Nazri Abdullah | ||
GOMBAK, 11 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan pegangan dan perjuangannya adalah Islam sejak kecil lagi dan bukan komunis seperti dilabel Umno dan akhbarnya, Utusan Malaysia. Berucap dalam ceramah di Dewan Kolej Universiti Islam Dr Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar malam tadi, Muhamad berkata pegangannya dan perjuangannya terhadap Islam tidak pernah berubah sejak dulu lagi. "Saya memilih perjuangan atas dasar Islam. Masa remaja dulu saya pilih Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia). Kemudian tahun 1978 saya sertai perjuangan parti Islam (PAS), sokong perjuangan ulama. "Sepanjang saya berpidato idola saya adalah Syed Qutb, Imam Hasan Al-Banna, Jamaludin Al-Afghani, dan ulama-ulama lain. "Tiba-tiba saya dituduh komunis, tak sedih ke tuan-tuan? Jahat sungguh," katanya merujuk kepada serangan Umno dan media terhadapnya ekoran pandangannya dalam isu Rumah Pasung Bukit Kepong. Kira-kira seribu hadirin hadir pada ceramah malam tadi. Mengulas lanjut Mohamad berkata tuduhan sebegitu bukan baru kerana berlaku sejak zaman penjajah lagi. Umno warisi penjajah Di zaman British ujarnya, golongan ulama dan golongan kiri dianggap penentang dan ditangkap serta dibunuh. "Saya sangat cintakan tanah air Malaysia, tempat tumpah darah kita. "(Tuduhan) Ini sama seperti dituduh terhadap pejuang-pejuang sebelum ini oleh penjajah dan sekarang Umno mewarisinya," tegasnya lagi. Mohamad dalam satu ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pad 21 Ogos lalu mendakwa Mohamad Indera yang menyerang polis British di Rumah Pasung Bukit Kepong adalah hero sebenar dan bukannya polis tersebut. Seminggu selepas itu, Utusan Malaysia dalam laporan 27 Ogos melaporkan kenyataan Mohamad sebagai berkata pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar. Mohamad yang tidak pernah mengaitkan komunis dalam isu itu kemudiannya menafikan perkara itu dan menganggap laporan akhbar Umno itu sebagai fitnah terhadapnya dan PAS. Ekoran laporan itu juga, beliau telah dibidas dan kecam hebat oleh pelbagai pihak khususnya, Umno dan BN sehingga ada yang menuduhnya sebagai komunis. Mengulas perkara itu, Mohamad malam tadi berkata semalam genap 15 hari beliau diserang. "Saya berucap 21 haribulan, Utusan siar 27 haribulan seminggu selepas itu. "Itu bukan berita, itu dah jadi sejarah. Kalau berita, berlaku hari ini keluarnya esok," sindirnya terhadap tindakan Utusan itu. Khairy budak baik Sementara itu, menjelaskan kenapa beliau menolak debat dengan Khairy Jamaluddin, beliau berkata bukan Ketua Pemuda Umno itu yang banyak menghentamnya tetapi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ekoran itu katanya, beliau hanya mahu berdebat dengan Muhyiddin yang dilihat lantang mengritik beliau sehingga menyuruh beliau bertaubat. "Bagi saya Khairy budak baik dan berpotensi jadi pemimpin PAS akan datang. Buat apa nak berdebat dengan adinda Khairy. "Muhyiddin yang banyak kata pada saya, jadi biarlah saya berdebat dengan Sohibussamahah Muhyidin Yassin," sindirnya. Turut menyampaikan ceramah malam tadi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. |
Stokis Jualan Emas Fizikal 999.9 / 916, & Agen PengIKLANan - Tel/Whatsapp; 011-2429 2621
Ahad, 11 September 2011
Saya perjuang Islam, bukan komunis - Mat Sabu
Mengapa Malaysia guna pakai perlembagaan Reid
Harakahdaily |
MIRI, 12 Sept:
“Kalau benar Tanah Melayu tidak dijajah, sudah tentu kita tidak perlu
kerajaan British merangka perlembagaan Tanah Melayu,” kata Timbalan
Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee. Katanya, sedangkan Suruhanjaya Reid yang merupakan sebuah suruhanjaya bebas berperanan merangka Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu sebelum Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 31 Ogos 1957. Suruhanjaya itu dinamakan sempena nama pengerusinya iaitu seorang hakim Mahkamah Rayuan England, Lord William Reid. Ahli Suruhanjaya Reid terdiri daripada Lord William Reid (pengerusi), Sir Ivor Jennings (Britain), Sir William McKell (Australia), Hakim B Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan). “Sekarang kita hendak tanya kepada profesor Zainal Kling dan pimpinan Umno kalau Tanah Melayu tidak pernah dijajah British buat apa perlembagaan tanah Melayu mesti dibincang di Parlimen British dan tidak diputus sendiri oleh kerajaan Tanah Melayu pada masa tersebut?” tanya Jofri dalam satu kenyataan di sini. Menurutnya, kalau negara bebas daripada penjajah, sudah tentu merangka perlembagaan sendiri tanpa perlu campur tangan atau kelulusan dari negara luar. “Mengapa Tanah Melayu dan Malaysia sekarang masih mengguna pakai perlembagaan Suruhanjaya Reid? “Mengapa tidak dihapus sama sekali perlembagaan Reid dan kita rangka dan gunakan perlembagaan yang sesuai dengan adat resam dan budaya tanah Melayu/Malaysia sendiri atau sekarang kita rangka perlembagaan menurut syariah?” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Miri. Sedangkan, katanya semua ahli Suruhanjaya Reid dari negara luar, tidak ada yang dari kerajaan tempatan atau tanah Melayu. “Inilah beberapa persoalan yang perlu dijawab dan difikir bersama kalau benar tanah Melayu tidak dijajah seharusnya kita sudah bebas menggunakan perlembagaan sendiri dan tidak bergantung dengan negara luar untuk merangka perlembagaan kita,” ujarnya. Jadi, katanya pemimpin Umno kena bersedia untuk menerima kenyataan yang negara ini memang pernah dijajah oleh British dan yang berjuang melawan kerajaan sebelum merdeka memang pejuang kemerdekaan. |
SOALAN YANG BERMAIN DIFIKIRAN GENERASI ANAK MUDA
MAJLIS PROFESOR NEGARA (MPN) BERKATA : "NEGARA MALAYSIA TIDAK PERNAH DIJAJAH".
PERSOALAN YANG PERLU DIJAWAB OLEH MPN & KERAJAAN UMNO :
1) MENGAPA SETIAP KALI MENJELANG 31 OGOS KITA PERLU MENYAMBUT HARI
KEMERDEKAAN MALAYSIA JIKA BENAR MALAYSIA TIDAK PERNAH DIJAJAH??
2) JIKA BENAR MALAYSIA TIDAK PERNAH DIJAJAH, MENGAPA PERLU PELAJAR DIWAJIBKAN BELAJAR SEJARAH MALAYSIA??
3) MELAKA MERUPAKAN NEGERI PERTAMA YANG ADA KESULTANAN MELAYU. MENGAPA KESULTANAN MELAYU MELAKA KINI SUDAH TIADA LAGI?
4) KENAPA TUNKU ABDUL RAHMAN MELAUNGKAN "MERDEKA" JIKA BENAR MALAYSIA TIDAK PERNAH DIJAJAH?
5) ADAKAH TUNGKU & PEMINPIN NEGARA YANG TELAH KERAHKAN RAKYAT
MALAYSIA SUDAH NYANYUK MELAUNGKAN "MERDEKA" SETIAP KALI MENJELANG 31
OGOS JIKA BENAR MALAYSIA TIDAK PERNAH DIJAJAH?
6) JIKA MALAYSIA TIDAK PERNAH DIJAJAH, MENGAPA DALAM KERAJAAN KESULTANAN MELAYU MELAKA JATUH DAN HILANG?
7) MENGAPA DALAM PENGAJIAN SEJARAH KERAJAAN KESULTANAN MELAYU DEMAK DI JAWA INDONESIA ADA CATATANNYA?
8) MENGAPA PERLU PANTUN DI BAWAH DITULIS DAN DIPELAJARI DALAM PENGAJIAN
SEJARAH? SEHINGGA TIMBULNYA SEJARAH PERJUANGAN WALI SONGO DI INDONESIA?
Kalau roboh Kota Melaka
papan di Jawa hamba dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
badan dan nyawa hamba serahkan.
.............................. .............................. ..............
APA KOMENTAR UMUM DALAM PERSOALAN INI???
Selasa, 6 September 2011
Mohamad Sabu dan Mat Indera
Zulkifli Sulong |
MEMBACA transkrip ucapan timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu di Padang Menora, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu membuat kita faham kenapalah Umno marah dan bimbang sangat dengan ucapan itu. (Mohamad Sabu menunjukkan kandungan buku 'Pengukir Nama Johor' yang mencatatkan Mat Indera sebagai salah seorang heronya) |
Ahli akademik jangan terpedaya propaganda Umno
Khairil Abdul Rahim |
KUANTAN, 6 Sept: PAS Pahang menggesa agar cendekiawan Melayu dan ahli-ahli akademik tidak mudah terpengaruh dengan propaganda Umno atau cuba mengampu dengan memutar belitkan sejarah. Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad, berkata golongan tersebut sepatutnya bersifat merdeka dan tidak tenggelam bersama Umno yang hanya menggunakan mereka apabila terdapat kepentingan kepada parti itu. Beliau mengulas kenyataan editor buku 'Pengukir Nama Johor', Prof Datuk Abu Bakar Hamid dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini yang membidas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu yang menggunakan fakta buku tersebut dalam isu Mat Indera. Akhbar tersebut memetik katanya "dakwaan bahawa buku Pengukir Nama Johor yang diterbitkan Yayasan Warisan Johor (YWJ) pada 2004 menyokong kenyataan (Mohd Sabu), sebaliknya tidak menyatakan Muhammad atau Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan tetapi mengajak rakyat menilai siapa sebenarnya Mat Indera." Menurut Suhaimi, beliau meneliti baris demi baris ayat dalam buku Pengukir Nama Johor. Perenggan akhir rencana berkaitan Mat Indera mencatatkan: “Dia rela mempertahankan nyawa demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajah. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan nama sebagai pejuang bukan petualang”. “Bukankah penutup ini sudah cukup jelas menyimpulkan bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan?” soalnya. Justeru, beliau mencadangkan Prof Datuk Abu Bakar membaca kembali baris demi baris setiap tokoh dalam buku itu terutama Mat Indera. “Jangan hanya sekadar mencari glamour meletakkan nama sebagai editor tanpa membaca buku tersebut. Jangan jadi cendikiawan yang gila publisiti untuk mendapat nama dalam buku ilmiah tanpa meneliti dan membaca buku tersebut. “Kajian ilmiah sejarah adalah milik rakyat dan negara ini, ia mesti pertahankan. Mempertikaikan bahan sejarah yg dieditorkan oleh diri sendiri adalah jenayah akademik. Pakar sejarah tak sepatutnya melacurkan sejarah sehingga ia dilihat hina oleh rakyat,” katanya. Beliau menyeru supaya jadilah ahli akademik yang merdeka dan tidak tenggelam bersama kebodohan Umno. Tambah Suhaimi, sebelum ini Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, seorang yang juga dikenali sebagai tokoh sejarah terkemuka tanah air mengatakan Mat Indera bukan anak tempatan dan berasal dari Indonesia. Namun selepas itu, adik Mat Indera yang masih hidup mengesahkan Mat Indera dilahirkan pada tahun 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor. Sementara itu, Suhaimi turut menemui artikel bertajuk ‘Kopi kecubung tewaskan kekebalan Mat Indera’ yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 13 Disember 2010 yang mengesahkan Mat Indera bukan pengkhianat bangsa sebagaimana didakwa Umno melalui lidah rasminya Utusan Malaysia. Artikel tersebut boleh dilayari di alamat: http://www.bharian.com.my/articles/KopikecubungtewaskankekebalanMatIndera/Article/ |
‘Pada hakikat British jajah kita’
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 6 Sept: Pakar perlembangaan Prof Abdul Aziz Bari (gambar) berkata meskipun negeri-negeri Melayu bukan atau tidak pernah dijajah oleh British, tetapi pada hakikatnya telah “dijajah kerana pentadbiran negeri dikawal” oleh kuasa Eropah itu sehingga negara merdeka lima dekad lalu, lapor The Malaysian Insider. “Pendeknya dari segi teknikal memang negeri-negeri Melayu bukan atau tidak pernah dijajah... hatta pentadbiran agama pun dipantau oleh British,” kata beliau dalam reaksi kepada The Malaysian Insider hari ini. “Secara teknikal memang betul bahawa kita tak pernah dijajah; negeri-negeri Melayu hanya negeri lindungan. Hanya Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang pernah dijajah,” kata beliau. Bagaimanapun menurut ahli akademik ini, negeri-negeri Melayu bukan negeri yang bebas dan berdaulat kerana mereka tidak bebas mengadakan hubungan luar. “Raja-raja, contohnya, dipaksa menerima kejatuhan Empayar Uthmaniah yang dihancurkan oleh British dan sekutu-sekutunya pada 1924. Ini semua berlaku kerana Raja-raja di bawah tangan British meskipun mereka tidak dijajah. “Selain itu meskipun di sisi undang-undang, yakni secara teknikalnya, mereka berdaulat kita semua tahu dasar dan undang-undang semuanya ditentukan oleh British,” kata beliau sambil menambah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim tidak harus membesar-besarkan kedudukan teknikal itu sehingga menafikan hakikat yang berlaku ketika itu. Aziz mengulas mengenai kritikan beberapa pihak ekoran pandangan tokoh sejarah itu bahawa negara ini sebenarnya tidak pernah dijajah oleh British, sebaliknya berada di bawah naungan negara Eropah itu. Khoo melahirkan pandangan itu dalam satu temu bual dengan akhbar arus perdana kelmarin ketika kontroversi berkaitan kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hangat diperkatakan sehingga ada yang mahu fakta sejarah diteliti semula. Negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54 bersama hari pembentukan Malaysia — buat julung kali pada 16 September ini. Menjawab soalan mengenai kenyataan Mohamad bahawa Allaharham Datuk Onn Jaafar dan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bukan pejuang kemerdekaan sebenar kerana mereka pegawai British, Khoo berkata: “Mereka tidak pernah bekerja dengan British. Kerajaan Melayu tidak pernah menjadi jajahan British. Kerajaan Melayu dulu secara rasmi dikenali sebagai Negeri Melayu Naungan iaitu di bawah perlindungan British, tetapi tetap diperintah oleh Raja.” Katanya, kehadiran British adalah berasaskan perjanjian dengan raja setiap kerajaan dan pegawai British ditugaskan menjalankan pentadbiran, kedaulatan tetap pada raja. “Maksudnya dari segi undang-undang, British tidak pernah menjajah kerajaan Melayu, hanya Negeri-Negeri Selat yang dikenali sebagai Tanah Jajahan Mahkota British. Pegawai British utama di Negeri-Negeri Selat dikenali sebagai gabenor, padahal kedudukan pegawai yang sama di kerajaan Melayu dikenali sebagai Pesuruhjaya Tinggi. Gabenor Hugh Clifford dalam ucapannya kepada Majlis Persekutuan pada Januari 1949 mengatakan apabila beliau merujuk kepada kerajaan Melayu: ‘They were, they are and they must remain Malay states. These states were when our cooperation in government was first invited Mohamedan monarchies. And such they are today. We have neither the right nor the desire to vary the system of government’,” katanya lagi. Kata beliau, dalam undang-undang ada dua keadaan iaitu ‘de jure’ dan ‘de facto’. “Datuk Onn mula-mula bekerja dengan kerajaan Johor dan Tunku dengan kerajaan Kedah. Mereka bekerja di negeri yang dianggap Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Raja masih ada banyak autonomi. “Selepas perang, mula-mula Datuk Onn kemudian Tunku diterima oleh British sebagai presiden Umno yang diakui British sebagai parti politik orang Melayu. Oleh sebab orang Melayu menentang Malayan Union, British tidak melaksanakan Malayan Union. British selanjutnya berunding dengan Raja-Raja juga Umno untuk menentukan sistem lebih sesuai,” kata Khoo lagi dan menambah, “akibatnya pada Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan.” Mengulas lanjut, Aziz berkata, Khoo perlu faham beza antara kedudukan teknikal dan formal dengan kenyataan atau hakikat, yakni sesuatu yang benar-benar berlaku. “Sama seperti hari ini, Raja-raja adalah ketua agama. Soalnya apakah mereka benar-benar ketua agama dalam erti kata yang sebenar? Tidakkah pentadbiran agama dijalankan oleh kerajaan?” kata beliau lagi. |
Pejuang Merdeka: PAS harap Umno terima debat
Aziz Muda |
KUALA LUMPUR, 6 Sept: PAS mencabar Umno mengadakan debat mengenai isu pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air bagi membetulkan catatan sejarah mengenainya yang diselewengkan oleh pihak penjajah khususnya British. Surat jemputan mengenainya akan ditulis dan dihantar oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Ketua Penerangan Umno pada minggu ini. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjelaskan, debat tersebut perlu diadakan memandangkan para pemimpin Umno kini semakin keterlaluan dalam memutarbelitkan dan menggelapkan fakta-fakta sejarah mengenai pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Menurut beliau, penyelewengan fakta sejarah terkini yang dilakukan oleh para pemimpin Umno membabitkan seorang pejuang kemerdekaan negara dari Johor, Mat Indera apabila tokoh tersebut dikaitkan dengan perjuangan komunis. Katanya, pada hal Mat Indera tidak terlibat langsung dengan perjuangan komunis, sebaliknya adalah seorang tokoh agama dan pejuang kemerdekaan sebenar yang sengaja digelapkan fakta sebenar mengenainya oleh pihak British sejak menjajah tanah air kita dulu. "Selain Mat Indera, tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tanah air kita yang lain yang turut diselewengkan fakta mengenainya termasuklah Datuk Bahaman dan Mat Kilau di Pahang, Datuk Dol Said di Melaka, Tok Janggut di Kelantan, Mat Salleh di Sabah, Datuk Maharajalela di Perak, Rosli Doby di Sarawak. "Selain nama-nama itu terdapat juga tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan lain yang turut diselewengkan dan digelapkan fakta mengenainya, sehingga menyebabkan orang ramai terkeliru dengan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan sebenar di tanah air kita," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini. Kesilapan tersebut, menurut beliau, dilakukan oleh pihak penjajah dengan persekongkolan para pemimpin Umno sendiri dan ia tidak boleh dibiarkan, sebaliknya perlu diperbetulkan kembali demi kepentingan negara. "Menyedari hakikat itulah, PAS memutuskan untuk mengadakan debat dengan pemimpin Umno yang membabitkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai pendebat utama bagi pihak PAS, manakala bagi pihak Umno pula kita mengharapkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pendebat utamanya," katanya. Perdebatan antara Mohamad Sabu dan Muhyiddin, katanya, merupakan sesuatu yang wajar kerana mereka adalah sesama Timbalan Presiden bagi PAS dan Umno. Menurut beliau, tambahan pula, Muhyiddin juga merupakan antara pemimpin Umno yang banyak dan lantang memperkatakan tentang Mat Indera yang dikaitkan dengan perjuangan komunis, manakala Mohamad Sabu pula di sebaliknya yang jelas menepati realiti sebenar mengenai tokoh tersebut. "Begitu juga dengan surat untuk mengajak debat itu. PAS menyerahkan tanggungjawab untuk menulis dan mengutusnya kepada Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan surat itu pula akan ditujukan kepada Ketua Penerangan Umno, sesuai dengan kedudukan mereka sesama Ketua Penerangan kedua-dua parti terbabit," jelasnya. Sesudah surat itu dihantar, jelas beliau, terpulanglah kepada pihak Umno untuk menyambutnya dan menentukan tempat untuk mengadakan debat tersebut. "Kami mengharapkan agar ajakan kami ini disambut dengan baik oleh Umno kerana ia bertujuan untuk membetulkan fakta sebenar mengenai nama-nama pejuang kemerdekaan tanah air kita," katanya. Disebabkan kesilapan itu, menurut beliau, orang ramai menjadi keliru sehingga pejuang kemerdekaan sebenar dikatakan penderhaka atau petualang, manakala petualang pula dikatakan pejuang kemerdekaan. Katanya, fakta salah itu termasuklah yang membabit Mat Indera yang dikaitkan dengan perjuangan komunis oleh pihak Umno, pada hal beliau adalah pejuang kemerdekaan sebenar yang patut diangkat ke tempat yang tinggi dalam catatan sejarah negara dan oleh seluruh rakyat negara ini. |
Buku Pengukir Nama Johor bukti Umno bohong
Aziz Muda |
KUALA LUMPUR, 6 Sept: Para pemimpin Umno jelas terbukti memutarbelitkan sejarah, khususnya mengenai Mat Indera, berdasarkan beberapa bukti termasuk buku bertajuk Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004 lalu. Buku yang ditulis oleh dua orang ahli sejarah itu, Abu Bakar A Hamid dan Mad Ismail Zamzam jelas mencatatkan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan dan tokoh agama yang disegani, malah tidak terlibat langsung dengan perjuangan komunis. |