Penulis bertaqwa dengan menulis yang betul dan hak. Pembaca bertaqwa dengan meneliti dan menapis, bukan asal baca dan telan. Bukankah Allah berpesan supaya ditabayyun berita yang datang dari sang fasiq?
Dan bukankah Rasulullah juga berpesan dengan satu pesanan yang tidak harus kita lupakan?
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia itu berkata yang baik-baik atau diam sahaja. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia itu memuliakan jirannya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia itu memuliakan tetamunya”. (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jangan nanti terjebak pada kejahatan lisan yang diterjemahkan oleh tangan, pada menyatakan perkara yang sia-sia, apatah lagi yang mengundang dosa.
“Apakah sesiapa dari kalanganmu sanggup memakan daging saudaranya sendiri yang telah mati, sedangkan kamu amat membenci perlakuan itu?”
Saudara yang diumpat itu dianggap sebagai mayat kerana mayat tidak berupaya untuk mempertahankan dirinya ketika disakiti. Begitulah perihalnya pada memperkatakan benda-benda yang tidak elok tentang seseorang di belakangnya.
Di alam internet, teknologi dan ICT yang serba mudah ini, berkatalah yang baik-baik, atau diam sahaja.Hanya iman yang menjadi pagar dan sempadannya, Islam yang menjadi passportnya.
Dalam kesyukuran kita menyambut nikmat Allah berupa medium komunikasi dan penyebaran maklumat, hati berasa gundah dengan kebinasaan yang datang beriringan. Bertaqwalah kepada Allah, wahai penulis, wahai pembaca…
Demi generasi masa depan, ubahlah minda kita. Ubahlah tindakan kita. Ubah juga kerajaan Malaysia.
Kerja sebagai wartawan mengundang glamour. Semakin panas isu yang dimainkan, makin laku akhbar dan tabloid akan terjual. Namun, jangan lupa akan kepanasan isu itu akan berkadar langsung dengan panasnya api neraka, andai ada yang tidak betul dan tidak kena.
Tulisan, pada saya lebih berbahaya dari kalam lidah. Tulisan biasanya kekal, modah disalin dan didokumenkan. Kekal dalam peradaban. Tulisan yang baik, kekal dalam rahmat dan berkat. Tulisan yang buruk, kekal dalam caci dan laknat. Sang penulis akan diganjar Allah. Baik dan buruk, tunggu dan tanggunglah.
oleh : www.hasanhusaini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan