BICARA BUAT PENGUSAHA URUSAN HAJI DAN UMRAH
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZa)
Saya pernah menulis beberapa artikel yang ada kaitan langsung dengan haji dan umrah. Sesiapa yang berminat, dia boleh membaca tulisan saya yang bertajuk: “Kembara Menuju Ka’abah”, juga artikel bertajuk “Haji: Antara Falsafah, Tokok Tambah dan Nas”. Dalam artikel-artikel itu, saya banyak tumpukan kepada mereka yang menunaikan haji dan umrah. Saya dapati ada satu pihak lagi yang patut diingatkan yang mempunyai kaitan langsung dengan urusan haji dan umrah, iaitu syarikat-syarikat travel agensi yang membuat keuntungan hasil dari mereka yang menunaikan haji dan umrah.
Saya tahu, ramai yang telah menjadikan sumber pendapatan mereka hasil dari pengurusan umat Islam yang menuju ke tanah suci Mekah, juga Madinah. Tidak salah. Ia satu urusan peniagaan yang halal jika diuruskan dengan betul. Namun, ada beberapa perkara yang perlu untuk saling mengingati.
Ilmu
Antaranya; dalam keghairahan mempromosi syarikat masing-masing, kadang-kadang tidak diberikan perhatian kepada kefahaman dan pegangan jamaah umrah atau haji mereka. Ramai yang kali pertama pergi umrah, kadang-kala masih tidak faham dalam banyak perkara. Para penceramah umrah atau haji, perlulah membekalkan mereka dengan maklumat yang sahih. Elakkan unsur khurafat, perkara-perkara yang diada-adakan tanpa teladan dari sunnah Nabi s.a.w, ataupun amalan tanpa berasaskan dalil.
Sebagai contoh, ada jemaah yang apabila masuk ke dalam Masjid Haram tidak menunaikan solat tahiyyatul masjid atas alasan Nabi s.a.w bersabda: “Tahiyyah BaitulLah (Kaabah) adalah tawaf”. Jadi, apabila mereka tidak mampu untuk tawaf untuk setiap kali masuk masjid, ada yang hanya terus duduk. Padahal, hadis yang dibaca itu tidak sahih. Tiada sumber sanad yang boleh dipegang. Para ulama hadis menghukumnya sebagai palsu, ataupun tiada sumber yang asal (lihat: Silsilah al-Ahadith al-Da’ifah).
Walaupun, sebahagian mereka menyebut hadis tidak sahih tetapi maknanya sahih, namun andaian itu jika dilihat kepada mereka yang masuk untuk melakukan rukun umrah atau haji, maka apabila sampai ke BaitulLah, perkara yang pertama dilakukan tentulah tawaf. Kemudian, dia bersolat dua rakaat di Maqam Ibrahim. Adapun, mereka yang masuk ke dalam Masjidil Haram sahaja, maka hukumnya sama dengan masjid lain seperti sabda Nabi s.a.w:
“Apabila seseorang kamu memasuki masjid maka hendaklah dia menunaikan solat dua rakaat sebelum dia duduk” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Itu hanya satu contoh yang kecil. Di sana ada lagi dakwaan yang tidak berasaskan hadis yang sahih seperti doa khusus ketika berada di bawah pancur (al-Mizab) emas di Kaa’bah. Bahkan ada yang mendakwa jika hujan mandi dari air yang keluar dari pancur emas itu mendapat banyak kelebihan. Padahal tiada satu hadis yang sahih pun tentang itu semua. Demikian doa khusus bagi setiap pusingan tawaf atau sa’i. Lebih daripada itu, ada syarikat yang menjual alatan khas untuk dipakai oleh jemaah haji dan umrah bagi mengingat mereka doa khas bagi setiap pusingan.
Rasulullah s.a.w hanya menyuruh berdoa secara umum tanpa ditentukan doa khas, kecuali pada beberapa tempat sahaja seperti antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad. Selain itu, seseorang berdoa hajat yang diingini, tanpa terikat. Namun, oleh kerana ada pihak yang ingin membuat keuntungan perniagaan, mereka menekan hal ini agar buku dan alatan mereka dibeli oleh jemaah. Atau agar mutawwif akan dapat upah untuk membawa jemaah mengelilingi Ka’abah bagi melaungkan doa-doa khas yang jemaah belum sempat hafal maka terpaksa mengikut mereka. Padahal, jika mereka bersendirian, lebih khusyuk dan lebih dapat menghubungkan jiwa dengan Allah. Hajat setiap insan tidak sama.
Itu belum lagi kita cerita tentang penceramah-penceramah Indonesia yang diupah yang akan berceramah dalam bas-bas jemaah umrah dan haji, yang sebahagian penceramah itu akan membawa pelbagai kisah yang tiada asal yang sahih, atau ada kepentingan dengan perniagaan khurafat mereka seperti kayu kokka dan seumpamanya. Justeru, para pembimbing umrah dan haji, tidak boleh hanya berfikir tentang bisness mereka sahaja, tanpa memerhatikan kefahaman yang diberikan kepada jemaah. Bahkan, sebahagian pembimbing itu perlulah merujuk kepada sumber-sumber yang diyakini, bukan bahan-bahan yang tidak berwibawa. Jika jemaah tersalah kerana mereka, mereka dibimbangi akan termasuk dalam hadis Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti dosa orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun”. (Riwayat Muslim).
Tipu
Antara perkara yang sering berlaku dalam pengurusan umrah dan haji ini ialah penipuan. Janji lain, apabila sampai di sana lain. Jemaah membayar wang atas janji yang diberikan. Ada yang janji tempat dekat dengan masjid, sampai di sana jauh. Ada yang kata cantik tempat tinggal, sampai di sana buruk. Ada yang kata penerbangan terus, tiba-tiba transit berjam-jam, bahkan sehari dua. Ada yang janji sepuluh hari, tiba-tiba jadi sembilan hari. Wang tidak dikembalikan, atau dibuat gantian lain yang diredhai oleh jemaah. Untuk mengelak dari tuntutan, mereka akan kata “kita kena sabar, ini ujian Allah”. Lebih buruk lagi: “Ini mungkin menebus dosa-dosa kita dulu, maka Allah susahkan kita di sini”.
Menggunakan nama Allah Yang Suci untuk mengambil wang orang secara haram di tanah suci adalah perbuatan yang maha keji. Lebih jelek lagi mereka ini sebahagiannya bergelar ‘ustaz’. Menggunakan agama untuk menjustifikasikan dosa penipuan atau mungkir janji mereka, amatlah terkutuk. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda kepada para peniaga:
“Sesiapa yang menipu kita, dia bukan dalam kalangan kita” (Riwayat Muslim).
Itu ungkapan Nabi s.a.w kepada peniaga yang menipu dengan menampakkan makanan yang elok dan menyembunyikan yang kurang elok. Bagaimanalah kiranya jika baginda melihat peniagaan umrah yang mengiklan yang baik, tetapi diberikan yang kurang baik apabila sampai ke tanah suci?. Betapa ramai pengusaha umrah yang bercirikan nifaq atau ada sifat munafik, kerana memenuhi apa Nabi s.a.w sabdakan:
“Ciri munafik itu tiga: apabila bercakap dia bohong, bila diberikan amanah dia khianat dan apabila berjanji dia mungkir” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kadang-kala urusan peniagaan seperti umrah ini boleh mengundang semua perkara ini; bohong, khianat atas amanah wang yang diberikan dan mungkir janji manis yang diucapkan.
Ada yang kata, mereka rela sebab itu mereka pergi dengan kami. Duit dah bayar takkan hendak dikembalikan semula. Saya katakan awas jika hal itu kerana mereka termakan janji dan promosi yang diberikan. Jika wang diambil, sekalipun dari segi undang-undang memang mereka tidak tuntut atau tidak mampu menuntut, tetapi Nabi s.a.w menyebut perkara yang seperti ini dalam hadis baginda:
“Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hal-hal yang seperti ini perlu dingat oleh para pengusaha pakej haji dan umrah. Berilah kepada jemaah seperti yang dijanjikan kerana mereka telah membayar wang kerana itu. Atau, kembalikan wang dengan kadarnya, atau gantian yang mereka setujui. Urusan umrah boleh menjadi jalan membawa pahala yang banyak, kerana membantu manusia melakukan ibadah. Boleh juga membawa dosa jika menipu mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan