Isnin, 22 Ogos 2011

PAS gesa Najib, Nazri henti menghina Parlimen

PAS hari ini mendakwa pemimpin BN menghina Parlimen dengan sikap berdolak-dalih mereka berhubung penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan-cadangan mengadakan reformasi dalam sistem pilihan raya negara ini.

NONE"Kedua-dua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz telah menghina Dewan yang mulia ini," kata naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, kenyataan Najib dianggap biadap kerana mengisytiharkan bahawa kerajaan tidak terikat untuk menunggu jawatankuasa itu menyelesaikan tugas-tugas mereka sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Jika mereka membentuk suatu jawatankuasa, yang menjadi sebahagian daripada Parlimen, mereka harus menyelesaikannya mengikut proses Parlimen. Atau tidak, mengapa perlu mesia-siakan usaha itu,” kata Mahfuz pada sidang akhbar di ibu PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Malah, bagi beliau kenyataan Najib itu hanyalah semata-mata untuk menurunkan suhu politik dan tekanan terhadap pentadbiran BN.

"Bila kata kerajaan tidak terikat maknanya beliau (Najib) tubuhkan PSC (jawatankuasa khas parlimen) hanya untuk turunkan suhu politik akibat tuntutan rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan adil. Bagi saya ia penghinaan kepada parlimen," kata Mahfuz.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan dolak dalih Najib selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno itu merupakan respon beliau terhadap masalah dalaman parti berkenaan.

"Saya tidak tahu adakah kenyataan Najib itu dibuat selepas mesyuarat MT Umno kerana tekanan dari musuh beliau dalam Umno... sehingga beliau terpaksa buat tindakan.... Apakah ini maksudnya pilihan raya boleh dilakukan bila-bila masa," kata Mahfuz.

azlanNaib presiden PAS itu juga membidas tindakan Nazri yang 'mendahului' parlimen dalam satu sidang media kelmarin apabila menetapkan kuota, kriteria pengerusi dan perkara lain berkenaan jawatankuasa khas itu tanpa langsung dibincangkan atau dirujuk di Parlimen terlebih dahulu.

"Dia tak boleh mendahului parlimen. Bagaimana ini berlaku, hanya Parlimen sahaja boleh tentukan perkara itu. Menteri hina parlimen dan tak tunggu keputusan parlimen," katanya.

Menurutnya, ketika mengumumkan komposisi jawatankuasa berkenaan dan menuntut supaya seorang menteri mengetuainya, Nazri secara terangan telah mengabaikan hak dan keistimewaan parlimen untuk menentukan skop dan bentuk jawatankuasa yang bakal dipilih itu.

"Hanya parlimen boleh dan patut membuat keputusan mengenai perkara ini...

"Kalau tubuhkan jawatankuasa khas kita seharusnya menghormati dan menunggu keputusan dan cadangan mereka. Kerana mereka di bawah kuasa parlimen. Kenapa nak tubuh lepas itu bubar sedangkan ia ditubuh untuk selesaikan masalah besar negara," katanya.

Bagi Mahfuz, penubuhan Suruhanjaya Diraja adalah langkah terbaik untuk membaik pulih sistem pilihan raya di Malaysia.

Beliau berkata, berbanding jawatankuasa Khas yang dicadangkan kerajaan baru-baru ini, Suruhanjaya Diraja boleh disertai oleh banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

"Kalau Suruhanjaya Diraja ditubuhkan, ia boleh membabitkan pelbagai pihak, bukan hanya ahli Parlimen sahaja.

"Jawatankuasa Khas terhad kepada ahli parlimen sahaja, NGO seperti Bersih tak boleh sertai, tak boleh bawa pakar-pakar perlembagaan," katanya.

................... Laporan : Malaysiakini


Tiada ulasan: