Isnin, 12 Januari 2009

HADITH "Setiap Yang BIDAAH itu Adalah SESAT" Bersifat UMUM




SESETENGAH AYAT ALQURAAN ITU UMUM, KEMUDIAN DITAKSISKAN OLEH AYAT YANG LAIN. ADAKALANYA DITAKSISKAN OLEH HADIS. ADA HADIS YANG UMUM,KEMUDIANNYA DITAKSISKAN OLEH HADIS YANG LAIN.

Sebagaimana yang saya janjikan kepada sahabat-sahabat yang mengajukan e-mail, yang meminta saya susunkan disini dalil-dalil hadis yang menunjukkan hadis "Tiap-tiap yang bidaah itu sesat" adalah bersifat umum. Kerana jika tiada dalil yang membuktikan keumumannya, bermakna memang benar tiap-tiap yang baru itu Bidaah dan tiap-tiap yang bidaah itu sesat. Ini bermakna ternafilah pendapat yang mengatakan Bidaah itu ada bidaah Hasanah dan ada bidaah Dholalah. Mereka meminta saya kemukakan hadis-hadis yang mentaksis keumuman itu. Itulah respon mereka terhadap rencana saya sebelum ini, yang bertajuk "bidaah hasanah dan dholalah".

Kerana kedaifan dan kejahilan diri, saya terpaksa mengambil sedikit masa untuk memenuhi permintaan tersebut. Itu pun masih sangat tidak sempurna. Sekadar yang termampu dapatlah saya tuliskan disini, dengan izin Allah yang Maha 'Alim. Selebihnya sahabat-sahabat bertanyalah kepada guru-guru dan ustaz-ustaz yang Allah kurniakan kepada mereka ilmu yang luas (MasyaAllah). Mudah-mudahan Allah merahmati ilmu mereka.

1.
HADIS PERTAMA.

Imam Muslim, Imam An-Nisa'i dan Ibnu Majjah meriwayatkan satu hadis daripada Jarir bin Abdullah al-Bahiliy, katanya Rasulullah saw bersabda;

من سن فى الاسلام سنة حسنة فله أجرها وأجرمن عمل بها بعده من غير أن ينقص من أجورهم شيئ
ومن سن فى الاسلام سنة سيئة كان عليه وزرها ووزر من عمل بها بعده من غير أن ينقص من أوزاهم شيئ.

Maksudnya:
"Sesiapa yang merintis sunnah yang "baik" dalam Islam, maka ia mendapat pahalanya serta pahala orang yang beramal selepasnya, tanpa mengurangi sedikitpun pahala mereka. Dan barangsia yang merintis sunnah yang "jahat" dalam Islam, maka ia menanggung dosanya serta dosa orang yang beramal (dengan sunnah jahat tersebut) selepasnya, tanpa mengurangi sedikitpun dosa-dosa mereka".
(1)

Imam An-Nawawi memberikan sedikit komentar terhadap pengertian hadis ini, dengan katanya;

" Di dalam hadis ini terdapat gesaan supaya merintis jalan kepada kebaikan dan sunah-sunnah yang baik. Disamping itu hadis ini juga memberikan amaran terhadap usaha-usaha merintis jalan-jalan kejahatan dan sunnah-sunnah yang sesat.

Ini bermakna, hadis ini telah mengkhususkan, keumuman hadis;

كل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة
"Tiap-tiap yang baru yang diada-adakan itu Bidaah dan tiap-tiap bidaah itu sesat".

Didalam Hasyiah Ibnu Majjah, As-Sindi mengatakan;

"Cara membezakan antara sunnah yang baik (hasanah) dengan sunnah yang sesat (dholalah) ialah dengan melihat samaada ia sejajar atau tidak dengan perinsip-perinsip asas syara'.

2. HADIS KEDUA

Ibnu Majjah meriwayatkan satu hadis yang soheh daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah saw telah besabda;

من استن خيرا فاستن به كان أجره كاملا ومن أجور من استن به لاينقص من أجورهم شيئا ومن أستن
سنة سيئة فاستن به فعليه وزره كاملا ومن أوزار الذى استن به ولا ينقص من أوزارهم شيئا

Maksudnya:

" Barangsiapa yang mengadakan sunnah yang baik, lalu sunnah itu diikut orang, maka ia memperolehi pahalanya yang sempurna serta pahala-pahala orang yang mengikut sunnah itu tanpa mengurangi sedikitpun pahala-pahala mereka. Barangsiapa yang mengadakan sunnah yang buruk, lalu sunnah yang buruk itu diikuti orang, maka ia menanggung dosanya sempurna dan dosa orang-orang yang mengikut sunnah yang buruk itu tanpa berkurangan sedikitpun dosa-dosa mereka.(2).

Hadis-hadis yang hampir sama maksudnya (cuma sedikit perbezaan dari segi matan) diriwayatkan oleh Ibnu Majjah daripada Abu Juhaifah (3), Ahmad, Al-Bazar dan At-Tabaroni di dalam kitab Al-Awsat meriwayatkan sebuah hadis hassan daripada Huzaifah (4),juga dengan maksud yang sama.

3. HADIS KETIGA

Imam At-Tabaroni meriwayatkan sebuah hadis yang hassan daripada Wathilah bin Al-Asqa'. Dimana Rasulullah saw bersabda;

من سن سنة حسنة فله أجر ها ما عمل بها فى حياته وبعد مماته حتى تترك
ومن مات مرابطا فى سبيل الله جرى عليه عمل الرابط حتى يبعث يوم القيامة
Maksudnya:

" Barangsiapa yang merintis sunnah yang baik, maka ia mendapat pahalanya selagi diamalkan semasa hayatnya dan selepas kematiannya sehinggalah sunnah itu ditinggalkan (tidak diamalkan orang). Dan barangsiapa yang merintis sunnah yang buruk maka ia menanggung dosanya sehinggalah sunnah itu ditinggalkan orang. Barangsiapa yang mati kerana mengawal sempadan di jalan Allah, maka berterusnlah kepadanya pahala mengawal sempadan itu sehinggalah ia dibangkitkan pada hari kiamat".(5)

Semua hadis yang dikemukankan di atas menjelaskan tentang terbahaginya bidaah itu kepada bidaah yang baik dan dholalah. Bidaah yang baik ialah perkara baru yang diadakan yang baik dan sejajar dengan perinsip asas syara'. Bidaah dholalah ialah perkara baru yang diada-adakan yang bercanggah dengan perinsip asas syara'.

Al-Hafidz Ibnu Hajar Al-Asqolani menyebut di dalam kitabnya Fathul Baari;
" Barangsiapa yang mereka cipta dalam agama ini perkara yang tidak mempunyai dalil yang berdasarkan kepada salah satu daripada perinsip-perinsip stara' maka tidak boleh diterima".

Justeru itu kita melihat banyak perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah saw tetapi dilakukan oleh para sahabat. Kerana perkara baru yang diadakan itu tidak bercanggah dengan maslahah agama dan prinsip-prinsip asas syara'. Antaranya ialah;

1. Saidina Umar Al-Khatab. Antara perbuatan baru yang dilakukannya ialah;
a). Solah Tarawih secara berjamaah dan diImami oleh seorang Imam.(6)
b). Cadangan supaya Al-Quraan dikumpulkan dengan menulis pada lembaran-lembaran.(7)
c). Mengubah kedudukan Makam Ibrahim dari tempat asalnya.(8)
d). Penambahan lafaz Tarbiyyah.

2. Saidina Uthman bin Affan. Antara perbuatan baru yang dilakukannya ialah;
a). Penambahan Azan pada hari Jumaat. (9)
b). Mengubahsuai perluasan Masjid Nabawi.(10)
c). Penyatuan Al-Quraan Mushaf Uthamani (11)

3. Saidina Ali bin Abi Thalib. Antara perkara baru yang dilakukannya ialah;
a). Mencipta selawat keatas Nabi saw (12)

4. Abdullah bin Mas'ud. Antara perkara baru yang dilakukannya ialah;
a). Membuat perubahan lafaz Tasyahhud
. (13)

Demikian antara perkara-perkara baru dalam hal agama yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah walaupun Baginda tidak pernah melakukannya.

Wallahu 'Allam bis Sowab.

Notakaki:

1). Riwayat Muslim dalam kitabu zakah (Hadis ke 1017 mukasurat 69), An-Nisai dan Ibnu Majjah dalam Muqaddimah (203)
2). Riwayat Ibnu Majjah dengan sanad yang soheh, dalam muqaddimahnya (204) Al-Busiri didalam kitabnya Az-Zawied menegaskan hadis ini adalah soheh.
3). Sanad Hadis ini lemah (dhaif) Lihat Muqaddimah Ibnu Majah. Kerana itu saya tidak tuliskan matan hadis itu disini.
4). Sanad Hadis ini Hassan. Ianya diriwayatkan oleh Imam Ahmad, At=Tabaroni didalam Al-Awsat hadis yang 3693. Mengenai hadis ini Imam Ibnu Hajar Al-Haitami mengatakan "lemah". Kerana terdapat didalamnya seorang perawi yang bernama "Abu Ubaidah bin Huzaifah". Namun Ibnu Hibban menganggapnya "Thiqah" (kepercayaan).Kerna itu jugalah saya tidak tuliskan kembali di sini.
5). Sanad Hadis ini Hassan. AlHaitami dalam Majma' Az-Zawaied (1/168) bersependapat dengan At-Tabaroni di dalam "Al-Kabir" dengan mengatakan keseluruhan perawi hadis ini kepercayaan.
6). Umar telah mengarahkan Ubai bin Ka'ab mengimami solah tersebut dengan diikuti oleh para sahabat. Tiada seorang pun di kalangan para sahabat yang membantah Umar. Imam Malik didalam kitab Muawatha nya turut memuatkan suruhan Umar kepada tukang azan agar terus mengekalkan perkatan "solah lebih baik daripada tidur" ketika azan subuh. Lihat Muwatha bab solah Jilid 1 mukasurat 48.
7). Ketika Umar mencadangkannya kepada Abu Bakar, beliau berkata; Bagaimana aku hendak melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw?. Umar menjawab; Demi Allah ia adalah baik untuk agama.
8). Baihaqi meriwayatkan kata-kata Aisyah: Maqam Ibrahim pada zaman Rasulullah saw dan di zaman Abu Bakar kedudukannya bercantum dengan kaabah. Kemudian Umar mengundurkannya kebelakang".
9). Lihat Soheh Bukhari "kitabul Azan" ( hadis 912,913 dan 916)
10). Lihat Soheh Bukhari "kitabus Solah" ( hadis 446)
11). Pada awal pemerintahan Uthman berlaku perbezaan yang sangat ketara tentang sebutan lafaz kalimah ayat-ayat Al-Quraan.Lalu Uthman menyatukan sebutan itu atas cadangan daripada Huzaifah bin Al-Yaman. Lihat Bukhari 'kitabul Quraan hadis 4987.
12). Riwayat daripada Sa'id bin Mansur dan Ibnu Jarir dalam kitab "Tahzib Al-Athar.
13). Lihat "Al-Ru'yah fil Quran wa Sunnah" oleh Abu Abdullah As-Siddiq Al-Gumary.

Tiada ulasan: