Sabtu, 20 April 2013

Etika Politik Islam Dalam Tafsir Surah Al Saff


Tulisan ini merupakan tafsiran Surah al Saff, sebuah imbasan daripada karangan as Syahid Syed Qutb rahimahuLlah yang berjudul, 'Tafsir Fi Dzilal Al Quran', sebuah tafsiran yang ditulisnya ketika beliau berada di jerjak penjara. Surah al Saff bertujuan memacak dua asas yang begitu jelas disebut di samping isyarat-isyarat lain yang turut disentuh sekitarnya. Iaitu :
  • Bertujuan memacakkan keyakinan di dalam diri setiap Muslim bahawa agama Islam adalah satu agama dan manhaj Ilahi yang terakhir untuk manusia. Ia pula telah didahului sebelumnya oleh beberapa bentuk manhaj yang bersesuaian dengan tahap-tahap perkembangan sejarah dan pengalaman kehidupan manusia yang dapat membina asas yang teguh untuk agama terakhir ini. Justeru surah ini telah menyebut tentang risalah Nabi Musa A.S dan Nabi Isa A.s bersama kaumnya yang menyakiti dan menyeleweng daripadanya yang menamatkan kelayakan mereka sebagai pemegang amanah risalah Allah di muka bumi ini. Takdir Allah menentukan bahawa perjalanan risalah-Nya sepanjang zaman akhirnya berhenti dan terbina teguh di tangan Nabi Muhammad yang mulia.
  • Di atas asas yang pertama ini, terbina pula asas kedua yang ditekankan oleh surah ini iaitu terbentuknya rasa tanggung jawab dan taklif yang berat yang perlu dipikul oleh umat Islam yang menerima amanah agung tersebut daripada umat-umat yang terdahulu. Ia lantas mendorong mereka untuk memasang niat yang benar dan ikhlas kepada perjuangan menegakkan amanah ini. Ia tidak ragu-ragu lagi bahkan menempelak sikap nifaq di dalam perjuangan.

Inilah dua asas utama yang merangkum segala isi di dalam surah al Saff. Ia termasuklah kecaman terhadap golongan yang menentang agama terakhir ini yang berusaha bermatian untuk memadamkan cahayanya. Maka adalah jelas di sisi seorang Muslim bahawa agamanya adalah agama Allah yang terakhir. Dia terbeban dengan amanah besar ini. Dia diwajibkan berjihad demi agamanya itu. Dia bahkan, tidak boleh teragak-agak lagi. Akhlaknya adalah benar dan ikhlas. Tidak boleh berkata apa yang dia sendiri tidak buat. Kata dan perbuatannya adalah sama. Zahir dan batinnya adalah sama. Dirinya adalah dirinya sepanjang masa tanpa nifaq dan ragu-ragu. Dia konsisten dalam perjuangan dan keikhlasannya. Itulah akhlak yang agung.



Surah al Saff yang isi besarnya adalah bertujuan memperteguhkan konsep amanah agung yang dibebankan ke atas umat Islam ini telah dimulai dengan perkhabaran tentang kumat-kamit tasbih dan kalimat-kalimat pujian dan penyucian oleh seluruh makhluk Allah di langit dan bumi terhadapNya daripada sebarang kekurangan. Ia adalah satu isyarat yang mengilhamkan rasa kebersamaan di sisi umat Islam bahawa risalah Islam yang dipikulnya itu adalah satu amanah kewujudan seluruhnya. Ia adalah satu perjuangan menegakkan akidah isi alam seluruhnya dan kemenangannya adalah kemenangan buat seluruh alam yang tunduk dan menuju kepada Allah, Tuhan sekalian alam.



Kemudian Allah terus mengutuk keras terhadap satu kejadian yang berlaku di kalangan satu kelompok umat Islam yang dibenci-Nya iaitu kejadian menolak untuk melakukan perkara yang mereka katakan. Mengikut satu riwayat oleh Ali bin Talhah daripada Ibnu Abbas bahawa segolongan orang beriman sebelum diturunkan kefardhuan berjihad telah berangan-angan dan berkata, jikalah Allah tunjukkan kepada mereka sebaik-baik amalan lalu mereka akan segera beramal dengannya.Allah lalu mengkhabarkan Nabi-Nya bahawa amal yang terbaik adalah beriman dengan-Nya tanpa ragu-ragu dan berjihad menentang musuh-Nya. Tatkala diturunkan ayat jihad, segolongan mereka menjadi keberatan dan membencinya. Allah memurkai sikap mereka lalu menurunkan ayat di atas.



Ayat ini walaupun diturunkan di dalam isu jihad, tetapi ia bukan khusus bertumpu kepada semata-mata soal jihad, bahkan ia meluas dan merangkum ke semua aspek dan lapangan kerja umat Islam bahawa Allah membenci dan memurkai sifat munafik yang merosakkan binaan peribadi muslim yang mulia iaitu sifat benar di dalam akhlak dan tingkah lakunya dan sentiasa sama di antara luar dan dalamnya.Justeru ayat pertama bermula dengan kecaman terhadap satu sikap yang keji iaitu berkata-kata terhadap perkara yang tidak dilakukan. Ayat kedua kemudiannya menambahkan kepanasan kecaman itu dengan membayangkan kemurkaan-Nya dengan kalimah 'al maqt' yang bermaksud kemarahan yang melampau.



Ayat seterusnya merujuk kepada kejadian asal yang dimurkai iaitu perihal menolak jihad di jalan Allah. Ada tiga kesinambungan yang disebutkan di dalam ayat perang itu. Ia bukan hanya perang, bahkan hendaklah di jalan Allah. Ia pula hendaklah dalam satu saf dan jamaah. Ia juga mestilah teguh, penuh konsisten dan istiqamah. Tiga ikatan yang bersambungan inilah yang dimaksudkan dengan jihad yang disukai oleh Allah.



Islam Membina Umat



Sesungguhnya Al Quran datang untuk membina satu umat. Ia dibina untuk memikul amanat ugamanya di muka bumi. Justeru ia membina peribadi dan peribadi itu dibina di dalam jamaah. Pembinaan itu pula berlaku secara amalan dan praktikal dalam satu masa. Maka Islam tidak tergambar kecuali di dalam satu ruang himpunan yang tersusun, memiliki ikatan, peraturan dan tujuan iaitu membina manhaj Ilahi di dalam diri dan masyarakat di muka bumi. Ia membina sebuah masyarakat yang hidup, bergerak, bekerja dan menghasil produk kehidupan yang membangunkan muka bumi di dalam hudud dan lingkungan manhaj Ilahi.



Islam, di sebalik kesungguhannya membina peribadi, bukanlah agama untuk golongan yang suka menyendiri dan lari daripada masyarakatnya. Sebaliknya, Islam datang untuk mentadbir kehidupan dan menguruskannya. Maka pembinaan Islam terhadap diri dan peribadi adalah menumpu kepada asas bahawa mereka mesti hidup di dalam masyarakat dan bersama masyarakat menuju Allah dan manhaj-Nya.



Itulah pembinaan di hari pertama dakwah al Rasul bermula. Ia membina sebuah jamaah sahabat yang dipimpin oleh ketaatan dan kepatuhan kepada ketua dan akhlak jamaah. Ia terbina lebih awal sebelum terbinanya negara Islam di kota Madinah, bahkan ia menjadi wasilah ke arah pembinaan negara Islam yang pertama itu.



Tiga Pemerhatian



Ada tiga pemerhatian yang perlu diketengahkan daripada ayat ketiga yang menyebut mengenai al jihad; Perihal diri manusia yang kadang-kadang dilanda saat-saat kelemahan. Tiada yang dapat menyelamatkannya selain pertolongan Allah melalui tazkirah, taujihat dan tarbiyah yang berterusan. 

  • Pemerhatian Pertama

Mengikut riwayat, mereka adalah segolongan Muhajirin yang berangan-angan jikalau Allah memfardhukan jihad perang semasa awal dakwah di kota Makkah, pasti mereka akan menyahutnya. Tetapi sebaik Allah menurunkan kefardhuan jihad, sebahagian mereka berundur ke belakang. Atau, mereka adalah golongan Ansar yang berangan untuk mengetahui dan melakukan sebaik-baik amalan. Tetapi apabila dikhabarkan bahawa ia adalah jihad, sebahagian mereka membencinya pula.



Mereka adalah Para Sahabat yang di sebalik kekuatan, turut terserlah kelemahan diri. Justeru adalah jelas keperluan memahami diri dan kelemahannya agar difahami betapa pentingnya pemerkasaan, pengukuhan, taujihat dan tarbiyah yang berterusan terhadap diri. Perihal kesukaan Allah terhadap hamba-hambaNya yang berjuang secara berjamaah di jalanNya. Arahan ini bagaikan satu penawar untuk mencergaskan diri orang Mukmin untuk mara berjihad tanpa rasa lemah dan malas. 

  • Pemerhatian Kedua

Sesungguhnya Islam tidak menyukai perang tetapi ia tetap mem-fardhukannya kerana keadaan yang memaksanya dan matlamat kedatangannya yang agung. Dakwah ini walaupun serasi dan menyambut segala keperluan dan kehendak fitrah kemanusiaan yang sejahtera, tetapi ia memerlukan kekuatan yang hebat untuk diterima diri manusia yang terpaksa bertembung dan berlawan dengan kelemahan dan kejahilan diri di samping kedegilan untuk terus mengekalkan adat dan warisan lama yang sesat.



Ia turut pula berhadapan kekuatan musuh yang berhimpun untuk menentangnya demi mempertahankan kelebihan-kelebihan yang dimiliki hasil kemenangan jahiliyah di dalam kehidupan yang menolak agama dan fitrah. Justeru amat jelas betapa gerombolan iman memerlukan kekuatan yang akan menjaga dan mengawalnya daripada serangan, bahkan mengalahkan tentera jahiliyah tersebut. Bahkan jelas sekali, di saat tiada lagi wasilah selain perang, maka jihad adalah kefardhuan yang tidak boleh dinafikan lagi haknya. 


  • Pemerhatian Ketiga

Perihal keadaan jihad yang disukai Allah iaitu dalam keadaan tersusun dan bersaf bagaikan sebuah bangunan yang teguh. Ia adalah kewajiban fardhiah dalam bentuk jama'ie dalam jamaah yang tersusun. Ini kerana musuh yang memerangi Islam bergerak dalam kekuatan jamaah. Maka begitulah kekuatan Islam mestilah kekuatan yang sama dan menandingi kekuatan musuh. Kemudian, tabiat agama juga menuntut kemenangan secara jama'ie kerana ia membina masyarakat dalam proses pemerintahan jamaie dan tunduk kepadanya. Islam tidak terbina di atas kekuatan individu dan pemerintahan individu. Ia adalah gambaran yang jauh daripada tabiat agama Islam.



Tasawwur yang tergambar daripada sebuah binaan yang teguh yang di-tamsilkan oleh ayat ini melukiskan untuk umat Islam gambaran tabiat agama mereka, menerangkan batu tanda perjalanan dan tuntutan kesatuan dan kerja sama yang perlu diterapkan oleh mereka di dalam kehidupan Islami. Mereka mestilah sering meneguhkan, menampal kecacatan dan menyempurnakan binaan.



"Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu? Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik – derhaka"



"Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: Ini ialah sihir yang jelas nyata!" 



Dua ayat ini menggambarkan kisah dan peringkat perjalanan manhaj Ilahi yang penuh onak di dalam risalah-risalah sebelum kedatangan Islam sebagai manhaj Ilahi yang terakhir.



Pengkhianatan Bani Israel terhadap Nabi Musa AS adalah pelbagai dan berpanjangan. Jihad Baginda pula di dalam membetulkan dan memimpin mereka adalah sebuah jihad yang begitu sukar dan memenatkan. Kisah-kisah Bani Israel yang berupa pengkhiatan yang pelbagai dan jihad yang sukar itu disebut begitu banyak di dalam Al Quran. Sila baca sejarah mereka di dalam al Quran.



Ayat di atas menyebut mengenai kata-kata kecaman Nabi Musa terhadap tindakan mereka, tetapi dalam nada penuh kelembutan. Malangnya, di sebalik segala usaha dan cara yang dikorbankan demi umatnya, Bani Israel terus menyeleweng. Lalu Allah menambahkan lagi penyelewengan mereka. Hati mereka diselewengkan sehingga tidak lagi layak untuk memikul amanah ugama ini dek kesesatan mereka yang nyata. Maka berakhirlah peranan agung mereka di muka bumi.



Kemudian datang pula Nabi Isa AS dengan perkhabaran bahawa baginda adalah utusan Allah, bukan tuhan atau anak tuhan dan bukan satu dalam tiga. Ia manhaj Ilahi yang membenarkan ajaran Nabi Musa dan membawa khabar gembira mengenai kelahiran rasul agung yang akan datang selepasnya bernama Ahmad.



Ia satu bentuk yang melukiskan talian dakwah Ilahi yang saling mengikat dan serah menyerah amanat itu dari satu risalah kepada risalah yang datang selepasnya. Ia manhaj Ilahi yang satu pada asasnya dan pelbagai pada bentuknya berdasarkan persediaan dan pengalaman manusia di zamannya yang berkembang sehingga akalnya menjadi masak dan matang untuk sebuah syariat dan manhaj Allah yang sempurna.



Perkhabaran gembira oleh Nabi Isa terhadap kedatangan Nabi Muhammad adalah thabit dan pasti melalui nas Al Quran ini. Ia tidak terikat dan merujuk kepada versi kitab-kitab Injil yang berada di tangan penganut Kristian hari ini samada wujud sebutan mengenai kedatangannya atau tidak. Ini kerana sejarah penulisan kitab Injil yang penuh kekeliruan itu tidak melayakkannya untuk menjadi rujukan dan pemutus di dalam urusan ini. Al Quran pula, ketuanannya sebagai risalah Allah yang asli adalah jelas dan tiada syak lagi. Justeru segala isinya adalah benar.



"Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim."



"Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)."






"Dia lah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad S.A.W) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya"
Tampak daripada kehadiran ayat-ayat di atas selepas sebutan kisah Bani Israel bahawa ianya ditumpukan kepada mereka yang menunggu, tetapi kemudiannya menolak secara keras berita gembira kedatangan Rasul akhir zaman di samping penentangan dan tipu daya berterusan mereka demi menyekat perkembangan dakwah Islam.



Bani Israel telah membina sikap memusuhi dakwah baru ini dengan merancang segala usaha jahat dan memeranginya dengan pelbagai cara. Ia terus berlangsung sejak awal kisah dakwah sehinggalah hari ini tanpa pernah berhenti walau seketika. Mereka menuduhnya sebagai perbuatan sihir yang nyata, tuduhan yang sama dilakukan oleh golongan musyrikin tidak berkitab di kota Makkah.



Mereka memeranginya dengan menanam bibit-bibit fitnah dan percakaran sesama sendiri di dalam kem tentera Muslimin di Madinah. Mereka bekerja sama dengan golongan munafiqin, bahkan dengan golongan musyrikin juga dengan mengkhianati janji dan menyertai tentera musyrikin yang datang memerangi negara mereka sendiri sebagaimana berlaku di dalam perang Ahzab.



Mereka mencetuskan dan menyebarkan fitnah ke atas isteri Rasulullah SAW di tangan Abdullah bin Ubai, ke atas Saidina Uthman di tangan Abdullah bin Saba' dan terus menerus memerangi umat Islam dengan cerita-cerita Israeliyatyang dimasukkan ke dalam sumber utama umat Islam. Ia terus berlangsung sehingga abad akhir kini. Gerakan Zionis dan kristianisasi antarabangsa bersatu melakukan tipu daya memerangi Islam. Di Timur, tercetus perang salib yang panjang manakala di Barat mereka memeranginya di Andalus dan akhirnya mereka masuk ke tengah dan menghancurkan kerajaan khilafah yang terakhir di Turki.



Mereka kemudiannay melakukan tuduhan bahawa al Rasul dan dakwahnya adalah sihir. Mereka lalu berusaha keras menikam dan melakukan segala tipu daya untuk membunuh agama Islam dan memadamkan cahayanya. Alangkah memalukan dan alangkah lemahnya mereka di hadapan sebuah agama yang Allah-lah pemiliknya dan penyempurna kepada kesudahannya yang agung. Benarlah janji Allah. Dia menyempurnakan agamaNya di dalam hayat Baginda SAW. Dia membina sebuah jamaah Muslimah yang begitu sempurna yang menayangkan satu gambaran masyarakat agung yang jelas dan hidup untuk generasi selepasnya.



Dia menyempurnakan agama-Nya dan nikmat-Nya ke atas umat Islam. Mereka mencintainya, berjuang di jalannya dan setiap mereka lebih rela dicampak ke dalam api yang panas demi mempertahan dan menikmati keagungan agama-Nya itu. Bagaimanakah digambarkan cahaya Allah mampu dihembus mati oleh hembusan dari mulut-mulut manusia?



Terjadilah takdir dan ketentuan Allah Yang Maha Agung bahawa agama Islam akhirnya memperolehi kemenangan di atas muka bumi ini. Persaksian Allah adalah jelas bahawa agama ini adalah petunjuk dan agama yang benar (al huda dan din al haq). Ia adalah kata putus. Ia hujah sepanjang zaman yang menolak seluruh agama lain ke hujung yang kelam.



Agama-agama langit telah diselewengkan dan jika ada secalit yang kekal, maka ia sudah tidak sesuai lagi untuk memandu kehidupan manusia baru yang telah mencapai puncak kematangan. Ia syariat lama yang telah dihakis masanya untuk berperanan.



Ada pun agama-agama berhala yang lain, Islam datang dengan hujah keesaan Allah yang cukup jelas bagai sinaran suria yang menerangi.Adapun secara realitinya pula, telah jelas penyempurnaan Allah terhadap agama dengan kemenangan-kemenangan yang dicapai oleh agamaNya sehingga terus tersebar ke serata alam samada melalui jihad di tanah yang keras atau melalui dakwah yang aman di tanah yang lembut.Bahkan melalui dakwah aman di sebelah Timur, Islam telah dianuti oleh penduduknya berganda-ganda berbanding jumlah penganutnya pada jihadnya yang pertama.



Ayat-ayat di atas hakikatnya telah menjadi pendorong utama kepada umat Islam sepanjang zaman untuk terus memikul amanah yang telah gagal disempurnakan oleh Yahudi dan Nasrani. Ia membina ketenangan dengan janji daripada Allah. Tiadalah mereka selain menjadi alat kepada janji Allah Yang Maha Esa.



"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?"



"Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)"



"(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga Adn. Itulah kemenangan yang besar"




"Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman"



"Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israel beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang"



Di bawah lembayung kisah akidah dan pertentangannya yang berterusan dengan musuh, Al Quran bergema dengan seruan indah ke atas seluruh orang yang beriman kepada satu perniagaan paling menguntungkan di dunia dan akhirat iaitu perniagaan iman kepada Allah dan berjihad di jalan-Nya. Dengan pelbagai keindahan bentuk dan lenggok bahasa yang digunakan, ia jelas bertujuan menetapkan satu seruan yang mesti disahut oleh orang-orang yang beriman. Ia bermula dengan seruan khusus terhadap orang-orang beriman dan disusuli dengan tawaran dalam nada pertanyaan daripada Allah sendiri yang mendorong mereka untuk menyahut seruan itu.



Siapakah yang tidak merindui seruan daripada Allah yang menunjuki kepada sebuah perniagaan yang paling menguntungkan?Kemudian, pertanyaan yang begitu diharapkan jawaban segera itu lantas diperolehi tanpa lengah-lengah, saat seluruh pendengaran orang-orang yang beriman tertumpu kepadanya.



"...Kamu beriman kepada Allah dan RasulNya". Itu debaran pertama dan sesungguhnya mereka telah beriman kepada Allah dan RasulNya itu.



Kemudian debaran kedua yang menjadi topik segera menyusul, "...Dan kamu berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri kamu". Kalimah Allah diulang-ulang agar hati mereka menjadi segar dengan janji tuhan yang agung. Kemudian diikuti dengan janji keelokan dan kebaikan, "...Itu adalah lebih baik untuk kamu jika sekiranya kamu mengetahui".



Allah lalu menambahkan kejelasan maksud kebaikan yang dijanjikan itu. "Dia mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurgaNya yang mengalir...". Sesungguhnya ia adalah benar-benar satu perniagaan yang paling menguntungkan. Hayat yang pendek di dunia ini digantikan dengan kehidupan mewah yang abadi di akhirat nanti.



Tetapi kelebihan Allah amat besar. Dia maha mengetahui bahawa jiwa manusia itu lebih melekat kepada janji yang lebih dekat. Allah lalu menyahut keinginan hambaNya dengan janji yang lebih dekat, iaitu pertolongan daripadaNya dan kemenangan agamaNya yang dekat di dunia ini.



Di sini keuntungan perniagaan mencapai kemuncaknya. Ia hanya mampu datang daripada Allah yang takkan kering khazanahNya yang luas.Sesungguhnya manusia yang beriman yang memahami hakikat iman kepada Allah dan hidup dengan hatinya yang segar, kemudian dia melihat kepada sempitnya dunia dan ajal umurnya sudah pasti tidak mampu hidup walau sesaat tanpa iman yang agung ini. Ia tidak mungkin lagi ragu-ragu untuk berjihad di jalan demi menegakkan akidahnya itu dan menanti janji agung Tuhannya.



Tetapi Allah Maha Mengetahui bahawa jiwa itu kadang-kadang dirundung rasa lemah dan lelah. Semangat boleh menjunam dan rasa ingin selamat kadang-kadang mendorong diri untuk berpuas hati dengan realiti kelemahan yang ada. Justeru Allah menyudahkan surah ini dengan satu seruan baru yang membawa kepada rasa yang baru, tolakan yang baru dan isyarat yang baru.



"Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu pembantu Allah sebagaimana golongan Hawariyyun...", Hawariyyun adalah murid-murid kepada Nabi Isa A.S. Di mana lagi tempat yang lebih tinggi berbanding kedudukan sebagai pembantu Allah?



Inilah janji yang lebih tinggi daripada janji syurga dan kenikmatannya. Jadilah pembantu Allah. Perolehilah kemuliaan besar ini. Pengajaran adalah jelas bahawa seruan di dalam ayat di atas adalah demi membangkitkan jiwa orang-orang yang beriman dengan Allah yang diamanahkan untuk memikul beban dakwah ini agar terus bersedia dan siap siaga di dalam menolong Allah dan agama-Nya.



Pusingan akhir ini turut berakhir dengan janji kemenangan dan sokongan Allah terhadap mereka yang menyahut seruan iman ke atas musuh mereka. Kemenangan akhirnya adalah menjadi milik pembantu Allah yang beriman.

Tiada ulasan: