Isnin, 12 Januari 2009

KEHEBATAN PENDAKWAH BUKAN PADA KEANEHAN IDEANYA

PENDAKWAH YANG BIJAK SENTIASA AKAN MENCARI TITIK PERSAMAAN BUKAN JURANG PEMISAHAN.




-----------------------------------------------------------------------
Pendakwah merupakan satu rukun dari rukun-rukun dakwah. Tanpa pendakwah mustahil sebuah "bangunan dakwah" dapat dibangunkan. Jika islam cukup hanya dengan teori, nescaya memadalah jika Allah menghantar Jibrail sahaja untuk membacakan isi kandungan Al-quraan. Kemudian bacaan itu dihafal oleh manusia. Bagaimana untuk melaksanakan hukum yang terkandung didalamnya, terpulanglah kepada setiap individu. Jika itu keadaannya, maka akan lahirlah Islam dalam berbagai bentuk dan wajah mengikut persepsi masing-masing. Justeru itu peranan "pendakwah" sangat penting. Ia bukan sahaja sebagai guru,pendidik dan pembimbing, bahkan sebagai tafsiran hidup kepada isi kandung wahyu itu sendiri.

Pendakwah,ma'udhu'u dakwah dan mad'uwiyyin (sasaran dakwah) adalah rukun pelengkap kepada perjalanan dakwah. Ini bermakna Pendakwah tidak boleh hidup dan berdiri dengan sendiri tanpa mengambil kira Maudhu' dakwah ( isi seruan) dan Mad'unya ( Orang yang diserunya). Pendakwah bukan sahaja berkewajipan memasyarakatkan dirinya,bahkan hendaklah memasyarakatkan idea dakwahnya. Jelas kata, pendakwah tidak boleh "syok sendiri" dengan dunianya.

Dalam peristiwa Bi'ru Muraisyi', telah berlaku pergeseran antara orang-orang Ansar dan Muhajirin. Kesempatan itu telah dipergunakan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul untuk menyemarakan api permusuhan terhadap Rasulullah dan kaum Muhajirin. Ucapan Abdullah telah didengar oleh seorang sahabat Rasulullah saw. Lalu ia datang melapurkan ucapan jahat Abdullah itu kepada Baginda. Umar yang berada disisi Baginda bangun dengan geram sambil mencadangkan agar leher Abdullah dipenggalkan sahaja. Mendengar cadangan tersebut, Baginda menenangkan Umar, sambil bersabda;

"Bagaimana wahai Umar, jika orang ramai (yang tidak mengetahui tentang kemunanfiqkan Abdullah bin Ubai) akan berkata; Muhammad telah membunuh sahabatnya sendiri".

Ucapan ringkas Baginda saw ini telah dikupas secara panjang lebar oleh sebahagian besar ulama-ulama siirah, sebagai mengambarkan kebijaksanaan Baginda dalam mengemudikan bahtera dakwah. Selagi ada ruang agar bahtera dakwah tidak bertembung dengan gulungan gelombang, maka selagi itulah akan dilayarinya dakwah kearah yang tenang. Namun pelayaran tetap akan diteruskan. Kebijaksanaan mencari titik persamaan agar ujudnya perpaduan merupakan ciri-ciri dakwah Rasulullah saw yang terus dikaji hingga kini. Berlakunya ledakan dakwah ditengah-tengah ketenangan dan kelembutan sukar dilaksanakan oleh pendakwah yang gopoh gapah. "Pembentukan Piagam Madinah" sehingga terbentuknya perjanjian damai dengan kumpulan Yahudi di Madinah dan "rangka perjanian Hudaibiyyah" sehingga terbentuknya perjanjian dengan kaum Musyrikin Quryaish merupakan contoh tindakan "penyatuan titik" yang dilakukan oleh Rasulullah saw, tindakan yang dilihat lembut dan mengalah itulah yang telah menghasilkan kejayaan yang besar kepada kaum Muslimin.

Rasulullah saw dengan Inayah Allah, telah meletakkan suatu tindakan yang sangat kena dengan tempatnya dan masanya. Justeru itu perjalanan dakwah dalam siirah Baginda hendaklah selalu diteliti dan dikaji oleh pendakwah masa kini.

Perjalanan dakwah telah menyaksikan kepelbagaian "penampilan" pendakwah. Mutu dan qualiti seorang pendakwah bukan dilihat kepada "keanehan" idea dan saranannya. Tetapi dilihat kepada bagaimana ia meletakkan sesuatu idea itu samaada kena pada tempat dan masanya. Keanehan idea bukan membuktikan kebijaksanaan dan keilmuan, sebaliknya membuktikan kelemahan dan kedangkalan. Tikus yang memberikan idea mengantungkan loceng pada leher kucing bukan tikus yang bijak. Walaupun sekilas pandang idea tersebut kelihatan hebat dan mengkagumkan.

Oleh itu para pendakwah perlu memperlengkapkan dirinya dengan banyak perkara bukan hanya ilmu dan idea. Memang jamaah memerlukan pendakwah yang berani melakukan perubahan dengan melontar idea-idea yang bertenaga. Namun Rasulullah saw memperingatkan kita agar
"berkata-katalah dengan manusia, menurut kadar akal mereka". Mengapa perlu diraikan akal manusia (Mad'u)? Kerana di awal tulisan ini telah saya katakan bahawa "pendakwah" tidak berdiri sendiri dengan dunianya. Dunia pendakwah ialah masyarakat dan jamaahnya. Justeru itu pendakwah mesti memikirkan masyarakat dan jamaahnya. Apalah hebatnya satu-satu idea jika membawa kepada kecelaruan jamaah?.Walaupun mungkin idea itu betul, namun suatu yang betul jika tidak dibangunkan pada tempat dan masa yang betul, akan menjadi fitnah kepada pendakwah dan jamaah.

Apa pun hukum-hukum aneh yang kita temui hari ini, sebenarnya telah ditemui oleh ulama yang terdahulu daripada kita. Namun kerana kebijaksanaan mereka, soal-soal hukum yang furu'iyyah, dan cabang itu tidak diketengahkan. Mereka bukan pendakwah yang syok sendiri, tetapi mereka adalah "pendakwah Ummat" ini. Perkara hukum yang memerlukan tahkik Ilmiyyah akan mereka bincang hanya dengan "ahli"nya, bukannya untuk dilontar didada akhbar kemudian tersenyum puas kerana semacam berjaya mengketengahkan suatu yang aneh, sehingga membingungkan ahli awam peringkat bawahan. bijak kah kita?.

Paling dekat untuk pendakwah kini contohi ialah Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Beliau terkenal dan diakui hebat oleh kawan dan lawan, bukan kerana lontaran ideanya yang aneh-aneh. Tetapi beliau berjaya merungkai penyelesaian atas apa yang sedia ada. Disamping itu beliau berjaya memasyarakatkan diri dan ideanya sehingga dapat dilayarinya bahtera dakwah dengan tenang dan tenteram.

Wallahu 'alam

Tiada ulasan: