KUALA LUMPUR, 6 Sept: Para pemimpin Umno jelas terbukti memutarbelitkan sejarah, khususnya mengenai Mat Indera, berdasarkan beberapa bukti termasuk buku bertajuk Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004 lalu. Buku yang ditulis oleh dua orang ahli sejarah itu, Abu Bakar A Hamid dan Mad Ismail Zamzam jelas mencatatkan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan dan tokoh agama yang disegani, malah tidak terlibat langsung dengan perjuangan komunis.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan, dengan itu, tindakan para pemimpin Umno mencetuskan isu itu tidak akan mendatangkan sebarang keuntungan kepada parti itu, malah ia ternyata akan menimbus Umno ke dalam lubang yang digalinya sendiri.
Menurut beliau, buku Pengukir Nama Johor itu setebal 170 muka surat, manakala kata-kata aluannya ditulis oleh Menteri Besar Johor sendiri, Datuk Abdul Ghani Othman.
Katanya, buku tersebut boleh dibaca oleh sesiapa sahaja dan ia diterbitkan sejak tahun 2004 yang sepatutnya turut dijadikan rujukan oleh para pemimpin Umno sebelum memperkatakan tentang sejarah perjuangan Mat Indera.
"Tetapi sesetengah pemimpin Umno sendiri mungkin tak tahu mengenai penerbitan buku itu dan tidak pernah membacanya sehingga menyebabkan mereka buta sejarah.
"Kini, mereka telah menyelewengkan fakta sejarah dan menggelapkan sejarah, walaupun sejarah mengenai Mat Indera tercatat dengan jelas dalam buku itu yang turut membabitkan pemimpin Umno sendiri dalam penerbitannya," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Sesudah membuat kesilapan mengenai sejarah perjuangan Mat Indera, menurut beliau, para pemimpin Umno kini terus membuat kesilapan lebih jauh dengan perancangannya untuk mengadakan 'road show' bagi menerangkan kepada orang ramai mengenai Mat Indera yang dikatakan terlibat dengan perjuangan komunis oleh mereka.
"Kita difahamkan, 'road show' itu akan diadakan oleh Pemuda Umno. Tetapi dalam hal ini, jika mereka mengadakan 'road show' sekalipun, mereka tetap gagal mempengaruhi orang ramai mengenai fakta sejarah yang diselewengkan itu kerana orang ramai sudah tahu siapa Mat Indera yang sebenarnya yang sememangnya tidak terlibat langsung dengan perjuangan komunis," tegasnya.
Turut hadir pada sidang media itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzukefly Ahmad.
Sementara itu, dalam buku Pengukir Nama Johor, antara lain dicatatkan, dalam sejarah perjuangan menentang penjajahan dan mencapai kemerdekaan Tanah Melayu, banyak tokoh yang telah terkorban demi bangsa dan negara, dikenang sebagai patriot tanah air seperti Datuk Bahaman dan Mat Kilau (Pahang), Datuk Dol Said (Melaka), Tok Janggut (Kelantan), Mat Salleh (Sabah), Datuk Maharajalela (Perak) dan Rosli Doby (Sarawak).
Mereka berjuang untuk kebebasan hak dan kemerdekaan negara. Namun begitu, mereka dianggap oleh penjajah sebagai penderhaka dan petualang yang mengancam keselamatan negara dan kerana itu mereka bukan sahaja perlu ditentang habis-habisan, malah dilenyapkan sama sekali daripada wujud di muka bumi ini.
Mereka tidak sekadar diburu, tetapi juga orang-orang yang hampir dan rapat dengan mereka turut diancam, digertak, diugut dan dimalukan.
Selain itu, propaganda memburuk-burukkan peribadi mereka disebarluaskan sehingga sesetengah anak negeri terpedaya dengan pembohongan itu.
Di negeri Johor terdapat seorang pejuang bangsa dan negara yang telah diberi imej buruk oleh penjajah Inggeris. Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Orang-orang yang rapat dan mengenali peribadi Mat Indera secara dekat menafikan pembohongan tersebut. Mereka tidak mempercayai bahawa itulah sifat-sifat Mat Indera.
Mereka mempersoalkan bagaimana dengan sekelip mata sifat-sifat terpuji Mat Indera boleh bertukar kepada sifat-sifat keji. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan