Sabtu, 24 April 2010

Kehebatan Tok Guru : Semangat Pakatan Rakyat Bangkit Kembali

azman wan adnan


SELESAI sembahyang Maghrib berjemaah di masjid Al Rahimiah Kuala Kubu Baru, Tok Guru Nik Aziz mendirikan sembahyang sunat. Semasa solat beliau dilingkungi orang ramai. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk berjabat salam bertemu mata dengannya. Wap setangi di makam Nabi dan Kaabah masih ada pada tubuhnya. Beliau baru pulang dari tanah suci.

Saya turut merontai-rontai dicelahan asakan orang ramai untuk melihat wajahnya yang agak lama terpisah dari pandangan mata. Saya nampak Tok Guru sujud agak lama.

Mungkin beliau memohon agar Allah memberi kemenangan kepada Zaid Ibrahim. Kehebatan tok Guru meskipun uzur, keletihan namun kerana tuntutan perjuangan dan jihad beliau sanggup mengeret jasadnya ke Kuala Kubu Baru.

Dan yang sedikit mengusik ilusi saya ketika menyaksikan peristiwa itu, mengenai gelagat orang ramai. Mereka menyanyangi Tok Guru, menghormati Tok Guru, tetapi tidak pula ikut sama mendirikan solat sunat dan bersujud seperti Tok Guru?

Semangat Pakatan Rakyat Bangkit Kembali

MALAM ini adalah malam paling bererti bagi saya sepanjang mengikuti ceramah PKR di pilihan raya kecil Hulu Selangor. Bagi saya kalau PKR kalah pun tidak akan merasai apa-apa rasa terkilan kerana apa yang berlaku malam ini satu hadiah atau cenderamata paling bermakna buat saya sendiri. Saya percaya mereka yang hadir malam ini juga berpuas hati dan balik rumah tanpa merasakan kesal kerana berjaga. Malam ini adalah berbaloi.

Apa yang berlaku malam ini adalah satu bingkasan yang menakjubkan.

Malam ini bertempat di Sungai Buaya, ceramah PKR yang diuruskan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencatat rekod sebagai majlis paling berjaya, berkesan dan penuh dengan semangat. Keyakinan semua orang juga bertambah bahawa PKR akan menang. Kejayaan malam ini juga sebagai membayar kelemahan dan kesuraman beberapa puluh jam lalu!

Kehadiran malam ini saya anggarkan lebih 10,000. Padang seluas pandang bola penuh sedak. Di kiri jalan, belakang dan hadapan padang berkenaan juga penuh sesak.
Di jalan besar untuk masuk ke taman itu juga bebondong-bodong dengan orang ramai, kecil besar, tua muda, lelaki dan perempuan. Kereta memenuhi kiri jalan lebih 1 km. Keadaan itu seolah-olah majlis meraikan kemenangan!
Kalau majlis berkenaan adalah majlis BN sudah tentu akhabr dan tv akan merekodkan kehadirannya melebih 20,000. Tetapi saya tidak suka menambahkan angka. Saya lebih suka memberi gambaran angka sebenarnya walaupun mungkin ada yang tidak bersetuju.

Sekiranya laporan dalam blog atau media pro pembangkang menyimpulkan orang yang hadir pada majlis malam ini 15,000 saya bersetuju dan angka itu bukan palsu. Tetapi untuk adil saya tidak mahu mencatat demikian.

Kenapa? Kerana mungkin 3/4 daripada jumlah itu adalah pemerhati luar, namun apa yang jelasnya bahawa semangat rakyat untuk melihat kerajaan BN runtuh berkobar-kobar di jiwa orang ramai. Tepukan dan sorakan bergemuruh apabila ucapan penceramah mengusik hati dan perasaan hadirin.

Mungkin tidak salah kalau saya mengatakan berdasarkan perkembangan malam ini bahawa pintu untuk Zaid Ibrahim melangkah masuk ke parlimen kini sudah mulai terbuka perlahan demi perlahan dan akan memubuka luas pada keesokkannya.

Suasana malam ini merubah sama sekali senario beberama malam lalu yang boleh dianggap sebagai redup dan kabur. Semangat orang ramai dan para petugas jentera PKR juga naik dengan tiba-tiba. Ada yang sudah bersiap membungkus tikar bantal untuk pulang esok, membatalkan semula niat kerana melihat perubahan mendadak malam ini.

Kenapa malam ini saya mengatakan malam yang cukup melegakan, (saya percaya bukan saja saya tetapi pemerhati lain juga) kerana kesemua pemimpin tertinggi PKR turut sama berada di pentas dan mendampingi Zaid Ibrahim. Keempat-empat pemimpin PKR yang sebelum ini saya tandai di dalam kepala dan tercari-cari wajah mereka semuanya ada kecuali seorang, Mustapa Kamil Ayub. Bagaimana pun Mustafa tetap ada dan berceramah di Hulu Berenam.

Saifuddin Nasution Ismail, Mohd Azmin Ali dan Shamsul Iskandar Md Akin turut berada di pentas dan masing-masing menyampaikan ceramah. Barisan ini diperkuatkan dengan kedatangan Ketua Pemuda DAP, Pengerusinya Lim Kit Siang. Mengejutkan juga pada majlis itu diumumkan kemasukan bekas ahli parlimen MCA ke dalam PKR dan beberapa orang anak muda dari Negeri Sembilan.

Bukan itu saja majlis malam ini juga bertambah bererti lagi apabila anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghabar Baba, iaitu Tamrin Ghafar turut sama berada di pentas. Selain Tamrin beberapa rakan seangkatannya dalam Umno turut sama hadir memberi sokongan moral kepada Zaid Ibrahim.

Meskipun Tamrin tidak bercakap tetapi penampilannya sudah cukup memberi mesej kepada rakyat. Sebaik Anwar menyedari kehadiran Tamrin dan mengumumkannya, orang ramai bertepuk mengalu-alukan kedatangan Tamrin. Walaupun Tun Ghabar sudah meninggal tetapi dengan kehadiran warisnya itu menunjukkan bahawa semangat Tun Ghafar bersama PKR.

Dengan kehadiran hampir semua pemimpin tertinggi dan semangat yang ditunjukkan orang ramai malam ini seolah ceramah PKR sudah berada di kemuncak. Dan malam ini seperti malam penutup sebelum para penyokong menanti untuk merayakan kemenangan pada Ahad ini.

Pada mulanya Tok Guru Nik Aziz dijangka akan bersama dalam majlis berkenaan. Tetapi kerana beliau keletihan kehadirannya dibatalkan. Seperti mana dijanjikan MB Kelantan itu telah memasuki Hulu Selangor petang tadi. Mulanya beliau dijangka menyampaikan kuliah Maghrib di masjid al Rahimiah, Kuala Kubu Baru tetapi dibatalkan kerana ada larangan keras agar masjid tidak digunakan untuk berpolitik.

Beliau hanya bersembahyang jemaah Maghrib. Selepas menunaikan solat Maghrib beliau ke sidang akhbar bersama Zaid Ibrahim kemudian menyampaikan ceramah di Kampung Rasa.

Disebabkan keletihan beliau minta menuzurkan diri dari hadir di Sungai Buaya Bagaimana pun petang esok Tok Guru akan ke Felda Sungai Tengi dan malamnya akan berceramah di stadium Kuala Kubu Baru. Apakah ceramah beliau bakal mengegarkan stadium? Sama-samalah saksi sendiri dan sama-samalah mengaminkan doa Tok Guru untuk kemenangan rakyat.

Dari pengamatan malam ini, semangat dan prestasi PKR juga meningkat mandadak. Saya berani mengatakan graf PKR naik mencanak malam ini. Sekiranya semangat dan momentum malam ini dapat dipertahankan dan tidak ada kejahatan-kejahatan lain dari BN sudah pasti keputusan pilihan raya Hulu Selangor yang tidak sampai 48 jam itu akan berlaku kejutan besar!

Tiada ulasan: