Rabu, 24 Ogos 2011

Elak keliru, 'Majlis Syura' ditukar 'JK Pendengaran'


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Bagi mengelak kekeliruan berhubung penubuhan jawatankuasa menyiasat isu pemeriksaan gereja, kerajaan negeri Selangor memutuskan menukar nama jawatankuasa itu dari 'Majlis Syura' kepada 'Jawatankuasa Pendengaran'.

Menurut kenyataan daripada sekretariat akhbar Pejabat Menteri Besar, tindakan itu demi mengelakkan sebarang pertindihan dengan Majlis Syura Negeri Selangor yang diterajui Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mencari penyelesaian isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Methodist Church di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu yang kini diperkatakan banyak pihak.

"Walaubagaimanapun, matlamat asal, gerak kerja dan keahlian jawatankuasa ini tetap sama dan selaras dengan perbincangan antara Dato' Menteri Besar dan DYMM Sultan Selangor.

"Kerajaan Negeri berharap perubahan nama ini akan dapat merungkai sebarang kekeliruan yang wujud dan meneruskan segala usaha mencari penyelesaian berhubung isu DUMC dan JAIS bagi kesejahteraan rakyat jelata," kenyataan itu dipetik.

Isu kekeliruan itu timbul dipercayai selepas Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah, semalam meluahkan rasa terkejut dengan penubuhan Majlis Syura itu.

Dalam satu kenyataan media setiausaha sulit kepada sultan Datuk Mohamad Munir Bani berkata, isu baginda menitahkan atau menasihatkan kerajaan negeri Selangor menubuhkan majlis penasihat syura adalah tidak benar.

Katanya, sultan juga berpendirian, majlis penasihat syura atau badan berbentuk dialog berkaitan agama "tidak pernah diperkenankan".

Ini kerana, tambahnya, selain JAIS, negeri itu mempunyai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan jabatan mufti negeri.

Akur nasihat Sultan

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim juga berkata, kerajaan negeri tetap akan akur kepada segala nasihat dan titah yang diterima secara langsung daripada DYMM Sultan Selangor serta bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan penyelesaian terbaik dalam isu tersebut.

Isnin lalu, Khalid mengumumkan pembentukan majlis itu bagi menyelesaikan kontroversi isu murtad dan bagi mengendurkan ketegangan yang mungkin tercetus di kalangan masyarakat Islam dan komuniti bukan Islam di Selangor.

Dalam kenyataannya itu, Khalid berkata idea penubuhan majlis tersebut dicadangkan oleh Sultan Selangor hasil perbincangan mereka minggu lalu.

Majlis tersebut akan dianggotai oleh Mufti Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan timbalannya, Datuk Abd Majid Omar serta dirinya sendiri.

Tiada ulasan: