Isnin, 16 Februari 2009

Akhlaq Mukmin ( 1 ) : JagalahLidah Mu.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Saudara ku para mukmin dan mukminah,

Berkata Mu’az bin Jabal kepada Rasulullah s.a.w.: Apakah kita akan dihisab juga atas apa yang kita katakan, wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Wahai Mu’az! Tidakkah engkau ketahui bahwa manusia itu akan ditelengkupkan menerusi hidung-hidung mereka disebabkan hasil tuaian lidah-lidah mereka.

Seseorang muslim hendaklah memelihara lidahnya dari bercakap-cakap dan berkata-kata mengenai perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah, dan juga memelihara lidahnya dari perbualan yang buruk, percakapan yang kosong, mengumpat keji dan fitnah memfitnah.

Imam Nawawi Rahimahullah berkata: "Ketahuilah seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidah mereka dari sebarang percakapan yang tidak mendatangkan manafaat kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tapi kebaikan darinya adalah sedikit".


Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidaklah dihumbankan muka manusia kedalam api neraka itu sebagai hasil tuaian keji lidahnya"
Sabda rasulullah lagi yang bermaksud:"Barang sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, maka barang sesiapa banyak kesalahannya banyaklah dosanya, dan barang sesiapa yang banyak dosanya api nerakalah tempat paling layak bagi dirinya"

Berkata Imam al-Ghazali, di antara bencana-bahaya lidah ialah:

1. Bercakap perkara yang tidak perlu dan tidak berfaedah.

2. Mengambil tahu tentang hal orang lain(mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengan diri kita).

3. Berbual-bual dalam hal-hal yang berkaitan dengan maksiat seperti menceritakan hal dan keadaan wanita, menceritakan tentang parti minuman arak dan lain-lain.

4. Berbantah-bantahan dan bertengkaran, bertegang urat leher.

5. Meniru percakapan yang indah-indah agar dikatakan hebat agar nanti dikata orang "Dia itu berceramah macam tok guru".

6. Berkata kotor, memaki dan lidah yang cabul.

7. Melaknat dan memaki hamun, apatah lagi kepada orang yang telah mati.

8. Menyanyi dan bersyair yang mengandungi kata-kata tercela atau kotor-lucah.

9. Menghina atau Mengejek-gejek.

10. Mendedahkan rahsia orang lain.

11. Janji bohong, menipu dan lain-lain.

Sekian, moga ALLah menyelamatkan kita daripada bencana lidah yang tak bertulang. tk..


Tiada ulasan: