Sabtu, 24 April 2010

Pendidikan Seks Tidak Wajar Di Peringkat Persekolahan

Dilulus untuk paparan oleh SongkokPutih
Oleh HJ NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berpendapat subjek pendidikan seks atau pendidikan reproduktif tidak wajar diajar diperingkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Meskipun objektif subjek tersebut dikatakan adalah untuk membendung gejala pembuangan bayi dan juga memberikan pemahaman mengenai hubungan seksual secara konseptual, namun kaedah yang hendak diaplikasikannya tidak tepat.
Kenyataan Media

Sepertimana kami maklum, subjek Pendidikan Islam dan Moral telah sekian lama diterapkan diperingkat sekolah, malah dilengkapi dengan pelbagai aktiviti ko-kurikulum, kaunseling dan program pendisplinan pelajar. Adakah semua modul tersebut tidak mampu menangani kebejatan syakhsiyah pelajar?

Maka, atas keprihatinan ini, pihak Dewan Pemuda PAS Pusat dengan rasa penuh kesedaran ingin bertemu dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan agensi-agensi yang berkaitan untuk tujuan perbincangan secara serius bagi mencari formula terbaik untuk menggariskan langkah pencegahan dan modul pendidikan yang terbaik untuk pelajar dan tenaga-tenaga pendidik di Malaysia.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga ingin melontarkan beberapa cadangan untuk diberikan perhatian yang serius dan sewajarnya.

Pertamanya, subjek Pendidikan Islam perlu sentiasa diperkemaskan dan disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami dan menarik supaya para pelajar tidak menganggapnya sebagai subjek yang remeh dan kurang bernilai. Pihak kami menggalakkan agar aktiviti-aktiviti praktikal dapat diperbanyakkan supaya ia lebih mudah dihayati.

Kedua, modul Fiqh Munakahat (Perkahwinan) dapat diterjemahkan lebih awal diperingkat sekolah rendah dan menengah mengikut kesesuaian dan taraf pemikiran mereka. Meskipun, subjek ini secara formal diajar diperingkat pengajian tinggi, namun ada beberapa topik atau intipati-intipati penting untuk disampaikan memandangkan keperluan pada hari ini lebih mendesak.

Ketiga, pihak kaunseling sekolah perlu diperkasakan peranannya supaya dapat lebih memantau dan membimbing para pelajar yang bermasalah dengan lebih efektif. Pelajar yang bermasalah perlu diberikan perhatian yang lebih termasuk curahan kasih sayang supaya mereka rasa dihargai dan diadili.

Keempat, kami menyeru kepada tenaga-tenaga pakar atau kumpulan-kumpulan konsultansi yang memberikan fokus kepada motivasi, bimbingan dan latihan agar lebih agresif membantu pihak sekolah dalam mendidik para pelajar.

Melihat kepada kebimbangan ini, pihak DPPP juga menyarankan agar semua rakyat khususnya para pendidik agar dapat lebih mengikhlaskan diri, lebih komited dan tidak berputus asa dalam penglibatan mereka membentuk modal insan di negara ini.

Disediakan oleh

HJ NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT


Tiada ulasan: