Rabu, 24 Ogos 2011

Bukan anak kite je mati andeh!

Abdul Aziz Mustapha

KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan Pak Pandir yang berkeriau "bukan anak kita saja yang mati, anak orang pun mati".

Beliau juga mengulangi penegasan bahawa kenaikan harga barang lebih diakibatkan oleh kegagalan kerajaan BN menguruskan ekonomi negara dan bukannya semata-mata berpunca dari kenaikan harga barang di peringkat global.

"Reaksi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) mencerminkan sikap Pak Pandir kerajaan BN yang tak habis-habis menjerit 'bukan anak kita sahaja yang mati, anak orang pun mati'.

"Bila berlaku kenaikan harga, tak habis-habis menyalahkan faktor luar seperti kenaikan harga di peringkat global, 'imported inflation' dan sebagainya.

"Kalau semata-mata disebabkan tempias kenaikan harga barang diperingkat global seperti yang cuba didakwa olehnya, mengapa harga barang di negara ini naik berkali ganda berbanding kenaikan peringkat global?

"Persoalannya, adakah beliau tahu realiti sebenarnya tentang kenaikan harga barang di negara ini?," kata Mahfuz.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, sebelum ini telah beberapa kali dibangkitkan bahawa kenaikan harga makanan di negara ini berkali ganda lebih tinggi dari kenaikan harga di peringkat global seperti yang dibuktikan oleh angka-angka Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Bangsa-bangsa Bersatu (FAO).

Beliau juga menyelar Ismail Sabri yang membangkitkan soal harga nasi kerabu dan nasi dagang sedangkan kenaikan harga pelbagai barang berpunca dari kenaikan harga barangan asas seperti minyak yang gagal dikawal oleh kerajaan.

"Inilah mentaliti kerajaan BN. Bila harga tepung naik misalnya, yang diburu ialah Mamak jual roti canai dan pekedai runcit sedangkan mereka yang memonopoli perniagaan barangan berkenaan tidak pernah diusik.

"Samalah juga sekarang, kita bincang tentang kenaikan barang yang berpunca dari kegagalan kerajaan mengawal harga barangan asas seperti minyak, dia suruh kita bagi duit kepada penjual nasi kerabu dan nasi dagang supaya mereka dapat turunkan harga.

"Tak pernah berubah perangai BN yang berak di sana-sini dan lepas itu suruh orang cuci," katanya.

Mahfuz sependapat dengan Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat (PR) tentang pasaran negara ini yang dicengkam monopoli, oligopoli dan kartel.

"Masalahnya, kerajaan BN bersungguh-sungguh menyembunyikan punca-punca utama kenaikan harga barang itu dari rakyat demi kepentingan yang semakin disedari rakyat," katanya.

Beliau berkata, Kelab Protes Barang Naik atau ringkasnya Protes BN yang digerakkan oleh Lajnah Pengguna PAS yang diterajuinya akan melipatgandakan penerangan kepada rakyat.

"Kita mahu rakyat sedar punca berlakunya kenaikan harga barangan ini disebabkan kelemahan pengurusan ekonomi oleh kerajaan BN.

"Perkara ini boleh dielak jika tiada keborosan, tiada ketirisan, tiada salah keutamaan dan tiada amalan rasuah dalam pentadbiran negara," kata Mahfuz.

Tiada ulasan: