Khamis, 7 April 2011

Hitler dan Islam - Satu pandangan dari mereka di luar sana

Saya tertarik untuk menulis tentang Hitler setelah melihat begitu banyak link note yang ditulis seorang sahabat (yang saya tidak kenal) tentang kaitan Hitler dengan Islam. Saya pohon maaf mengatakan begini, tetapi saya kasihan degan setiap sahabat yang berkongsi link ini tanpa sedar mereka sudah menjadi 'senjata' kepada musuh sendiri.

Gambar-gambar Hitler bersama Haji Amin Al Husayni bukanlah gambar yang baru tersebar. Bukan gambar yang baru dibebaskan dari sekatan OSA untuk dinikmati sekalian rakyat. Ia sudah lama berlegar di internet. Berlegar di laman web. Berlegar di forum online. Berlegar di setiap sudut plan propaganda Zionis. Untuk apa? Untuk membuktikan radikalnya Hitler ialah kerana Islam. Dan Holocoust itu berasal dari Islam sendiri!

Dan naifnya kita untuk gembira dengan jerangkap mereka.

Hitler tidak pernah berminat atau meminati Islam. Ini adalah fakta. Jika dia minat kepada Islam, dia sudah lama masuk Islam. Tony Blair sudah 3 kali khatam Quran. Jauh lebih banyak daripada remaja kita yang baca Fatihah pun merangkak. Malahan 'kagumnya' Tony Blair kepada Quran dilafazkan di hadapan agensi berita Reuters dengan menyebut "Quran itu praktikal dan mendahului zaman"

Maka sudah tentulah dia jauh lebih hebat daripada sebahagian rakyat kita yang terpaksa menunggu sehingga putih bulu kening untuk fasih baca Yasin. Dan sudah tentulah jauh lebih menakjubkan dari Hitler.

Tetapi adakah itu boleh menahan dia daripada menghantar ribuan tentera menyembelih umat Islam seluruh dunia?

Tidak.

Tuan-tuan yang dikasihi,

Percayalah minat Hitler pada Islam bukanlah seperti minat Ann Wan Seng semasa dia baru-kenal Islam dulu. Minat Hitler (dan Tony!) kepada Islam lebih kurang sama sahaja dengan minat orang Melayu kepada tongkat Ali, kopi janda, belalai gajah, minyak lintah..... Minat dari nafsu, bukan hati!

Hitler sedar dan faham bahawa demi menjustifikasikan tindakan politiknya kepada Yahudi, dia perlu mengambil hati rakyat yang lain. Dan hati rakyat paling mudah didekati dengan menggunakan agama. Kenapa anda fikir George Bush Jr. melawat masjid di Washington selepas Perang Afganistan dan sekali lagi selepas Perang Iraq? Bush nak pergi sembahyang tarawih kah?

Anda tahu jawapannya..

Hitler seorang politikus dan strategis yang cerdik. Sangat cerdik. Dan dia hanya perlu memanipulasikan kekeliruan dan emosi rakyatnya untuk menjana misi sendiri.Ingat, Heinrich Himmler, Ketua tentera Jerman sendiri mengakui bahawa Nazisme memanipulasi semangat jihad tentera mereka yang beragama Islam.

Sekarang cuba kita rujuk sejarah. Mengapakah Portugis di Melaka bergabung dengan Johor untuk menyerang Acheh? Dan mengapakah di saat yang lain, Portugis bergabung dengan Acheh menggempur Johor?

Dalam sisi perang, ia dipanggil turn your enemy into your weapon.

Soal sama ada Hitler tidak meminum arak tidak boleh dijustifikasikan sebagai kecondongan dia kepada Islam. Tuan-tuan perlu ingat, arak diharamkan oleh majoriti agama. Islam, Buddha, Hindu dan sebahagian besar Christian Orthodoks. Hitler sendiri beragama Kristian Roman Katholic, belajar di sekolah Kristian ketika kecil dan pernah memperkenalkan ideologi 'Positive Christianity'.

Jadi soal minum arak atau tidak, bukan hal yang releven melainkan dia memeluk islam dahulu.

Hitler tidak pernah membunuh Yahudi kerana pembacaannya tentang Islam. Tidak pernah menjalankan holocoust kerana membaca Quran. 100 000 tentera Jerman yang terlibat dalam holocoust dan menyembelih 6 juta yahudi juga membunuh bukan kerana ada hadis nabi menyuruh begitu. Demi Allah yang jiwaku berada di dalam tangan-Nya (kekuasaan-Nya), aku bersumpah bahawa tidak ada Islam menyuruh begitu. Tidak ada.

Majoriti mereka ialah Kristian yang setiap minggu berulang alik ke gereja. Mereka jadi begitu kerana kegagalan pemuka-pemuka Kristian Jerman menjadikan mereka semua seorang manusia. Tidak ada sepatah kaitan dengan Islam.

Islam tidak pernah dikenali di Jerman pada masa tersebut. Ia tidak pernah dominon di sana. Islam hanya diketahui selepas pengaruh Jerman memasuki Balkan (yang dihuni majoriti Muslim) pada Perang Dunia ke 2. Bukan pengaruh Islam di Balkan yang memasuki Jerman.

Aneh dan canggung apabila kita memuji Hitler yang menjalankan ethnic cleansing kepada kaum Yahudi sedangkan junjungan besar Muhammad s.a.w memberikan contoh yang terbaik dalam berdepan dengan Yahudi.

Hitler membunuh Yahudi antaranya kerana dominasi dan kezaliman ekonomi kaum Yahudi ke atas penduduk Jerman. Sedangkan Nabi Muhammad hanya membenarkan ahlul Madinah memboikot Telaga Ruumah yang dimiliki Yahudi dan kedai-kedai Yahudi di Pasar Madinah kerana penjual Yahudi menipu dalam jual beli.

Malahan usai Perang Khaibar contohnya, Nabi Muhammad memberi pengampunan dan keamanan kepada Yahudi yang tunduk menyerah walaupun nyawa baginda cuba ditamatkan dengan racun perempuan Yahudi.

Dalam Perang Khandak, Yahudi Bani Quraizah dengan jelas dan terang berpakat dengan gerombolan musuh sehingga hampir menghancurkan Madinah. Apa yang dilakukan oleh nabi? Ethnic cleansing? Tidak. Hanya yang terlibat dalam perang itu sahaja dihukum bunuh kerana pengkhianatan kepada perjanjian dan keamanan negara Islam Madinah. Mereka dibicarakan dahulu malahan hakim perbicaraan itu (Saad bin Muaz) dipilih sendiri oleh pemuka Bani Quraizah; bukan oleh Nabi atau mana-mana sahabat!.

Maka amatlah pelik bilamana Allah mengutus Muhammad sebagai suri tauladan tetapi kita pula lebih galak memilih Hitler!

Kata kata Hitler "Aku boleh membunuh semua Yahudi tetapi aku meninggalkan sedikit untuk dunia mengetahui kenapa aku melakukannya' dijulang bagaikan kata keramat. Sedangkan hadis Nabi tidak mahu diingat.

Maaf saya katakan, bahawa masalah umat kita ialah mudah tertarik kepada benda baru. Mahu jadi lain dari yang lain. Itu yang menyebabkan akidah pelik seperti 'Allah duduk atas langit' pun boleh jadi popular. Atau sup lidah buaya boleh memulihkan kelelakian. Maka kasihanlah sekalian buaya...

Berhentilah menjadi Pinnochio..

Tiada ulasan: