Selasa, 13 Januari 2009

SYOR ULAMA URUS TABUNG HAJI



Oleh : Hj. Subky Latif (Pengarang HARAKAH)


PERHATIAN wajar diberi kepada semangat syor Datuk Raja Ahmad Zainuddin bin Raja Omar, anggota Parlimen Larut supaya Tabung Haji diurus oleh seorang ulama.

Harapannya, dengan pimpinan ulama itu nanti, kelamahan urusan Tabung Haji dapat diatasi, tiada berlaku lagi kelemahan seperti yang sedang terjadi sekarang.

Pada umumnya, dari segi semangat, wakil rakyat dari Larut itu telah meniupkan satu kesedaran yang baik betapa institusi ulama itu perlu didaulat dan dimertabatkan.

Ia bukan sekadar untuk memimpin institusi seperti Tabung Haji, tetapi wajar mengepalai sebarang pimpinan, mungkin termasuk persatuan bola. Jika persatuan dan pasukan bola dipimpinan oleh seorang yang berpendidikan agama, maka sudah tentu dia akan mengajak dan menyeru orang-orang yang terlibat dalam bola sembahyang dulu sebelum turun padang dan setelah selesai main bola. Tunaikan zakat.

Jika Presiden Persatuan Bola, yang sekarang dijawat oleh Tengku Mahkota Pahang dipegang oleh seorang ulama yang amanah dengan kedudukan dan ilmunya, maka di tepi Stadium Bukit Jalil itu dirikan sebuah masjid yang besar untuk kemudahan penonton iktikaf dan solat sementara menunggu waktu bermain.

Maka segala yang bersangkut dengan sukan itu disesuaikan keperluan agama rasmi negara ini. Di situ dulu letaknya semangat menjadikan ulama memimpin masyarakat dan institusi.

Dalam keadaan sekarang, tiada jaminan kelemahan TAbung Haji akan mudah diatasi dengan mengangkat ulama menjadi pengurusnya dan tidak jaminan penyelewangan tidak berlaku lagi. Ia adalah disebabkan ulama yang menjadi pengurus TAbung Haji saja terpaksa bekerja di bawah system payah berfungsi mengikut ilmu.

Dengan system pimpinan dan pentadbiran pada keseluruhannya tidak berpaut kepada mendaulatkan syariah, maka serban ulama juga mungkin terlucut dibawa arus system yang sedemikian.

Bagaimana pun semangat yang disuarakan oleh Raja Ahmad Zainuddin itu, langkah-langkah wajar diambil bagi memprofesionalkan ulama. Hancur Tabung Haji kalau pemilihan pengurusnya nanti dibaut mengikut calon yang keluar Universiti Azhar dengan pangkat mumtaz.

Persiapan dalam dan luar negeri, pelajar agama mesti didedahkan dengan ilmu pengurusan dan bidang professional yang lain dan pada ketika yang sama pelajar-pelajar yang mengambil bidang professional yang tidak dibangsakan sebagai pelajar agama diwajibkan menguasai pengajian Islam terutama usul fiqh.

Orang-orang ini yang diisi dalam pasaran buruh terbuka, terlatih dalam urusan pentadbiran dan berpengalaman, maka apabila tiba waktunya layat memegang jawatan pentadbiran dan pengurusan penting seperti Tabung Haji, Felda, Mara dan sebagainya.

Ketika itu ulama tidak dilihat untuk mengisi jawatan mufti dan kadhi besar saja, tetapi ialah ulama yang professional dalam institusi ulama itu sendiri dan juga ulama professional. Ketika itu Tabung Haji tidak akan kecewa lagi.

Tetapi kalau dalam keadaan ulama itu tidak dibekalkan dengan kepimpinan dan pentadbiran, dan diamanah dengan kedudukan yang tinggi seperti Tabung Haji, ditakuti natijah akan mencederakan lagi imej istitusi ulama yang ditindas sejak lebih 400 tahun lalu.

Dalam apa keadaan pun, untuk mencari Al-Ghazali dan Asy-Syafie, tidak akan ketemu jika semua pengajian tinggi – Islam dan akadamik biasa - mengikut hendak dan kuat kuasa akta universiti dan kolej. Pelaksanaan akta itu meruntuhkan mutu akadami semua universiti kita dengan meletakkan professor dan siswazah sebagai orang yang tahu membaca, menulis dan membuat kira-kira, setara dengan aktivis kelas KEMAS.

Di bawah system ini, kalau professor jadi professor kangkong dan peguam pula peguam kangkong juga, maka ulama yang dilahirkan jadi macam tiung pula. Tiung boleh dilatih menuturkan kalimah ‘assalamualaikum.’ Tetapi ia tidak tahu apa isinya. Tiada al-Ghazali dan tiada asy-Syafie, tetapi yang ada Ghazali Syafie. Itupun bukan Ghazali Syafie yang belum bersara dulu.

Tabung Haji tidak akan mencapai apa-apa kalau kita menunggu kedatangan al-Ghazali dan asy-Syafie yang tidak pernah cuba diwujudkan. Tetapi memadai memberi kepercayaan kepada ulama yang lebih berwibawa dari yang mengetuai Felda dan Mara sekarang.

Wibawa itu bukan dimaksudkan dari keupayaan, tetapi ciciran politik.

Orang yang dikehendaki oleh Raja Ahmad itu tentunya ada, tetapi hendaklah dicari. Antara ahli pentadbiran biasa dengan ulama yang menguasai pentadbiran, lebihnya ulama ia keberkatan yang Allah limpahkan kepadanya.

Ulama yang bekerja akan mampu menyerlahkan kecemerlangan, kerana di samping kejayaan dari kerjanya, barakah yang mengiringinya membantu mengatasi semua masalah, insya Allah.

Ulama adalah orang pilihan Allah selepas nabi. Kalau seorang itu tidak jadi ulama, jadilah orang yang kasih kepada ulama dan memadang tinggi kepada ulama. Moga-moga Raja Ahmad berada di sini dan begitu walaupun minatnya besar dalam persatuan bola. Allah akan hormati dia kiranya pandangan tinggi kepada ulama itu original dan kekal.

wallahu 'alam

Tiada ulasan: