Jumaat, 26 Julai 2013

FIQH MUNAKAHAT (siri 2) : SYARAT MENIKAH

RUKUN NIKAH 
1. Pengantin lelaki
2. Pengantin perempuan
3. Wali
4. Dua orang saksi lelaki
5. Ijab dan kabul (akad nikah)

SYARAT BAKAL SUAMI
1. Islam
2. Lelaki yang tertentu
3. Bukan lelaki mahram dengan bakal isteri
4. Mengetahui wali yang sebenar bagi akad nikah tersebut
5. Bukan dalam ihram haji atau umrah
6. Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
7. Tidak mempunyai empat orang isteri yang sah dalam satu masa
8. Mengetahui bahawa perempuan yang hendak dikahwini adalah sah dijadikan isteri

SYARAT BAKAL ISTERI
1. Islam
2. Perempuan yang tertentu 
3. Bukan perempuan yang masih ada ikatan pertunangan dengan lelaki lain
4. Bukan perempuan mahram dengan bakal suami
5. Bukan seorang khunsa
6. Bukan dalam ihram haji atau umrah
7. Tidak dalam idah
8. Bukan isteri orang

SYARAT WALI
1. Islam, bukan kafir dan murtad
2. Lelaki dan bukannya perempuan
3. Baligh
4. Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
5. Bukan dalam ihram haji atau umrah
6. Tidak fasik
7. Tidak cacat akal fikiran,gila, terlalu tua dan sebagainya
8. Merdeka
9. Tidak ditahan kuasanya daripada membelanjakan hartanya

Sebaiknya bakal isteri perlulah memastikan syarat WAJIB menjadi wali. Sekiranya syarat wali bercanggah seperti di atas maka tidak sahlah sebuah pernikahan itu. Sebagai seorang mukmin yang sejati, kita hendaklah menitik beratkan hal-hal yang wajib seperti ini. Jika tidak di ambil kira, kita akan hidup di lembah zina selamanya.

JENIS-JENIS WALI
1. Wali mujbir : Wali dari bapa sendiri atau datuk sebelah bapa (bapa kepada bapa) mempunyai kuasa mewalikan perkahwinan anak perempuannya atau cucu perempuannya dengan persetujuannya atau tidak (sebaiknya perlu mendapatkan kerelaan bakal isteri yang hendak dikahwinkan).

2. Wali aqrab : Wali terdekat mengikut susunan yang layak dan berhak menjadi wali.

3. Wali ab’ad : Wali yang jauh sedikit mengikut susunan yang layak menjadi wali, jika ketiadaan wali aqrab berkenaan. Wali ab’ad ini akan berpindah kepada wali ab’ad lain seterusnya mengikut susunan tersebut jika tiada yang terdekat lagi.

4. Wali raja/hakim : Wali yang diberi kuasa atau ditauliahkan oleh pemerintah atau pihak berkuasa negeri kepada orang yang telah dilantik menjalankan tugas ini dengan sebab-sebab tertentu.

SYARAT SAKSI (Sekurang-kurangya dua orang)
1. Islam.
2. Berakal.
3. Baligh.
4. Lelaki.
5. Memahami kandungan lafaz ijab dan qabul.
6. Dapat mendengar, melihat dan bercakap.
7. Adil (Tidak melakukan dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil).
8. Merdeka.

SYARAT IJAB
1. Pernikahan nikah ini hendaklah tepat.
2. Tidak boleh menggunakan perkataan sindiran.
3. Diucapkan oleh wali atau wakilnya.
4. Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah(nikah kontrak e.g.perkahwinan(ikatan suami isteri) yang sah dalam tempoh tertentu seperti yang dijanjikan dalam persetujuan nikah muataah).
5. Tidak secara taklik(tiada sebutan prasyarat sewaktu ijab dilafazkan).

Contoh bacaan Ijab : Wali/wakil Wali berkata kepada bakal suami: "Aku nikahkan/kahwinkan engkau dengan Diana Binti Daniel dengan mas kahwinnya sebanyak RM 3000 tunai".

SYARAT QABUL
1. Ucapan mestilah sesuai dengan ucapan ijab.
2. Tiada perkataan sindiran.
3. Dilafazkan oleh bakal suami atau wakilnya (atas sebab-sebab tertentu).
4. Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah (nikah kontrak) - haram.
5. Tidak secara taklik(tiada sebutan prasyarat sewaktu qabul dilafazkan).
6. Menyebut nama bakal isteri.
7. Tidak diselangi dengan perkataan lain.

Contoh sebutan qabul (akan dilafazkan oleh bakal suami) : "Aku terima nikah/perkahwinanku dengan Diana Binti Daniel dengan mas kahwinnya sebanyak RM 3000 tunai" ATAU "Aku terima Diana Binti Daniel sebagai isteriku".

Selepas qabul dilafazkan Wali/wakil Wali akan mendapatkan pengikhtirafan/kesaksian dari para hadirin khususnya dari 2 (dua) orang saksi perkahwinan dengan menanyakan adakah JELAS? Sekiranya para saksi mengakui / mengiktiraf bahawa mereka mendengar dengan jelas, maka Wali itu sendiri akan mengatakan lafaz "SAH" atau perkataan lain yang sama maksud dengan perkataan itu.

Selanjutnya Wali/wakil Wali akan membaca doa selamat agar perkahwinan suami isteri itu berkekalan dan berbahagia sepanjang kehidupan mereka serta doa itu akan diAmeenkan oleh para hadirin

Sejurus itu, mas kahwin/bayaran perkawinan/mahar akan diserahkan kepada pihak isteri dan selalunya sebentuk cincin akan disarungkan kepada jari manis isteri oleh suami sebagai tanda permulaan ikatan kekeluargaan atau simbol pertalian kebahagiaan suami isteri. Aktiviti ini diteruskan dengan isteri mengucup/mencium tangan suami, manakala suami mencium dahi isteri atau pipinya. Aktiviti ini disebut sebagai "Pembatalan Wuduk". Ini kerana sebelum akad nikah dijalankan, suami dan isteri itu diminta untuk berwuduk terlebih dahulu.

Suami isteri juga diminta untuk solat sunat nikah sebagai tanda kesyukuran atau sujud syukur atau sekurang-kurangnya bacalah doa kesyukuran selepas majlis akad nikah berlangsung. Perkahwinan Islam sememangnya mudah kerana ia tidak perlu mengambil masa yang lama dan memerlukan banyak aset-aset perkahwinan disamping mas kahwin,hantaran atau majlis keramaian (walimatul urus)yang tidak perlu membebankan atau membazir. Jadi mengapa perlu menyusahkan dalam hal berkaitan perkahwinan dan mengapakah perlu melakukan zina?

WAKIL WALI / QADI
Wakil wali/Qadi adalah orang yang dipertanggungjawabkan oleh institusi Masjid atau jabatan/pusat Islam untuk menerima tuntutan para Wali untuk menikahkan/mengahwinkan bakal isteri dengan bakal suami. Segala urusan perkahwinan,penyedian aset perkahwian seperti mas kahwin, barangan hantaran(hadiah), penyedian tempat berkahwin, jamuan makanan kepada para hadirin dan lain-lain adalah tanggungan pihak suami isteri itu. Qadi hanya perlu memastikan aset-aset itu telah disediakan supaya urusan perkahwinan berjalan lancar. 
Disamping tanggungjawabnya mengahwinkan suami isteri berjalan dengan dengan sempurna, Qadi perlu menyempurnakan dokumen-dokumen berkaitan perkahwinan seperti sijil perkahwinan dan pengesahan suami isteri di pihak tertinggi seperti jabatan Islam dan jabatan pendaftaran negara. Ini bagi memastikan status resume suami isteri itu sentiasa sulit dan terpelihara. Qadi selalunya dilantik dari kalangan orang-orang alim (yang mempunyai pengetahuan dalam agama Islam dengan luas) seperti Ustaz, Muallim, Mufti, SheikhulIslam dan sebagainya. Qadi juga mesti merupakan seorang lelaki Islam yang sudah merdeka dan akhil baligh.

TERTIB SUSUNAN WALI
1. Bapa kandung
2. Datuk sebelah bapa ke atas
3. Saudara lelaki seibu-sebapa
4. Saudara lelaki sebapa
5. Anak saudara lelaki seibu-sebapa
6. Anak saudara lelaki sebapa
7. Bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa
8. Bapa saudara sebelah bapa sebapa
9. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa ke bawah
10. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah
11. Bapa saudara seibu-sebapa
12. Bapa saudara bapa sebapa
13. Anak lelaki bapa saudara seibu-sebapa
14. Anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah
15. Bapa saudara datuk seibu-sebapa
16. Bapa saudara datuk sebapa
17. Anak lelaki bapa saudara datuk seibu-sebapa ke bawah
18. Anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah
19. Muktiq (tuan kepada hamba perempuan yang dibebaskan).
20. Sekalian asabah kepada seorang muktiq
21. Raja/Sultan.

Sabda Nabi s.a.w:-"Tidak ada nikah tanpa wali".

Sekiranya wali pertama tidak ada, hendaklah diambil wali yang kedua dan jika wali kedua tidak ada hendaklah diambil wali ketiga dan begitulah seterusnya. 

Mengikut tertib wali, bapa hendaklah menjadi wali bagi semua perkahwinan anaknya. Dan jika bapa tidak ada kerana meninggal dunia maka hak wali berpindah kepada datuk pengantin perempuan itu; dan jika datuk juga meninggal dunia maka hak wali itu berpindah kepada saudara lelaki seibu-sebapa kepada pengantin perempuan dan begitulah bidang kuasa wali mengikut tertib susunannya. 

Sekiranya pengantin perempuan itu tidak mempunyai wali maka ia akan dinikahkan secara wali hakim. Rasulullah saw bersabda: 'Maka Sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali'.(Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud).

Jika wanita itu dinikahkan oleh wali ab’ad sedangkan wali aqrab masih ada maka perkahwinan itu tidak sah dan perkahwinan mestilah dibubarkan.
Wali Ab’ad : wali yang jauh perhubungannya dengan pengantin perempuan mengikut susunan wali).
Wali Aqrab : Wali yang paling dekat hubungannya dengan pengantin perempuan mengikut susunan wali).

Wali yang lebih dekat dengan pengantin perempuan dipanggil Wali Aqrab manakala wali yang lebih jauh dipanggil Wali Ab'ad. Contohnya jika bapa dan datuk telah meninggal, maka saudara lelaki seibu-sebapa (no. 3) dikira sebagai Wali Aqrab dan saudara lelaki sebapa (no. 4) dikira sebagai Wali Ab'ad dan begitulah seterusnya.

Antara sebab-sebab yang membolehkan perpindahan tertib wali ini ialah jika Wali Aqrab itu masih kafir, masih kanak-kanak, gila (yang mendapat perakuan daripada doktor yang amanah), fasik, bodoh dan cacat yang menghalang kemampuan berisyarat seperti bisu.

Iktibar:
1) Sikap memandang remeh kepada permasalahan perpindahan Wali Aqrab kepada Wali Ab'ad seperti yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini telah menyebabkan perkahwinan itu boleh dihukumkan batal dan tidak sah.
2) Jika perkahwinan itu bertentangan dengan hukum syarak, maka ia tidak menjanjikan rumah tangga yang aman dan bahagia.

PENERIMA WAKALAH 
Bagaimanapun, bagi perempuan (bakal isteri), tidak boleh mewakilkan kepada orang lain untuk mengahwinkannya kerana haknya ada di tangan wali. 

Orang yang menerima wakil hendaklah melaksanakan wakalah itu sendiri dan tidak boleh mewakilkan pula kepada orang lain kecuali dengan izin pemberi wakil atau apabila diserahkan urusan itu kepada wakil sendiri seperti kata pemberi wakil : “Terserahlah kepada engkau (orang yang menerima wakil) melaksanakan perwakilan itu, engkau sendiri atau orang lain.”

Maka ketika itu, boleh wakil mewakilkan pula kepada orang lain untuk melaksanakan wakalah itu. 

Wakil wajib melaksanakan wakalah menurut apa yang ditentukan oleh pemberi amanah. Jika wakil diamanahkan mengahwinkan perempuan itu dengan A, wajiblah menikahkan dengan A. 

Sebaliknya, jika wakil wali menikahkan perempuan itu dengan B, maka perkahwinan itu tidak sah. Mengikut amalan di Malaysia, selalunya wakalah wali dibuat di hadapan kadi atau pendaftar perkahwinan dengan disaksikan oleh dua orang saksi. 

Sebelum melakukan wakalah wali, adalah mustahak wali itu mengkaji latar belakang orang yang hendak menerima wakil itu.

MAHAR
Mahar ialah pemberian yang wajib diberikan oleh lelaki kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya. Ia juga disebut sebagai mas kahwin. Hukumnya adalah wajib berdasarkan surah an-Nisa: ayat 4. Jumlah mahar yang wajib dibayar akan ditentukan oleh walinya jika perempuan itu masih kecil, tetapi sudah baligh atau janda boleh ditentukan oleh perempuan itu sendiri. Mahar boleh dibayar dengan pelbagai cara yang mempunyai nilai atau faedah tertentu berdasarkan persetujuan bersama seperti rumah, kebun, mengajar atau membaca al-Quran, mengajar ilmu agama, senaskah kitab al-Quran, sejadah sembahyang, pakaian sembahyang atau sebagainya. Malah ia boleh dibayar secara tunai, bertangguh atau berhutang. 

Jika mahar berhutang, suami wajib membayarnya setelah melakukan persetubuhan atau persetubuhan secara syubhah atau salah seorang mati. Jika suaminya mati, waris suami wajib membayarnya kepada ahli waris isterinya. Jika diceraikan sebelum bersetubuh, hutang mahar wajib dibayar separuh daripada nilainya kepada bekas isterinya, jika sudah dibayar tetapi belum bersetubuh, maka isteri wajib memulangkan separuh daripadanya. Jika isteri meminta fasakh, mereka belum bersetubuh, dan mahar masih berhutang, suaminya tidak wajib membayarnya. Jika sudah dibayar, bekas isteri wajib memulangkan kesemua jumlah mahar tersebut.

JENIS MAHAR
Mahar misil : mahar saudara perempuan yang telah berkahwin sebelumnya.
Mahar muthamma : mahar yang dinilai berdasarkan keadaan, kedudukan, atau ditentukan oleh perempuan atau walinya.
Bersambung

Tiada ulasan: