Rentetan peristiwa perang Bani Mustaliq di zaman Rasulullah SAW terlalu panjang dan agak kompleks untuk dirungkai dan dihurai. Asasnya perang Bani Mustaliq ini bukanlah satu peperangan besar dalam sejarah Islam tetapi apa yang paling menyerlah ialah bagaimana ia menunjukkan kepada umum peranan yang di mainkan oleh seorang tokoh munafiq yang bernama Abdullah bin Ubai dan kuncu-kuncunya yang sebelum itu telah menyimpan dendam politik sekian lama terhadap kepimpinan Rasulullah SAW, malah turut mendedahkan beberapa perlakuan jahat yang dilakukan oleh mereka.
Peranan jahat Abdullah bin Ubai kian menjadi-jadi setelah gagalnya harapan beliau untuk menjadi ketua atau pemimpin di Madinah setelah kemenangan Islam dan hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah. Ia menganggap Rasulullah telah merampas cita-citanya.
Sejak itu, tertanam di dalam dirinya dendam dan hasad yang sentiasa membara dan mencari setiap kesempatan untuk melakukan sesuatu yang membahayakan Rasulullah SAW dan Islam yang dipimpin oleh Baginda SAW.
Peristiwa Bani Mustaliq ini menyaksikan bagaimana Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya keluar bersama dengan bala tentera ummat Islam tetapi Allah Taala mengetahui dan mendedahkan kedudukan dan peranan jahat mereka. Allah Taala berfirman:
"Kalaulah mereka keluar bersama-sama kamu, tidaklah mereka menambah kekuatan kamu melainkan menambah kerosakan dan tentulah mereka melakukan hasutan di antara kamu dengan tujuan hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) di kalangan kamu, sedang ada diantara kamu orang-orang yang suka mendengar hasutan mereka dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim." (Surah at-Taubah : ayat 47)
Kerja Jahat Abdullah bin Ubai
Pernah seketika berlaku perselisihan antara dua kumpulan terbesar sahabat Nabi SAW (muhajirin dan ansar) lalu Rasulullah SAW menegur mereka berdua, "Apakah kamu mahu kembali kepada jahiliyah sedang aku masih ada bersama kamu?"
Akhirnya mereka berdua hentikan pergaduhan dan berdamai. Malangnya apabila berita perdamaian itu sampai kepada Abdullah bin Ubai lalu dia berkata, "Apakah munasabah dia (Rasullullah SAW) melakukan demikian. Apabila mereka sudah ramai dalam negeri kita, mereka hendak menunjukkan kekuatan. Samalah seperti kata pepatah, gemukkan anjing kamu kemudian dia akan memakan kamu. Jaga-jaga, kalau pulang ke Madinah, nanti tahulah dia nanti. Orang yang mulia akan mengeluarkan orang yang hina!"
Ucapan itu didengari oleh Yazid bin Ikram lalu Yazid memberitahu kepada bapa saudaranya dan bapa saudaranya memberitahu Rasulullah SAW akan ucapan Abdullah bin Ubai tersebut. Kebetulan Saidina Umar al-Khattab ada bersama Rasullulah. Lalu Umar berkata, "Suruh sahaja Abbad bin Bisyr membunuh dia!"
Tetapi hal itu dihalang oleh Nabi SAW, bimbang fitnah lebih besar, nanti orang akan kata Muhammad membunuh sahabatnya sendiri. Malah anak Abdullah bin Ubai sendiri yang juga bernama Abdullah (seorang yang beriman dan soleh) minta izin dari nabi SAW untuk membunuh bapanya tetapi tidak dibenarkan oleh Rasulullah SAW bagi mengelakkan fitnah yang besar.
Abdullah bin Ubai mengetahui ucapannya telah sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW lalu ia pergi bertemu dengan Rasulullah dan bersumpah menafikan ucapannya.
Tiba-tiba seorang Ansar mengatakan, "Ya Rasullullah, mungkin budak yang melaporkan berita mengenai ucapan Abdullah bin Ubai ini tersalah lapor!"
Lalu Rasulullah SAW terus mengingatkannya. Maka berdukacitalah Zaid bin Arqam (yang melaporkan) kerana ia merasakan dirinya telah diperbohongkan. Tetapi Allah Maha Mengetahui lalu menurunkan surah al-Munafiqun dan mendedahkan perkara sebenar yang dilakukan oleh golongan munafiq khasnya Abdullah bin Ubai. Akhirnya Rasulullah SAW memanggil Zaid bin Arqam dan membacakan surah al-Munafiqun kepadanya kemudian Nabi SAW bersabda (maksudnya), "Sesungguhnya Allah telah meletakkan kamu sebagai orang yang benar."
Formula Atasi Salah Faham
Bermula dari mukjizat Nabi SAW yang bertanyakan al-Harith bin Dirar di manakah berbaki dua ekor unta yang sepatutnya turut dibawa oleh al-Harith untuk menebus anaknya Juwairiyyah binti al Harith yang menjadi tahanan perang dalam peristiwa al-Mustaliq ini.
Al-Harith sebenarnya menyembunyikan dua ekor unta tersebut kerana sayang kepada unta itu dan hanya membawa beberapa ekor unta yang lain. Al-Harith berasa hairan bagaimana Nabi SAW boleh mengetahuinya jika tidak kerana ini wahyu dari Allah, lalu al Harith memeluk Islam dan mengucap dua kalimah syahadah. Malah seluruh anak-anaknya dan beberapa orang dari kaumnya turut memeluk Islam.
Nabi SAW sendiri akhirnya berkahwin dengan anak perempuan al-Harith dan menjadi salah seorang Ummahatul Mukminin yang berjasa besar serta berjuang di samping Rasulullah SAW.
Akhirnya Bani Mustaliq memeluk ajaran Islam dan berada di bawah kerajaan Islam. Pada suatu hari Rasulullah SAW menghantar al-Walid bin 'Uqbah bin Abi Mu'it supaya mengumpulkan harta zakat. Apabila Bani Mustaliq mengetahui kedatangan utusan Rasulullah SAW lalu mereka keluar beramai-ramai untuk menyambut kedatangannya tetapi malangnya utusan itu (al-Walid bin Uqbah) tersalah faham dengan menyangka bahawa mereka keluar beramai-ramai untuk memeranginya.
Utusan itu lantas pulang dan melaporkannya kepada Rasulullah SAW berita yang tidak betul itu. Lalu Rasulullah SAW mengerahkan bala tentera untuk pergi menyerang balas bani Mustaliq. Mujurlah, bala tentera Islam tidak gopoh menyerang sebaliknya menghantar pengintip untuk melihat keadaan sebenar yang berlaku.
Apabila pengintip menghampiri kumpulan Bani Mustaliq, tiba-tiba didengari suara azan berkumandang untuk menunaikan solat fardhu dan keadaan itu menandakan mereka masih setia kepada Islam.
Setengah riwayat menyebut, Bani Mustaliq menghantar utusan bertemu Rasulullah SAW lalu menceritakan perihal utusan Rasulullah SAW yang melarikan diri itu. Bersempena salah faham inilah Allah Taala menurunkan wahyunya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasiq yang membawa berita maka telitilah terlebih dahulu nanti kamu mengenakan sesuatu kaum secara jahil maka menyebabkan kamu menjadi orang yang menyesal." (Surah al-Hujurat : ayat 49)
Peristiwa ini mengajar kita umat Islam menghadapi kelemahan dari dalam berkait dengan kaedah menerima maklumat yang perlu ditapis terlebih dahulu dan bagaimana mahu menghadapi musuh dalaman iaitu golongan munafiq serta menghadapi musuh luar yang licik dan bijak mengambil kesempatan sehinggalah kita (Islam) berjaya mengalahkan mereka dan memancarkan cahaya Islam sehingga mereka menjadi anggota Islam yang setia dan teguh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan