Sabtu, 19 Mac 2011

Ulasan dari FB yang tidak bermaruah : Maksiat Dibolehkan Dalam 3 Keadaan..?


"Apa salahnya aku buat maksiat.. apa salahnya aku berzina.. apa salahnya aku minum arak.. " Kata seorang hamba Allah yang lupa dirinya adalah seorang hamba..

Dia berkata lagi "Aku bukan minum arak guna duit hang pun.. Aku bukannya berzina kat rumah hang.."

Berhadapan dengan seorang perempuan seperti ini memang cukup menyentuh hati. Apatah lagi apabila berhadapan dengan lelaki, yang tidak kurang pedas lidahnya.

"Beginilah.. " Saya memulakan bicara dengan nada yang paling lembut.

"Kalau adik rasa nak berzina atau minum arak.. boleh.. memang tak salah.. Tapi dengan 3 syarat" Sambung saya lagi.

"Syarat? Boleh berzina atau minum arak kalau menepati syarat-syaratnya?" Perempuan muda ini menyambung lagi..

Di dalam hati saya berbisik "Memang si adik ni dah tahu berzina dan minum arak tu salah.. tapi dia keliru.."

Saya berkata "Ya, adik boleh buat maksiat di dunia yang lain, yang bukan diciptakan oleh Allah.. Sekarang ni adik sedang mendiami dunia yang Allah cipta. Pergilah cari dunia yang bukan Allah cipta. Di sana, bolehlah adik buat maksiat.. Setakat ini, saya tak pernah tahu ada dunia lain yang bukan ciptaan Allah."

Saya menambah lagi "Adik juga boleh buat maksiat di mana-mana tempat yang tidak dilihat oleh Allah.. Pergilah cari tempat yang Allah tak nampak..kalau boleh"

"Yang ketiga, adik juga boleh buat maksiat dengan menggunakan anggota yang bukan diciptakan oleh Allah. Sekarang ni, adik punya tangan Allah yang cipta. Kaki adik juga Allah yang cipta. Mata.. perut .. semuanya Allah yang cipta. Jadi, kalau nak buat maksiat, ciptalah sendiri anggota tersebut kalau boleh"

Dengan mimik wajah yang keliru, dia terdiam seketika.. Seperti "mencari akal" untuk menjawab..

"Kenapa encik sibuk-sibuk nak jaga tepi kain saya..? Suka hatilah saya nak buat maksiat ke apa. Biarlah saya masuk neraka sorang-sorang" Katanya dengan nada yang agak kasar bagi seorang perempuan.

"Erm.. adik.. Nanti kalau adik mati nanti, siapa yang nak kebumikan jasad adik? Boleh tak adik kambus jasad adik seorang diri? Bolehkah adik mandikan jenazah adik sendiri?" Saya cuba menimbulkan persoalan...

"Beginilah.. kalau adik tak nak saya menyibuk tepi kain adik, bila dah mati nanti jangan nyusahkan orang lain.. Jangan nyusahkan orang lain untuk kebumikan adik.. jangan nyusahkan orang lain untuk mandikan jenazah adik. Jangan nyusahkan orang untuk sembahyangkan jenazah adik.. "

Saya menyambung lagi "Kalau adik boleh buat semua ni, tak perlulah saya dan kawan-kawan sibuk jaga tepi kain adik.."

Mimiknya menampakkan seolah-olah masih mencari akal.. "Buat apa korang sibuk-sibuk solatkan jenazah saya? Biarlah saya mati sorang-sorang.."

Saya menjawab lagi "Saya solatkan jenazah adik sebab Allah suruh.. Allah suruh solatkan jenazah sesiapa saja yang beragama Islam.. walaupun jenazah tu buat maksiat.."

"Walaupun adik buat maksiat kepada Allah, Allah tetap suruh manusia yang lain untuk mensolatkan jenazah adik.. "

"Kalau adik tak nak kami solatkan jenazah adik, pergilah cari dunia lain untuk mati di sana. Jangan mati kat dunia ni."

"Dunia ni Allah yang cipta, orang Islam yang mati perlu disolatkan jenazahnya.. Ini perintah Allah. Kalau adik tak mahu saya jaga tepi kain adik, pergilah cari dunia lain yang bukan Allah cipta, dan kemudian mati di sana."

Di dalam hati adik tersebut seolah-olah ingin berkata .. "Ya, aku pergi cari dunia lain sekarang juga.. Eh.. nak cari kat mana?"

Semoga dialog di atas memberi pengajaran kepada saya dan anda.. Apabila anda meneliti satu persatu, jawapan yang sebenar ialah "tak boleh buat maksiat!" Cuma, kadangkala kita terpaksa menggunakan pelbagai teknik untuk memahamkan orang. Antaranya seperti dialog di atas.

Tiada ulasan: