperti demikian adalah sangat memalukan seluruh rakyat dalam sebuah negara yang berdaulat ini.


Ucapan saya di Dewan Rakyat pada 18 Februari 2009 adalah terang dan jelas, bahawa seseorang pemimpin terutamanya bakal Perdana Menteri Malaysia yang baru mestilah dibersihkan terlebih dahulu dari sebarang fitnah sebelum layak memegang tampuk pemerintahan yang sangat berat ini.


Sehubungan dengan itu, saya mencabar kepimpinan negara ini untuk mengambil langkah berani dengan memulakan tindakan menyaman media-media cetak dan internet antarabangsa seperti akhbar Liberation yang berpangkalan di Perancis, The New York Times, International Herald Tribune, Times Online, The Times of India (India), The Australian (Australia), Kompas (Indonesia), The Nation (Thailand) dan NineMSN (berita internet antarabangsa) yang telah menyiarkan berita kaitan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dengan pelbagai kes rasuah dan jenayah.


Tindakan saman ini adalah perlu supaya imej Malaysia yang tercalar akibat berita yang sangat memalukan ini dapat dipulihkan. Sekiranya tindakan saman ini tidak diambil, maka sebenarnya maruah dan masa depan negara akan menjadi bahan momokan masyarakat dunia. _ hkh


Tiada ulasan: