"
Firman Allah taala:
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)" (Surah Al-An'aam ayat 162-163)
Inilah ayat keramat yang biasa kita baca pada setiap kali sembahyang fardu yang diajarkan sendiri oleh Allah dalam Al-Quran yang mulia sebagai ikrar kita dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Mungkin ada di antara kita yang tidak tahu bahawa doa ini adalah merupakan ayat-ayat Al-Quran yang menjadi petunjuk dan dasar pegangan kita. Mungkin juga ada yang sekadar membacanya tanpa mengetahui maksudnya yang sebenar, baik yang tersurat mahupun yang tersirat.
Sebagai seorang Islam yang beriman, kita perlu menyakini bahawa segala perkara yang kita lakukan dalam kehidupan ini akan dihitung serta dipertanggungjawabkan sama ada perkara itu baik atau buruk. Allah mengajar kita bahawa perkara agama bukanlah hanya dalam ibadah-ibadah seperti sembahyang, puasa, berzakat dan sebagainya sahaja, tetapi merangkumi keseluruhan cara hidup kita (Islam is the way of life) sehinggakan mati pun mestilah hanya lillahi taala iaitu demi menunaikan segala perintah Allah yang telah diperintahkan kepada kita menerusi Al-Quran dan As-Sunnah.
Setiap individu muslim dalam segenap apa pun urusannya tidak dapat lari dari dasar utama yang telah ditetapkan oleh Allah ini, dan tidak ada jalan yang lain dari jalan ini yang akan diterima oleh Allah taala selain dari jalan Allah dan rasulNya yang dengannya kita diperintahkan untuk beriman, taat dan patuh serta berserah diri.
Firman Allah taala :
"Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali"
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir" (Surah Al-Baqarah 2:285-286)
Sesungguhnya Allah tidak memberati kita melainkan apa yang terdaya oleh kita. Justru itu, seandainya di dalam diri kita sudah cukup bekalan ilmu dan tertanam matlamat lillahi taala (kerana Allah taala), janganlah gentar dalam menyusun langkah demi mencapai matlamat tersebut, kerana Allah jua yang menjadi Penolong kita serta matlamat akhir tujuan kita iaitu kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam yang keranaNya lebur segala yang fana, kepadaNya kita kembali dan menerima balasan."
wallhu 'alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan