Sabtu, 20 April 2013

Sunnah Perjuangan Dalam Tafsir Surah Al Fiil

Al-Fiil yang bermakna "gajah", bersempena dengan pasukan bergajah dalam perancangan jahat untuk menyerang Kaabah BaitiLlah Haram. Perancangan ini telah dibuat oleh seorang pemimpin Habsyah yang bernama Abrahah. Peristiwa ini diwahyukan oleh Allah kepada Nabi kita Muhammad S.A.W ketika di Makkah sebagai mukjizat yang sebenar dari Allah Taala.

"Tidakkah engkau tahu, bagaimana Tuhanmu memperbuat terhadap orang-orang yang mempunyai gajah?"

"Tidakkah Dia menjadikan tipu daya mereka sia-sia."

"Dan Dia (Allah) mengirim kepada mereka burung yang berbondong-bondong."

 "Yang melempar mereka dengan batu dan tanah yang keras."

 "Lalu Allah menjadikan mereka seperti daun yang dimakan ulat."

Berdasarkan ayat di atas, Rasulullah S.A.W menerima wahyu daripada Allah tentang peristiwa ini yang menandakan kebesaran dan kekuasaan Allah. Peristiwanya dapat dilihat oleh sebahagian daripada penduduk Quraish yang hadir bersama-sama Rasulullah S.A.W dan diketuai oleh penduduk Makkah. Kebiasaannya ayat yang diturunkan di Makkah menyatakan perkara yang berhubung dengan akidah.

Kisah ini memberi penekanan untuk menguatkan akidah, kerana orang yang yakin menegakkan agama Allah, jangan bimbang dan jangan takut. Dan janganlah juga menjadi seperti orang-orang musyrikin Makkah seperti firman Allah :

"Dan mereka (yang kafir) berkata; Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang). Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah Kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur)." - Surah al Qasas:57

Ia seolah-olahnya mereka yang menuturkan, "Kalau kita ikut Islam, kita akan diserang oleh kuasa-kuasa besar dunia. Macam mana kita hendak lawan kerana kita tiada apa-apa. Oleh kerana itu, jangan kita ikut Islam. Kita juga perlu ikut dunia lain, kehendak orang ramai, jika tidak dunia akan mengepung kita."

Percakapan ini biasa dituturkan oleh orang musyrikin di zaman Rasulullah S.A.W. Sesungguhnya tidak layak orang Islam bercakap-cakap seperti ini kerana orang Islam itu mesti yakin dan percaya kepada Allah, kepada kekuasaanNya juga kebesaran-Nya.

Peristiwa serangan bergajah ini telah dikisahkan oleh para ulama di dalam kitab-kitab Tafsir, Hadis dan Sirah. Di antaranya ialah Imam al Qurtubi yang menyebut di dalam kitab tafsirnya. Rentetan peristiwa ini bermula dengan seorang gabenor Habsyah di Yaman bernama Abrahah al Ashram. Yaman menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Habsyah pada zaman dahulu dan orang yang menjadi wakil Raja Habsyah di situ adalah Abrahah al Ashram. Lalu Abrahah membina sebuah gereja yang dinamakan "al Qulais" yang didirikan di Sana'a. Gereja itu cantik hingga tidak ada tandingannya pada zaman itu.

Abrahah menulis kepada Najasyi, Raja Habsyah dengan memberitahu bahawa dia telah membina sebuah gereja yang cantik, belum pernah dibina oleh orang lain. Tujuannya adalah mahu memalingkan orang-orang Arab daripada pergi menunaikan haji di Makkah kepada melawat ke gereja yang dinamakannya al-Qulais.

Kaabah telah menjadi tempat kunjungan orang-orang Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. Setelah Kaabah didirikan oleh Nabi Ibrahim, Kaabah menjadi tempat ibadat. Kemudian dalam beberapa tempoh yang panjang, orang Arab mula menyembah berhala. Walaupun mereka menyembah berhala, tetapi mereka tetap memuji dan memuja Kaabah. Mereka menunaikan haji pada tiap-tiap tahun, di mana ibadat haji merupukan ibadat yang telah dilakukan sebelum kedatangan Islam, kemudian dinyatakan oleh Islam dan diperbetulkan mengikut syariat Allah.

Orang-orang Arab masih tetap mengunjungi Kaabah. Abrahah membuat pengisytiharan bahawa dia tidak mahu orang-orang Arab mengunjungi Kaabah tetapi mengunjungi al Qulais. Apabila mendengar berita demikian, orang-orang Arab yang terlalu memuja Kaabah menjadi marah. Tiba-tiba seorang Arab dari kabilah "an Nasah" pergi ke Yaman, datang ke gereja al Qulais, lalu membuang najis di situ. Selepas itu, dia melarikan diri.

Setelah Abrahah mengetahui orang yang membuat perkara ini adalah seorang Arab, dia telah mengambil satu tindakan berani mengikut hawa nafsu dengan menyediakan satu kelengkapan untuk bermusafir ke Makkah bertujuan hendak meruntuhkan Kaabah, BaitilLah Haram yang telah didirikan oleh Nabi Ibrahim A.S. Dia bersumpah bahawa dia wajib pergi Baitillah dan meruntuhkannya.

Dalam angkatan tenteranya ada seekor gajah yang digunakan sebagai kenderaan. Mengikut sesetengah ulama seekor gajah, sebahagian ulama lain pula berpendapat bukan seekor, tetapi lapan ekor gajah menyertai pasukan Abrahah. Namun begitu mengikut kebanyakan ulama, jumlah gajah tersebut hanya seekor sahaja. Inilah keterangan yang lebih tepat pada pandangan mereka bahawa Abrahah bersama seekor gajah dan turut diiringi anggota tenteranya menuju ke Makkah.

Apabila berita ini sampai ke pengetahuan orang-orang Arab bahawa Abrahah hendak meruntuhkan Kaabah, maka beberapa kabilah bertindak membentuk beberapa pasukan untuk menyerang Abrahah bertujuan untuk menghalangnya daripada sampai ke Makkah. Di utara sebuah kabilah Zu Nahar, merupakan satu kabilah Arab di Yaman. Mereka mengerahkan kaumnya membentuk satu pasukan, untuk menyerang Abrahah. Namun, hanya dengan kekuatan 1% sahaja tentera-tentera Abrahah dapat mengalahkan mereka.

Beberapa kabilah lain turut menyerang pasukan Abrahah, tetapi masih tidakmampu mengalahkan mereka, bahkan ketua-ketua kabilah ini telah ditawan oleh tentera Abrahah. Terdapat juga di kalangan orang Arab yang sanggup menjadi pemandu jalan kepada Abrahah. Apabila Abrahah menang, sudah tentu dia juga ikut menang. Biarpun apa yang dimenangi itu salah. Penunjuk jalan ini dikenali sebagai "Abu Ghiral". Abu Ghiral menjadi penunjuk jalan kepada Abrahah menuju ke Makkah. Setelah Abu Ghiral meninggal dunia, kuburnya direjam oleh orang Arab. Orang Arab di zaman jahiliyah yang menunaikan haji bukan sahaja melontar jamrah, bahkan juga melontar kubur Abu Ghiral.

Abrahah meneruskan perjalanan sehingga sampai ke pinggir Makkah dan merampas beberapa ekor unta. Mengikut riwayat 200 ekor unta milik Abdul Mutalib, datuk Rasulullah S.A.W. Pada masa itu, Abdul Mutalib menjadi pemimpin Makkah. Abrahah telah menghantar utusannya menemui pemimpin-pemimpin Makkah memberitahu tujuan kedatangan mereka bukan untuk membunuh orang, tetapi untuk meruntuhkan Kaabah, kerana dendam gereja mereka yang bernama al Qulais telah dikotorkan oleh orang Arab.

Abdul Mutalib datang bersama-sama rombongan yang dianggotai pemimpin-pemimpin Arab menemui Abrahah. Setelah berjumpa, Abrahah bertanya apa yang dikehendaki. Abdul Mutalib menjawab, "Aku hanya minta kamu membebaskan 200 ekor unta yang kamu rampas."

Abrahah tercengang lalu bertanya, "Kenapa kamu sayangkan unta tetapi tidak sayang kepada Kaabah yang kamu puja. Kamu hanya minta unta, terlalu senang untuk kami berikan. Kamu hanya minta dikembalikan unta kamu. Kenapa kamu tidak menahan kami yang mahu meruntuhkan Kaabah."

Abdul Mutalib menjawab tegas, "Unta yang kamu rampas itu kepunyaanku sedangkan Kaabah itu ada pemiliknya (Tuhan). Allah adalah pemiliknya dan Allah akan menjaganya. Aku hanya orang yang beribadat kepada Kaabah. Urusan menjaga Kaabah terserah kepada pemiliknya dan bukan urusanku."

Unta Abdul Mutalib dipulangkan. Setelah dipulangkan, Abdul Mutalib dan pengikut-pengikutnya penduduk Makkah pulang dan mereka menyembunyikan diri di atas bukit kerana takut kepada tentera Abrahah. Sudah tentu ada di antara mereka yang ganas. Mereka menyembunyikan diri di sana sambil memerhatikan tindakan tentera Abrahah ke atas Kaabah. Mengikut setengah riwayat, apabila Abrahah sampai di Kaabah, seorang penduduk Makkah membisikkan ke telinga gajah dengan berkata, "Jangan kamu robohkan Kaabah. Lebih baik kamu balik kerana Kaabah adalah rumah Allah. Yang menjaganya juga Allah."

Allah Taala yang memeliharanya dan Allah Taala juga yang menjaganya. Salah satu perkara yang menakjubkan adalah bala tentera Allah itu ada yang taat dan ada yang tidak taat. Kadang-kadang bala tentera binatang menjadi bala tentera Allah Taala yang lebih taat kepada Allah berbanding manusia yang mempunyai akal fikiran. Apabila gajah itu dihalakan ke Kaabah, ia pusing ke belakang, duduk dan tidak mahu berjalan, biarpun dipukul teruk. Apabila berpusing ke belakang (arah lain), ia berjalan dan berlari. Apabila dihala ke Syam ia berjalan, dihala ke Yaman ia berjalan, tetapi apabila di hala ke Kaabah semula ia tidak mahu berjalan.

Saat yang cemas ini mengikut riwayatnya, Abdul Mutalib telah bermunajat dan berdoa kepada Allah Taala. Di antara doa yang dibacakan oleh Abdul Mutalib yang bermaksu, "Wahai Tuhan! Sesungguhnya hambamu (Abrahah) telah mencegah dari kalangan hambaMu yang lain dari menunaikan ibadat di Baitullah tanah sucimu. Maka tegahkanlah mereka. Jangan jadikan mereka itu menang dan jadikanlah perancangan mereka suatu yang mustahil. Jika mereka masuk ke tanah haram, maka urusannya terserah padaMu, wahai Tuhan-ku."

Mengikut setengah riwayat lain, Abdul Mutalib memegang halqah pintu Kaabah dan terus berkata,"Wahai Tuhanku, aku tidak berharap kepada mereka melainkan kepadaMu. Wahai Tuhanku, halanglah mereka dengan peliharaanMu. Wahai Tuhanku, sesungguhnya musuh BaitiLlah datang menceroboh kepadaMu. Sesungguhnya tiada siapa yang dapat mengalahkan kekuasaanMu."

Masyarakat Arab pada waktu itu merasakan kehebatan tentera-tentera bergajah milik Abrahah kerana mereka boleh melakukan apa sahaja dengan kekuatan tentera seperti itu, sedangkan orang Arab pada masa itu tidak ada gajah. Namun, tipu daya yang dilakukan Abrahah dan pengikutnya membina al Qulais dan merancang untuk meruntuhkan Kaabah, menjadi satu kesesatan yang kemudiannya dihapuskan oleh Allah Taala. Allah mengutuskan kepada mereka rombongan burung, yang datang berkawan, rombongan demi rombongan.

Mengikut Said bin Jubair, penghulu para tabi'en, burung ini adalah sejenis burung yang tidak dikenali. Tidak pernah dilihat di bumi. Sesetengah ulama berkata ia seperti kelawar dan pelbagai gambaran. Perbincangan mengenai jenis burung ini menjadi khilaf di kalangan ulama. Pendapat yang paling baik adalah burung ini adalah burung khas yang dihantar oleh Allah. Allah mengutus mereka burung yang berombongan. Burung-burung ini melontarkan kepada mereka dengan batu yang dibakar hangus. Setiap seekor burung membawa tiga biji batu, satu di paruh dan dua di kaki.

Sebahagian ulama berkata, batu ini telah dimasak di dalam api neraka jahannam dan pada setiap batu telah ditentukan nama siapakah sasarannya. Allah sudah menentukan nama-nama pada batu-batu yang dibawa oleh burung untuk mempertahankan Kaabah. Mereka dilontar dengan batu-batu yang dibakar hangus. Hal ini sebagaimana yang dinaqalkan di dalam kitab"As Sihah", batu-batu tersebut dibakar di dalam neraka jahanam, yang ditentukan namanya oleh Allah dan yang ditentukan sasarannya oleh Allah.

Allah Taala menentukan nama pada setiap batu sebagaimana azab yang juga dikenakan Allah kepada kaum Luth A.S :

"Maka Kami jadikan negeri kaum Luth itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar." - Surah al Hijr:74

Maka jadilah mereka seperti pohon-pohon kayu yang dimakan ulat. Apabila jasad mereka terkena batu, tiba-tiba daging, kulit dan tulang mereka menjadi menggelupas, reput, gugur dan luruh seperti pohon-pohon yang gugur. Inilah dahsyatnya hukuman Allah Taala kepada "ashabul fil", dan mengikut riwayat gajah selamat kerana dia tidak mahu menyerang Kaabah. Yang tidak selamatnya adalah manusia yang mempunyai perancangan jahat untuk menyerang BaitiLlah Haram.

Peristiwa ini berlaku menurut kadar tempoh 50 tahun sebelum kelahiran Baginda Nabi Muhammad S.A.W, dan tahun 570 M iaitu selepas zaman Nabi Isa A.S diangkat ke langit. Selepas itu, dibangkitkan pula Nabi Muhammad S.A.W, maka disebut bahawa Nabi Muhammad S.A.W dilahirkan pada bulan Rabiul Awal tahun gajah. Maksud tahun gajah ialah kurun peristiwa bersejarah apabila tentera bergajah menyerang Kaabah dimusnahkan Allah.

Tanah haram mempunyai keistimewaan yang diberi oleh Allah Taala. Kita tidak boleh memburu binatang dan mencabut pokok-pokok kecuali yang digunakan sebagai sayuran. Tanah-tanah dan batu-batu juga tidak boleh diambil bawa balik kerana ia merupakan kawasan larangan iaitu kawasan yang ditentukan Allah Taala. Jika ada yang terbawa balik, perlu dihantar kembali ke sana.

Bawalah balik air zam-zam, boleh diminum dan ia juga merupakan anugerah Allah kepada umat manusia. Jika kita minum supaya disembuhkan dari penyakit, maka Allah Taala akan menyembuh penyakit. Jika diminum kerana untuk keberkatan, kekuatan dan kecergasan, maka akan dikurniakan Allah Taala nikmat-nikmat tersebut, kerana Nabi S.A.W bersabda (maksudnya),"...Kerana air zam zam itu dikurnia Allah untuk ia diminum".

Kita wajib hormati tanah yang diharamkan oleh Allah untuk kita melakukan perkara yang dilarang oleh Allah dan dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W, yang mesti dipelihara seperti kehormatan darah, maruah di dalam kawasan tanah haram, mengikut batas-batas yang ditentukan Allah Taala. Tanah haram ini dipelihara oleh Allah. Selagi orang Islam mampu menjaga, selagi itulah orang Islam diberi amanah untuk menjaganya.

Apabila manusia tidak memeliharanya, tidak berupaya menjaganya, maka Allah menugaskan bala tenteranya dari kalangan malaikat, binatang untuk memelihara tanah haram. Allah Taala membuktikan kekuasaanNya ketika kedatangan Abrahah dengan menghantar burung menyerang Abrahah sehingga Abrahah dan pengikut-pengikutnya dibinasakan Allah dan Allah membuktikan ketika peristiwa kejatuhan Makkah.

Pertarungan di antara Ibnu Su'ud dan Ibnu Rasyid Syarif Husain. Pada saat yang cemas ini, orang yang bertanggungjawab menjaga Makkah telah membawa orang bukan Islam ke Makkah. Dia membawa konsul Inggeris ke tanah haram dengan tujuan untuk mendapatkan senjata daripada Inggeris dengan niat hendak mempertahankan diri dan bukannya mempertahankan tanah Arab.

Kemasukan orang kafir atau orang putih ke tanah haram sekitar tahun 1920-an menyebabkan orang Islam pada masa itu tidak berupaya mempertahankan tanah haram kerana pemimpinnya tidak betul. Maka, ketika kereta yang membawa orang bukan Islam sampai di Jarwal, iaitu sempadan tanah haram, tiba-tiba berduyun-duyun keluar anjing dari bukit Makkah meluru memburu kereta yang membawa orang bukan Islam. Mereka masih berdegil biarpun masih dikawal oleh askar. Biarpun mereka balik dengan selamat, tetapi peristiwa ini suatu yang menakjubkan berlaku di Kaabah dan di Makkah. Tidak berapa lama kemudian pemimpin itu dijatuhkan Allah Taala dan ditukar pemimpin lain.

Disebut juga di dalam hadis sahih, ketika berlakunya fitnah dajjal, di akhir zaman apabila dunia dalam kesempitan, orang-orang beriman dalam keadaan lemah, dajjal membawa seruannya mengajak manusia supaya mengakui dajjal Tuhan dan dia boleh memberi apa sahaja yang diminta kepada sesiapa yang mengakui ketuhanan-nya dengan menggunakan sihir, perkara luar biasa yang diizinkan Allah kepada dajjal untuk menguji orang yang beriman, dan dajjal menyesatkan ramai manusia.

Dajjal boleh masuk ke semua negeri kecuali Makkah dan Madinah kerana dua tempat ini dipelihara oleh Allah Taala. Walaupun tidak ada manusia yang sanggup memelihara dan mengawalnya, Allah Taala mempunyai bala tentera yang ramai untuk mengawalnya sama ada tanah haram Makkah mahupun Madinah.

Orang kafir khususnya Yahudi mempunyai perancangan mahu menakluk tanah haram, kerana mereka juga mengaku tanah haram tanah yang mulia tempat Nabi-Nabi dan Rasul kepercayaan mereka. Mereka hendak merampas, tetapi Allah tidak mengizinkan. Jika tiada manusia yang menjaganya, akan ada tentera Allah yang memeliharanya. Pernah terjadi satu peristiwa tanah haram hendak dicerobohi oleh dua orang Kristian yang ingin mencuri jasad Rasulullah S.A.W di dalam kubur. Mereka tahu jasad Rasulullah tidak hancur dan tidak dimakan tanah. Sesungguhnya orang Yahudi dan Kristian tahu akan hal ini.

Allah menjaga dari perbuatan mereka. Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Nuruddin Mahmud Zinki, bapa saudara kepada Sultan Salehuddin al Ayubi. Pada zaman itu, orang Islam lemah dan pada zaman itu juga orang Kristian berani untuk cuba mencuri jasad Rasulullah S.A.W. Allah mengurniakan kepada Sultan Mahmud Zinki mimpi berjumpa Rasulullah S.A.W, dan Rasulullah berkata kepadanya, "Wahai Mahmud! Selamatkanlah aku kerana dua orang mahu melakukan kejahatan kepadaku."

Sultan Mahmud Zinki seorang yang alim, tinggi ilmu agama dan banyak membaca tafsiran hadis-hadis Rasulullah S.A.W serta mengetahui ada hadis yang berbunyi (maksudnya), "Sesiapa yang bermimpi bertemu aku di dalam tidur, maka dia betul-betul berjumpaku. Sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku."

Thabit dalam hadis di atas, sesiapa yang bermimpi berjumpa Rasulullah S.A.W maka itulah Rasulullah S.A.W kerana syaitan tidak boleh merupakan dirinya seperti Rasulullah S.A.W. Sultan Mahmud Zinki terus bersolat tahajjud kerana tidak faham maksud mimpinya, kemudian dia tidur dan bermimpi lagi dan sekali lagi beliau bersolat tahajjud. Akhirnya dia memanggil penasihat dan memberitahu berkenaan mimpi itu. Lalu menteri memberi cadangan supaya menyediakan pasukan berkuda secepat mungkin pada malam itu juga dan bertolak ke Madinah. Lalu Sultan Mahmud Zinki bersama bala tenteranya menuju ke Madinah dengan memacu kuda secepat mungkin.

Setelah tiba di Madinah, dia tidak memberitahu kedatangannya kepada gabenor Madinah. Dia terus duduk di Raudhah. Raudhah ialah salah satu tempat antara kubur dan mimbar Rasulullah S.A.W, sabda Baginda S.A.W, "Di antara kuburku dan mimbarku ada salah satu taman dari taman-taman syurga."

Di situlah Sultan Mahmud Zinki duduk beriktikaf tidak tahu hendak buat apa kerana baginda tidak tahu mentakwil mimpi. Akhirnya baginda berbincang dengan menterinya dan menteri memberi pandangan supaya memanggil gabenor Madinah dan mengarahkan beliau membuat pengisytiharan bahawa Sultan Mahmud Zinki telah datang ke Madinah dan baginda mahu memberi hadiah kepada penduduk Madinah. Maka, semua penduduk Madinah datang dan dicatat nama masing-masing.

Kedatangan semua penduduk Madinah diperhatikan satu persatu oleh Sultan Mahmud Zinki dan baginda mendapati tiada satu pun orang yang menyerupai orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W di dalam mimpi. Sultan bertanya kepada gabenor sama ada sudahkah semua penduduk Madinah datang. Gabenor mengatakan bahawa semua penduduk Madinah telah dikerah. Cuma yang tinggal dua orang bukan penduduk Madinah. Mereka datang menziarah dan melakukan ibadat.

Sultan Mahmud Zinki mengarahkan dua orang ini datang menghadap baginda. Apabila kedua-dua orang ini datang, mereka adalah orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W, lalu Sultan Mahmud pergi ke tempat penginapan mereka. Baginda masuk ke dalam rumah yang disewa di atas tanah, berhampiran Masjid Nabawi. Apabila baginda masuk ke dalam bilik, tiada sebarang petunjuk. Setelah berpusing di dalam bilik, baginda mendapati satu keganjilan iaitu almari tempat meletakkan rak-rak kitab berada di tengah-tengah rumah. Kebiasaannya diletakkan di tepi dinding.

Lalu diperintahkan almari diangkat dan disisihkan ke tepi dinding. Setelah dibuat hamparan yang meliputi lantai rumah tersebut, didapati di tengah-tengah rumah itu ada lubang yang digali dihalakan ke kubur Rasulullah S.A.W. Apabila disoal siasat mengapa mereka berbuat begitu, mereka memberitahu bahawa mereka mahu mengambil jasad Rasulullah S.A.W dan dikebumikan di tempat lain supaya orang Islam pergi ke tempat itu. Mungkin mereka ada perancangan lain. 

Zahirnya mereka kelihatan melakukan ibadat tetapi pada waktu malam hari mereka menggali lubang. Tanah yang digali diletakkan di dalam "kirbah". Kirbah adalah belulang kambing yang biasanya dibuat tempat isi air. Tanah itu dipikul dan dibuang di luar Madinah dan orang ramai menyangka mereka membawa air.

Akhirnya kedua-dua mereka itu dijatuhi hukuman pancung di "Babul Salam" mengikut perintah Sultan Mahmud Zinki dan kedua-dua mayat mereka dibakar. Kemudian Sultan Mahmud Zinki mengarahkan kubur Rasulullah S.A.W dipagar bukan sahaja di atas tanah bahkan di dalam tanah. Digali kelilingnya seperti tembok dan diletakkan pagar yang kukuh dan dikawal dengan rapi. Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Zinki pada abad 13 M.

Peristiwa ini benar-benar berlaku dan menunjukkan bukti Allah menjaga Nabi Muhammad S.A.W pada masa hidup dan pada masa wafat. Ini merupakan sebahagian tanda kenabian yang wajib kita percaya bahawa Baginda S.A.W adalah benar seorang Nabi dan Rasul Allah. Rasul dari Allah dan Islam yang diserunya adalah Islam daripada Allah Taala.

Dalam surah al Fil ini juga menunjukkan kebenaran kenabian. Kebenaran kenabian Muhammad S.A.W dan agama Islam dijaga oleh Allah Taala sehingga hari kiamat. Islam dijamin oleh Allah sampai hari kiamat. Tiada musuh yang boleh mengalahkan umat Isiam kerana Islam daripada Allah. Walaupun umat Islam hari ini lemah, dhaif dan tiada kuasa, ini adalah ujian daripada Allah. Ujian ini adalah supaya orang-orang munafik merasa tiada harapan dan dia tidak bersama dengan saf-saf umat Islam. Lalu dia bersama-sama saf-saf kufur, meninggalkan saf Islam kerana tidak ikhlas, tidak jujur, munafik dan yang mempunyai kepentingan diri sendiri.

Kita tidak mengenali mereka ini kerana kita tidak tahu apa niat yang tersembunyi di hati mereka, maka Allah membuat penapisan dengan perkara-perkara seperti ini. Orang Islam lemah. Orang yang mencari kesempatan akan menyisih dari orang yang lemah. Orang yang lemah ini layak memikul amanah Allah, maka Allah Taala memberi kemenangan kepada Islam, memberi kemenangan kepada orang yang menegakkan agamanya sebagaimana Allah memelihara BaitiLlah Haram dari serangan Abrahah.

Ayat ini menjadi ayat yang sangat penting, menjadi satu surah yang sangat mustahak, menguatkan akidah dan keyakinan kita kepada Allah Taala dan menjadi petanda hikmah yang besar. Allah menurunkan surah al Fil di Makkah ketika Nabi S.A.W ditekan, ditindas dan dianiaya dan juga untuk menguatkan keyakinan Para Sahabat bahawa lambat-laun mereka akan menang jua dengan pertolongan Allah. Apabila tiba pertolongan Allah, maka tiada siapa yang dapat menyekat. Allah Maha Berkuasa dan Maha Perkasa.

Tiada ulasan: