Sabtu, 7 September 2013

SENTUHAN HATI UNTUK MU ABAH

" Doa anakda sentiasa mengiringi mu
Cita-cita mu akan ku teruskan
Selamat Bahagia Dikau di sana
dalam Rahmat & Barakah Rabbul'alamin, amin "

KEWAJIPAN MEMBAYAR HUTANG : Aku BENCI & MELUAT atas Orang Yang Susah Bayar HUTANG

Sesungguhnya agama Islam ialah agama yang mencakupi segala bidang kehidupan. Termasuk di dalam perkara-perkara yang terkandung di dalam ajaran Islam ialah berkenaan permasalahan hutang. Agama Islam menitikberatkan masalah hutang dan nilai melunaskan pembayarannya. Walaubagaimanapun, Islam masih memberikan ruang dan kelonggaran untuk berhutang khususnya dalam keadaan darurat dan sangat-sangat memerlukannya, iaitu dalam masalah kebaikan tetapi perlu diingat bahawa walaupun Islam memberi kelonggaran itu, setiap hutang itu wajiblah dijelaskan dan dibayar.

Kewajipan membayar hutang itu tidak akan terlepas sekalipun dengan melaksanakan ibadat-ibadat yang besar pahalanya. Oleh sebab itu Islam mengenakan syarat-syarat tertentu tertentu terhadap hutang-piutang sehingga orang yang berhutang tidak boleh lari daripada membayarnya.

Hutang perlu dijelaskan dengan segera. Janganlah dilalaikan pembayarannya dan menyebabkan tertangguh begitu lama sekali dan langsung tidak dijelaskan sehingga menyusahkan orang yang member hutang.

Akibat menanggung hutang itu, selain daripada dipertanggungjawabkan membayarnya, bahkan ada bahaya yang lebih besar yang akan menimpa kepada diri si penghutang jika tidak melunaskannya.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Imam Ahmad dan Imam Ibnu Hibban yang bermaksud :“Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya dijelaskan”.

Dalam hadith yang lain daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambil ganti daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham”.(Riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan hakikat ini, Islam menasihatkan setiap Muslim agar menghindarkan diri daripada berhutang kecuali kerana sangat memerlukan. Kalau pun terpaksa behutang, maka dia hendaklah berniat dan berazam untuk membayar hutang berkenaan.

Rasulullah s.a.w ada menjelaskan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud : “Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambil dengan niat membinasakan dengan tidak membayarnya maka Allah akan membinasakan dia”.

“Oleh itu jujur dalam melangsaikan hutang adalah sangat-sangat dituntut dalam Islam dan melengah-lengahkan pembayaran hutang boleh mencerminkan sifat khianat dalam menunaikan janji sebagaimana yang telah dipersetujui bersama. Semoga redha Allah senantiasa memayungi hamba-hambaNya yang sentiasa menitikberatkan pelangsaian hutang.”

Dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda: Orang yang berada melambat-lambatkan membayar hutang adalah suatu kezaliman dan apabila seseorang kamu mencari orang yang lambat membayar hutang maka hendaklah ia membayarnya. (Sepakat dalam riwayat)

Hadis di atas mengandungi ajaran penting untuk keharmonian masyarakat. Dalam kehidupan seharian ada masa susah dan senang yang silih berganti. Kita perlu saling bertolong-tolongan. Dengan itu, kita mungkin akan berhutang atau orang berhutang dengan kita bagi menampung keperluan hidup.

Di waktu berlaku hutang piutang inilah timbul berbagai kedudukan. Ada yang setia kepada perasaan tidak ingin menyusahkan orang lain. Tidak kurang yang cuba mengambil kesempatan dengan tidak ingin membayar hutang.


Hadis di atas menyatakan orang yang melambat-lambat membayar hutang dengan sengaja adalah perbuatan yang zalim. Apa tah lagi jika tidak mahu membayarnya. Mereka itu orang yang tidak bertanggungjawab.

Disebutkan melambat-lambatkan itu sebagai tidak menyegerakan pembayaran hutang, meskipun wang sudah ada. Orang berhutang biasanya meminta tangguh hingga ke suatu masa. Bila ada wang ia wajib dibayar. Tidak harus baginya melambat-lambatkan pembayaran. Inilah yang dikatakan berada atau kaya dalam hadis. Tidaklah menunggu ia menjadi kaya atau merasa ada lebih wang baru hendak membayar, kerana menurut nafsu manusia, ia tidak akan merasa puas dengan wang dan harta atau tidak akan merasa berlebihan wang.

Orang yang melambat-lambatkan membayar hutang, apabila datang orang menuntut hutangnya, hendaklah ia membayarnya. Tidak harus lagi ia melambat-lambatkan membayar hutang itu. Perkara ini penting, ia akan menimbulkan hubungan tidak baik. Masyarakat tidak seimbang. Persahabatan boleh renggang kerana tidak setia ketika berhutang.

Kita mesti menjaga agar kekeruhan tidak berlaku sesama sahabat. Itulah yang diajarkan rasulullah saw, iaitu menjadi peminjam yang baik.

Hutang merupakan satu jalan penyelesaian yang diberikan oIeh Islam kepada penganutnya bagi memudahkan urusan kehidupan mereka. Beberapa syarat diletakkan oIeh para ulama' kepada penghutang dan pemiutang supaya kemudahan yang diberikan oIeh Islam ini tidak disalahgunakan. Islam menganggap hutang merupakan suatu amalan yang dibenarkan ketika wujud keperluan dan kepentingan. Namun Islam tidak menggalakkan berhutang jika bertujuan untuk hidup bersenang-lenang dan bermewah-mewah. 

Rasulullah s.a.w. pernah berdoa memohon kepada Allah supaya dijauhi daripada hutang dengan sabdanya sebagaimana yang diriwayatkan oIeh An-Nasai :  "Ya Allah!, sesungguhnya Aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu bertanya seseorang kepadanya: Alangkah banyaknya doa Engkau meminta jauh dari hutang?, maka Baginda menjawab: "Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia memungkiri". 

Doa Rasulullah tersebut menunjukkan bahawa amalan berhutang merupakan amalan yang kurang sihat jika tidak diuruskan dengan sebaiknya kerana boleh menjadikan manusia kepada suka bercakap bohong dan memungkiri janji. Justeru, kita sebagai umat Islam seharusnya berusaha menjauhinya dengan sedaya mungkin.

Ingatkah kita dengan kisah bagaimana Rasulullah menolak untuk menyembahyangkan jenazah yang tidak melangsaikan hutangnya?. Walaupun setengah ulama' menganggap keengganan Rasulullah ini berlaku pada Awal permulaan Islam, namun ia tetap membuktikan perhatian dan penekanan Islam terhadap isu hutang. Bukan itu sahaja golongan yang mati syahid pun, yang sanggup mengorbankan harta dan jiwa mereka untuk Islam turut tidak terlepas daripada kewajipan ini jika masih mempunyai hutang.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang diriwayatkan oIeh Imam Bukhari:  "Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang". 

Oleh itu, marilah kita menyedari tentang pentingnya untuk setiap orang membayar hutang masing-masing, baik kepada negara, individu dan lain-lainnya demi menjaga kepentingan masyarakat, agama dan negara.

Firman Allah : "Bukan demikian, sebenarnya sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertakwa". (Ali ‘Imran: 76)

Kesimpulan :

1. Kita tidak harus melambat-lambatkan membayar hutang kerana perbuatan itu boleh menyebabkan kesusahan kepada sahabat kita.
2. Melambat-lambatkan membayar hutang bagi orang yang mampu membayarnya adalah suatu kezaliman.
3. Orang yang tidak membayar hutangnya jika ia mampu adalah orang yang tidak bertanggungjawab.

Wallahua’alam.

Rabu, 4 September 2013

HAKIKAT BAHAGIA :

Bahagia itu maknawi juga bersifat rohaniah, rasa senang bukan bahagia sekalipun ia berharta kerna semua itu bersifat lahiriah ia bukanlah hakikat bahagia, tenang (sakinah) itulah tanda bahagia, tiada tenang kan keluh kesah, bila tiada kebahagiaan hidup penuh kepuraan. 

Mazmummah punca tiada bahagia kerana terus mengekalkannya rasa ragu, tidak percaya, sangka buruk, hasad dengki, gila dunia, sombong, bongkak, dan merosakkan segala. 

Carilah tenang (sakinah) dapatkan bahagia, cintakan allah setiap masa bila zikrullah dihayatai barulah bahagia diperolehi. 

Dari titisan air mata kita belajar mengerti, dari rasa kehilangan kita belajar menghargai, dari rasa bersalah kita belajar memafi, dari sebuah harapan kita belajar berusaha, dari sebuah usaha kita belajar redho meredhoi, dari sebuah redho kita belajar ketulusan,

dari sebuah ketulusan kita belajar mengenali, dari sebuah pengenalan kita belajar memahami, dari sebuah pemahaman kita belajar muwafakat (kerjasama), dari sebuah muwafakat kita belajar membina diri, keluarga dan masyarakat. 

Hakikat bahagia lahirnya dari ketulusan jiwa berteraskan niat (nawaitu) dari awal kita melangkah, bila ada ikhlas maka hadirnya sabar redho dan tawakkal. 

Lumrah hidup inginkan semua kan menjadi miliknya kerna ia menyangka semua yang ia miliki itu adanya bahagia, jika tiada redho kerna terlalu mengharap akhirnya kecundang menimpa diri bila ujian tiba menguji jiwa. 

Carilah tenang dapatkan bahagia, lahirkan rasa syukur, jadikan diri bersifat berlapang dada (salamatun sadrin), bila itulah yang diamalkan maka lahirlah ta’awun menjadi penawarnya, menjadikan kita insan yang luhur di wajah pasti terukir sebuah senyuman indah lahirnya dari hati yang benar tulus.

Bismillahirahmanirrahim...
Alhamdulillahirabbil 'alamin... Washolatuwassalamu'a ashrafil anbia iwal mursalin. Wa'ala alihi washohbihi ajma'in... Ya Allah bantulah kami mencari sinar bahagia, memohon perlindungan dari segala kejahatan dan kecelakaan. Teguhkanlah iman kami. sucikanlah hati-hati kami. Bersihkanlah hati kami sebagai mana Engkau membersihkan hati para RasulMu... Berikanlah kami 1001 ketenangan dan kelapangan masa...Jadikanlah hati kami yakni hati yang sentiasa mengingati mu wahai Allah...dan peliharalah kami semua pembaca blog ini dari kelalaian walaupun sesaat ya Allah...Berikanlah petunjuk Mu pada kami agar kami sentiasa berada di jalan yang BENAR..Redhailah atas setiap perbuatan kami ya Allah...Jadikan kerja amal kami semata2 hanya kerana Mu wahai Allah... Terangkan hati2 kami...Bantulah kami dalam menundukkan nafsu kami..Jauhilah kami daripada gangguan iblis dan berkelakuan zalim....Semoga apa yang kami buatkan mendapat keberkatan dan redha Mu ya Allah...Rabbana atina fiddunya hasanah..Wafil akhirati hasanah..Waqhina 'azabannar..Wasshollallahu 'ala saidina muhammad wa'ala alihi washohbi wasallim....Walhamdulillahirabbil'alamin....

Salam senyuman untuk semua.....
"rehatkan minda, senyum dan zikir"....