Soalan: Saya ingin mengetahui, adakah wang atau harta zakat boleh dipinjamkan kepada umat Islam yang memerlukan, misalnya kepada orang yang berhutang dalam perniagaan dan mereka memerlukan pembiayaan segera demi melancarkan perniagaannya? Harap penjelasan.
Jawapan: Alhamdulillah, mudah-mudahan jawapan ini dapat memberikan pencerahan kepada ramai orang mengenai status harta zakat. Tidak dinafikan bahawa, memang ada dalam kalangan umat Islam yang mempunyai persoalan yang sama. Ini kerana, sesetengah daripada mereka merasakan bahawa diri mereka masih belum layak menerima bantuan zakat sebagai asnaf fakir dan miskin; namun mereka juga amat memerlukan bantuan kewangan demi menangani keperluan mendesak.
Demi menjelaskan persoalan ini, kita perlu melihat kepada maqasid atau maksud sebenar pensyariatan zakat oleh Allah SWT. Zakat sebenarnya difardukan oleh Allah SWT kepada umat Islam, demi memastikan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan dan santunan, diberikan peluang untuk meraih kehidupan yang lebih baik. Zakat juga memastikan, kebajikan ummah secara umumnya terpelihara dan juga menjamin kelestarian Islam sehingga ke hujung waktu dunia, yakni kiamat.
Demikianlah hebatnya hikmah dan falsafah di sebalik pensyariatan zakat ini. Maka, bagaimana pula dengan mereka yang memerlukan santunan dengan cara meminjam wang zakat di atas? Tidakkah mereka termasuk ke dalam kalangan orang-orang yang perlu diberikan peluang dalam kehidupan?
Mari kita lihat, bahawa Allah SWT sebenarnya telah pun menjelaskan secara terperinci, bahawa mereka yang layak menerima bantuan wang atau harta zakat adalah lapan golongan asnaf sahaja.
Firman Allah SWT yang maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan wang) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah, 9: 60)
Maka, di manakah kedudukan mereka yang mahu melakukan pinjaman ke atas harta zakat tersebut? Bagi kalangan fakir dan miskin dan muallaf, adakah wajar mereka diberikan pinjaman? Secara nalar, akal yang sihat akan menolak pandangan ini, kerana mereka merupakan golongan yang susah dan kedudukan mereka sendiri dijamin oleh Islam dalam pelbagai keadaan, untuk dibantu dengan zakat. Maka, pastilah tidak wajar mereka diberikan pinjaman dan kemudian perlu membayarnya semula.
Maka, bagaimana pula dengan asnaf yang lain? Adakah hamba juga boleh dipinjamkan wang zakat untuk menebus dirinya? Hal ini juga tidak wajar dilakukan, kerana ia adalah sesuatu yang amat penting bagi seorang hamba, iaitu maruah dirinya perlu didahulukan dengan dibebaskan daripada perhambaan. Bagi asnaf ibn sabil pula, sudahlah mereka keputusan belanja, maka tidak wajar mereka dibebankan dengan pinjaman yang perlu dibayar kemudian, kerana ia menjadi hutang pula bagi mereka.
Mungkin, bagi kalangan asnaf orang yang berhutang (gharimin) dan fisabilillah, dilihat adanya kelonggaran bagi memberikan mereka pinjaman. Namun, persoalannya, adakah ia pernah dilakukan pada zaman Rasulullah SAW dan adakah dalam kalangan fuqaha Islam yang berijtihad dan mengharuskan ia dilakukan sedemikian?
Setakat penelitian penulis, pada zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman Saiyidina Umar bin Abdul Aziz r.a, pihak pemerintah yang mentadbir urusan zakat ketika itu tidak pernah memberikan pinjaman zakat kepada mereka yang memerlukan. Bahkan, zakat diberikan terus kepada orang yang layak; kerana ia sesuai dengan maksud asnaf itu sendiri, iaitu orang yang berhak ke atas zakat (yang disebut mustahiq zakat). Jadi, jika memang sudah ‘hak’ mereka, maka mengapa perlu dipinjamkan lagi, berilah terus kepada mereka.Maka, secara umumnya tiada kaedah meminjamkan harta atau wang zakat kepada mustahiq zakat.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan juga memang telah ada perbahasan fuqaha mutakhir ini terhadap keperluan memberikan kelonggaran untuk meminjamkan wang zakat kepada golongan gharimin (orang berhutang). Maka, hal ini sebenarnya telah membuka pintu kepada pihak pengurusan zakat untuk memberikan pinjaman berkenaan kepada mereka yang mungkin benar-benar memerlukan.
Disebutkan di dalam kitab Hukum Zakat, orang yang berhutang (misalnya demi kemaslahatan ummah, seperti yang telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW, Qabishah yang membelanjakan hartanya demi mendamaikan dua puak yang bertelagah dan dia dikira ‘berhutang’ telah datang menemui nabi menuntut haknya ke atas zakat dan nabi memberikannya), maka ia telah dijadikan asas, apakah hutang bagi asnaf gharimin melayakkan mereka diberikan pinjaman?
Dr Yusuf al-Qaradhawi telah memetik pandangan beberapa orang ulama, misalnya Ustaz Abu Zahrah, Khallaf dan Hassan, bahawa keutamaan memberikan pinjaman kepada orang yang berhutang sehingga membebaskan mereka daripada unsur riba, lebih patut dilakukan dengan harta zakat.
Pasti sahaja, mereka mengusulkan pandangan itu dengan kaedah qiyas, iaitu jika zakat boleh membebaskan orang yang sudah sedia berhutang kepada sesuatu pihak daripada terus terbelenggu dengan hutang, maka mengapa zakat sendiri tidak memberikan mereka pinjaman agar mereka terlepas lebih awal daripada meminjam yang mungkin bersifat menekan, khususnya kepada kalangan yang memerlukan keperluan mendesak dan mereka mempunyai kemampuan untuk membayarnya kembali (Dr Yusuf al-Qaradhawi, hal. 608-609).
Hal ini mungkin telah membuka harapan baharu kepada umat Islam, khususnya bagi mereka yang terjebak dalam kemelut kemiskinan yang bersifat ‘bermusim’ atau sementara, agar dapat meminjam wang zakat demi membebaskan mereka daripada kemelut tersebut.
Walau bagaimanapun, perlaksanaan pandangan fuqaha ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia perlu mengambil kira pelbagai pandangan lain, misalnya adakah wang zakat sudah begitu banyak tersedia sehingga membolehkan ia dipinjamkan? Ataupun asnaf utama yang lain, seperti fakir, miskin dan muallaf sudah tidak ada ataupun sudah tidak begitu memerlukan santunan zakat, sehingga ia boleh disalurkan kepada peminjam yang pada asasnya belum lagi menjadi asnaf zakat.
Kesimpulannya, secara muktamad sudah pasti hal ini memerlukan keputusan yang lebih jitu daripada pihak Majlis Fatwa sendiri, kerana apabila sudah dilaksnakan, sudah pasti ia akan memberikan kesan dan natijah yang cukup besar kepada umat Islam secara keseluruhan. Wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan