Peristiwa mengenai keangkuhan Abrahah Al Ashram yang membawa ketumbukan tentera bergajah dari Yaman ke Makkah untuk menghancurkan Kaabah, sangat popular di kalangan semua. Ketika perjalanan Abrahah menuju ke Makkah, tentera-tenteranya telah merampas 200 ekor unta milik Abdul Muttalib, Datuk Baginda Nabi S.A.W. Lantaran itu sebelum Abrahah tiba ke Kota Makkah, Abdul Muttalib muncul di hadapannya untuk melakukan rundingan. Abdul Muttalib merupakan ketua gugusan Tanah Arab di sekitar Kota Makkah ketika itu. Beliau mendesak Abrahah agar haknya dikembalikan.
Ketika Abrahah melihat keberanian Abdul Muttalib, terdetiklah perasaan kagumnya terhadap kewibawaan yang dimiliki pemimpin kaum Arab ini. Abrahah bertanya kepadanya dengan nada yang perlahan, "Apakah hajat engkau datang menemuiku?"
“Aku mahu penguasa kerajaan bergajah ini mengembalikan 200 ekor unta yang telah dicuri, unta-unta tersebut adalah milikku”, kata Abdul Muttalib dengan tegas.
Pada mulanya Abrahah menyangka Abdul Muttalib akan meminta supaya dia membatalkan hasratnya membinasakan Kaabah, tetapi hal yang berlaku adalah sebaliknya. Berkatalah Abrahah, "Aku merasa terpesona ketika mula-mula melihatmu. Tetapi keterujaanku itu hilang apabila engkau merendahkan kewibawaan yang ada pada dirimu dengan permintaan kerdil seperti itu".
Menurut Abrahah, jika dia mampu membawa ratusan ekor gajah menuju ke Makkah, apatah lagi 200 ekor unta kurus milik Abdul Muttalib. Tentulah Abrahah mampu melakukannya. Abrahah mula memperkecil-kecilkan Abdul Muttalib kerana tujuan pertemuan itu dilakukan bukan untuk mempertahankan Kaabah, tetapi hanya sebuah permohonan agar unta-unta Abdul Muttalib dikembalikan. Kata Abrahah, "Adakah tujuan kedatanganmu hanya kerana 200 ekor unta? Adakah engkau tidak mempedulikan nasib yang akan menimpa rumah ibadatmu (Kaabah), yang menjadi simbol agamamu, agama nenek moyangmu, agama kaummu yang akan ku musnahkan dengan kekuatan kerajaanku. Adakah engkau melupakan hal yang lebih besar dari itu untuk engkau tanyakan kepadaku?"
Lalu Abdul Muttalib menuturkan kalimah dengan begitu yakin, "Sesungguhnya aku ini adalah pemilik unta yang engkau rampas, sedangkan rumah (Kaabah) itu ada Tuhan yang menjaganya."
Inilah mauqif (pendirian) yang dilontarkan Abdul Muttalib kepada Abrahah. Sebuah pendirian yang boleh dianggap tiada semangat kesateriaan, kerana tindak balas sepi yang dilakukan Abdul Muttalib terhadap pencerobohan yang sewenangnya dilakukan oleh Abrahah. Jikalau hari ini tujuan hidup manusia semata-mata untuk mencapai kenikmatan hidup, ataupun menghimpunkan seluruh kelazatan dunia semahunya, sedangkan pada masa yang sama mereka meletakkan kedudukan agama Allah ibarat melukut di tepi gantang, adakah hamba seperti ini akan diberikan perhatian oleh Allah?! Adakah orang seperti ini akan dibantu oleh Allah?
Sesiapapun yang berpegang dengan iktiqad yang rapuh, hidup dengan jiwa yang kosong tidak memiliki sensitiviti bahawa agamanya sedang diinjak-injak dan dipermainkan, maka bermakna seseorang itu mengalami kejahilan yang sangat serius. Orang seperti ini sebenarnya tidak tahu apakah misi sebenar kedudukannya sebagai manusia yang dihidupkan di atas muka bumi. Tatkala tentera-tentera Abrahah meluru masuk ke Makkah, penduduk Arab yang diketuai oleh Abdul Muttalib itu hanya bersikap pasif. Mereka mengosongkan rumah dan lari menuju ke lereng-lereng bukit, melihat dan membiarkan tentera-tentera Abrahah yang mengendarai gajah, melanyak dan mencabul ruang suci Kota Makkah.
Sikap ‘selamba’ yang ditunjukkan penduduk Makkah waktu itu akhirnya diberikan pertolongan yang hebat dari Allah Taala. Allah menurunkan perajurit-perajurit-Nya berupa burung Ababil, burung-burung yang membawa serpihan-serpihan batu panas dari ‘sijjil’ sehingga berhasil menggagalkan rancangan jahat Abrahah. Persoalannya, mengapa burung-burung Ababil itu hadir? Kenapa Allah memberikan pertolongan kepada kaum yang pasif tidak berjihad mahupun melawan?
Ini kerana, sudah menjadi sunnatullah (ketetapan Allah) kepada kaum yang terdahulu (sebelum umat Islam) bahawa orang yang zalim akan dimusnahkan dengan perkara-perkara ‘hissi’ yang ajaib menurut kekuasaan-Nya. Allah menghancurkan kaum-kaum yang mengkhianati Para Rasul, biarpun realiti yang menimpa kepada orang beriman pada waktu itu mereka tidak mengangkat senjata untuk berjuang, ataupun tidak bertembung dengan musuh di medan perang.
Selain dari kehancuran Abrahah, ada lagi peristiwa-peristiwa lain yang turut menakjubkan berlaku kepada kaum-kaum Para Nabi terdahulu yang tidak beriman. Sunnatullah ini berlaku kepada musuh-musuh Allah dan kerajaan-kerajaan yang zalim, bermula sejak zaman kerasulan Para Nabi yang terdahulu sehinggalah kepada zaman Abrahah yang dicelakakan. Tetapi, Allah telah menetapkan suatu sunnah-Nya yang baharu, iaitu selepas 50 tahun berlalunya peristiwa Abrahah dihancurkan; Iaitu setelah kelahiran Baginda Nabi Muhammad S.A.W.
Hari ini, ketika keterpurukan melanda di beberapa penjuru wilayah Islam, ketika umat Islam meratap penuh keprihatinan, timbul dalam persoalan kita, bilakah Islam akan kembali berdaulat? Bilakah kemenangan akan diraih setelah berjam-jam kita bermunajat?
Saudara, kita bukan lagi di zaman Abrahah! Jika Allah mengirimkan burung-burung Ababil menghancur-lantak kekuatan Abrahah dan pasukan bergajahnya, sekarang umat Islam tidak memperoleh pertolongan tersebut dengan hanya duduk bersilang panggung menunggu janji-janji kemenangan tersebut. Inilah kaedah sunnatullah yang perlu dilalui oleh umat Islam, berbeza dari zaman-zaman kaum sebelumnya.
“Wahai orang yang beriman jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membelamu (mencapai kemenangan) dan meneguhkan pendirian kamu” (Muhammad:7)
Kerana itu, umat Islam mesti bangkit dengan amal yang ikhlas kepada Allah. Jika umat Islam melaksanakan kerja demi kebangkitan syiar-Nya, mereka akan dikurniakan satu keajaiban yang seakan-akan suatu kurniaan seperti Ababil melingkupkan tentera Abrahah.
Allah akan menurunkan pertolongan tersebut dalam bentuk keberkahan dan rahmat, keamanan dan petunjuk kepada mereka yang beriman. Umat Islam yang bekerja untuk agamanya, akan membuatkan mereka yang ingkar sengsara, tidak menentu fikirannya, rungsing jiwanya, bercelaru perasaannya. Tetapi tanpa gerak kerja yang teratur dan tersusun, kemas dan berterusan, berita-berita mengenai pertolongan yang Allah janjikan itu tidak akan dinikmati oleh umat Islam. Hakikatnya, Allah tidak akan memberikan kemenangan kepada umat Islam yang malas. Allah tidak akan menganugerahkan keunggulan kepada umat Islam yang tidak bekerja untuk agamanya.
Tidaklah menghairankan sewaktu kita berterusan memanjatkan doa yang berbunyi, “Ya Allah binasakan orang-orang yang zalim menerusi perbuatan jahatnya dan keluarkanlah kami dari angkara mereka agar kami termasuk di kalangan orang-orang yang diberikan keselamatan!!!”.
Tetapi doa itu tidak memperlihatkan kebenaran sepantas kerlipan mata, tiada apapun perubahan setelah doa itu dibacakan. Adakah Allah tidak memakbulkan permintaan tersebut?
Tidak wahai saudara, Allah pasti akan memperkenankan doa setiap hambaNya, tetapi mesti dengan gerak kerja, bukannya menjadi manusia yang hanya menunggu mukjizat dan keajaiban, menunggu Imam Mahdi dan Nabi Isa diturunkan. Kerana seorang aktivis gerakan Islam mestilah mendokong suatu ketetapan ini,“Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!
Natijah Perang Ahzab : Strategi & Gerak Kerja
Di dalam peperangan Khandak yang juga dikenali sebagai perang Ahzab, Nabi Muhammad S.A.W bersama Para Sahabat merangka pelbagai strategi dan gerak kerja, bukan hanya duduk bersahaja menunggu mukjizat ‘Ababil’ dari Allah Taala. Sekalipun pada waktu itu mereka dikepung, jumlah mereka sedikit dan sumber makanan dicatu. Tetapi hal itu tidak menyebabkan mereka putus harap, malah berusaha mencapai kemenangan. Para Sahabat tidak sekadar bermesyuarat dan mencetuskan gimik-gimik strategi, tetapi gerak kerja adalah kesinambungan dari kemenangan dalam peperangan tersebut. Tiada elemen-elemen perkauman dan nasionalis, apabila cadangan Salman yang berbangsa Farsi itu diangkat Rasulullah S.A.W dan Para Sahabat sebagai strategi kemenangan.
Kaum Muslimin dibahagikan kepada beberapa kelompok, tiap-tiap 10 orang ditugaskan menggali parit sepanjang 40 hasta. Semuanya berusaha menggali kawasan masing-masing dengan penuh kesungguhan dan Baginda S.A.W turut merangsang dan menyertai mereka.Tiada seorang musyrikin-pun yang mampu melepasi jarak parit tersebut kecuali semuanya terbunuh dek panah yang meluncur laju dari busur tentera Muslimin. Para tentera Muslimin pula dengan sabar menanti kesilapan yang bakal dilakukan oleh musuh-musuhnya, sekalipun pada waktu itu mereka sengsara menahan kelaparan.
Manakala Nu'aim bin Mas’ud dari Bani Ghatafan (salah satu kabilah Yahudi) yang telah masuk Islam tanpa pengetahuan kaumnya, telah ditugaskan oleh Rasulullah S.A.W untuk memporak-perandakan musuh dengan kecerdikan dan tipu-muslihat. Bangsa Ghatafan di-domba oleh Nu’aim agar meragui kafir Quraish, sebaliknya bangsa Quraish turut dihasut supaya tidak percaya kepada Bani Ghatafan sehingga menyebabkan mereka saling curiga-mencurigai. Kata Rasulullah S.A.W kepada Nu’aim, “…Perdayalah mereka semampumu, kerana perang itu adalah muslihat dan tipu daya” (rujuk Al Bidayah wan Nihayah jilid 4 hal.13)
Selepas itu, Rasulullah S.A.W mengadu kepada Allah, “Ya Allah! Tuhan yang menurunkan Al Quran, lakukan segera perhitungan, hancurkanlah tentera Ahzab. Ya Allah! Hancurkan mereka dan berilah kemenangan kepada kami”.
Doa Rasulullah S.A.W dijawab dengan deruan angin lintang, keras dan mencengkam, menghentam dan menerjah ruang gelita malam sehingga menyebabkan musuh Islam kelam-kabut dan takut dengan bayang-bayang sendiri. Akhirnya mereka mengundurkan diri dan generasi terbaik yang ditarbiyah Baginda Nabi ini menerima kemenangan dari Allah Taala. Itulah ‘Ababil’ yang dikurniakan Allah kepada umat Baginda S.A.W setelah dibuktikan dengan ukiran usaha dan gerak kerja. Yakinlah umat Islam pasti menang, tetapi mestilah ia dilengkapkan dengan syarat-syarat kemenangan, “Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!
Akhirnya sekali lagi ditegaskan, kita bukan lagi di zaman Abrahah, iaitu suatu zaman yang menghasilkan kemenangan dari Allah tanpa keringat dan syarat. Tetapi kita adalah umat yang berada di zaman Rasulullah S.A.W yang mengisyaratkan kemenangan hanya setelah didokongnya syariat.
Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W, banyak peristiwa murtad berlaku di tanah Arab malah ada yang mengaku dirinya utusan Allah setelah perginya Al Amin umat ini. Seramai 10’000 mengekor ajaran songsang yang dibawa oleh Musailamatul Kazzab, beserta kesesatan yang bermaharajalela itu tidak pula kelihatan kelibat ‘Ababil’ yang menurunkan batu dari sijjil. Tetapi yang muncul ialah pemuda yang sangat mencintai para Mukminin, membenci kekufuran yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah. Melalui perintah Khalifah pertama Rasulullah S.A.W, Abu Bakar As Siddiq mengarahkan Khalid bin Al Walid membersihkan najis murtad, Musailamah beserta pengikutnya.
Pada tahun 492 H (1099 M), tanah Palestin dikepung, seramai 70’000 orang Islam dibunuh oleh tentera Salibiyyah. Namun, tidak juga kelihatan ‘Ababil’ yang mewakili tentera Allah, membawa kerikil panas dari sijjil. Tetapi yang muncul ialah pemuda yang sangat optimis dengan kemenangan Islam, hidup dan matinya di medan perjuangan menegakkan kalimah Allah. Dia adalah Salahuddin Al Ayyubi dan bersamanya tentera mujahidin yang membersihkan Baitul Maqdis dari penindasan dan kezaliman Salibiyyah.
Kemudian Tatar melanyak Baghdad pada 656 H, berjuta-juta mangsa terbunuh dalam tempoh 40 hari. Kala itu para penguasa dipenggal kepala, kanak-kanak menjadi yatim, isteri-isteri menjadi janda, anak-anak gadis dipaksa menanggung benih onar tentera kejam yang dikepalai Hulago Khan, Jeneral Monggol yang dipuja sebagai dewa perang tak terkalah. Umat Islam mendekam beberapa tahun, dihina dan dipermainkan. Lalu penantian tersebut tidak juga menghasilkan siulan ‘Ababil’, yang membawa batu berapi dari sijjil. Sebaliknya seorang pemuda yang mencintai Rasulullah S.A.W, yang meletakkan ulama sebagai penasihatnya, berhasil mengembalikan kewibawaan umat Islam dengan keyakinan dan semangat jihad. Dia adalah Saifuddin Qutuz.
Puak sesat Qaramithah pernah menawan Kaabah pada 8 Zulhijjah 317 H. Lebih dahsyat dari itu apabila lantai Kaabah dipenuhi darah, Hajarul Aswad dicabut dari tempat asalnya, mereka kencing sambil bertawaf dengan kuda, lalu sambil ketawa berdekah-dekah para pengikut ajaran Qaramithah yang diketuai Abu Tahir Sulaiman Al Janabi itu mengangkat Hajarul Aswad ke langit sambil mengeluarkan perkataan penuh kekufuran, "Di mana Ababil?"
“Di mana batu-batu dari sijjil?!
Dan tidak turun juga Ababil, tiada lontaran batu dari neraka sijjil. Sepanjang tahun pencabulan itu, umat Islam melaksanakan ibadah haji di Makkah tanpa Hajarul Aswad sehinggalah ia dipulangkan kembali pada tahun 339H.
Fahamilah, Islam agama yang menghasilkan natijah dengan gerak kerja, menumbuhkan tauhid dengan amalan, meletakkan asas kemenangan dengan syarat iaitu, "Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan