MUQADDIMAH
Ramadan dan al-Quran satu ikatan yang tersimpul mati. Apabila disebut Ramadan, di samping puasa, kita akan teringatkan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran). Bulan Ramadan bulan yang diturunkan dalamnya al-Quran.
Apa itu al-Quran ?
Al-Quran merupakan kalam Allah berupa Mukjizat yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam Bahasa Arab dan ditulis dalam beberapa mushaf bermula surah al-Fatehah dan berakhir dengan surah al-Nas dan diriwayatkan secara mutawattir serta membacanya merupakan ibadat.
Nama-nama al-Quran (Hakiki) :
1. Al-Quran (Al-Baqarah ayat 185 / Qaf ayat 1 / Al-Qiyamah ayat 17-18)
2. Al-Furqan (Al-Baqarah ayat 185)
3. Al-Kitab (Al-Baqarah ayat 2)
4. Al-Dzikr (Al-Hijr ayat 9)
5. Al-Tanzil (Asy-Syuara ayat 192)
6. Al-Ruh (Al-Qadr ayat 4)
7. Dll...
Nama-nama al-Quran (Sifat) :
1. Nur (Al-Taghobun ayat 8).
2. Huda (Al-Baqarah ayat 2).
3. Syifa' (Yunus ayat 57).
4. Rahmah (Al-'Araf ayat 203).
5. Basyir (Al-Fushilat ayat 4).
Di mana anda ???
Bangun dari tidur anda cari yang mana ???
6. Nadzir (Al-Furqan ayat 1).
7. Mau'izhah (Ali 'Imran ayat 138).
8. Mubarak (Al-Anbiya' ayat 50).
9. Mubin (Al-Naml ayat 1).
10. Dll...
Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w bersabda: “Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”
Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya. Daripada Ibnu Umar r.a berkata: “Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”
SEJARAH RINGKAS PERINGKAT PENURUNAN AL-QURAN
1. Dari Allah ke Al-Lauh Al-Mahfuz
Firman Allah Taala ; “Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.” (Al-Buruj : 21-22).
2. Dari Al-Lauh Al-Mahfuz ke Bait Al-‘Izzah (di langit dunia)
Firman Allah Taala ; (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia Dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak Hari yang ditinggalkan itu pada hari-Hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah : 185)
Firman Allah Taala ; “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).” (Ad-Dukhan : 3)
Firman Allah Taala ; “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (Al-Qadr : 1)
3. Dari Bait Al-‘Izzah kepada Rasulullas s.a.w (selama 22 tahun, 2 bulan 22 hari).
Penurunan di peringkat ini telah berlaku secara beransur-ansur. Al-Quran mula diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. sejak baginda dilantik menjadi Rasulullah s.a.w, (bermula daripada 17hb. Ramadhan tahun 41 kelahiran Rasulullah s.a.w. hinggalah 9hb. Zulhijjah, tahun ke 10 Hijrah. Dalam tempoh tersebut al-Quran dihafal oleh Rasulullah dan para sahabat serta dicatat oleh panitia penulis al-Quran kemudian dikumpulkan pada zaman Sayidina Abu Bakr r.a. dan disempurnakan pada masa Sayidina ‘Uthman r.a.) dan selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam tempoh 23 tahun. 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah al-Munawwarah. dari mula turun wahyu hingga ke akhirnya sepanjang tempoh kenabian.
Firman Allah Taala ; “Dan sesungguhnya al-Quran itu benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam, dibawa turun oleh Ar-Ruhul Amin (Jibril a.s) ke dalam hatimu (Muhammad saw) supaya kamu menjadi salah seorang di antara orang yang memberi peringatan dengan bahasa Arab yang jelas.” (As-Syura ; 192-195).
Firman Allah Taala ; “……mengapakah Al Quran tidak diturunkan kepadanya sekaligus….?” (Kemudian dijawab di dalam ayat itu sendiri) : “….Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu..”. (Al-Furqaan ; 32).
Penurunan secara berperingkat atau beransur-ansur adalah :
1. Untuk menguatkan hati Rasulullah s.a.w.
2. Untuk membantu menyelesaikan masalah umat Islam.
3. Untuk memudahkan umat Islam menghafalnya.
HIKMAH AL-QURAN : DI MANA KITA ?
Allah mewahyukan al-Quran dengan hikmah agar ia menjadi panduan kepada umat manusia dan jin (Islam). Panduan ini akan dapat diperolehi jika kita dapat menghayati al-Quran. Untuk menghayati al-Quran, proses utamanya adalah dengan mentadabbur al-Quran.
(Sumber ; Hadith dari Ibnu Mas'ud r.a dari Nabi s.a.w) ;
1. Al-Quran itu hidangan (hidayah) Allah, maka terimalah hidangan (hidayah) ini dengan kesemampuan kamu.
2. Al-Quran ini tali Allah yang cukup teguh (iaitu memberi apa saja petunjuk).
3. Al-Quran merupakan cahaya Allah yang cukup nyata (tidak ada keraguan padanya).
4. Al-Quran merupakan ubat penyembuh yang amat berguna kepada manusia.
5. Al-Quran merupakan pelindung atau penjaga bagi mereka yang berpegang kepada hukum al-Quran.
6. Al-Quran merupakan mukjizat dan ia suatu perkara yang melepaskan manusia dari kesengsaraan.
7. Pembaca dan pengamalnya akan beroleh pahala.
Jika bicara pahala membacanya :
1. Pahala membaca Al-Quran dalam solat bagi tiap-tiap satu huruf seratus kebajikan.2. Pahala membaca dengan berwuduk di luar solat bagi tiap-tiap satu huruf sepuluh kebajikan.
Cadangan untuk mengkhatam al-Quran 1 juzuk dalam sehari :
1. Sebelum solat subuh - baca 2 muka.
2. Selepas solat subuh - baca 2 muka.
3. Sebelum solat zohor - baca 2 muka.
4. Selepas solat zohot - baca 2 muka.
5. Sebelum solat asar - baca 2 muka.
6. Selepas solat asar - baca 2 muka.
7. Sebelum solat maghrib - baca 2 muka.
8. Selepas solat maghrib - baca 2 muka.
9. Sebelum solat isyak - baca 2 muka.
10. Selepas solat isyak - baca 2 muka.
Cadangan untuk mentadabbur isi kandungan al-Quran :
Ambil masa 5 minit ke 10 minit sehari untuk mendalami ilmu-ilmu yang tersurat dan tersirat dari tiap-tiap ayat yang ditalaqqi.
PENUTUP
Melalui risalah kecil lagi ringkas ini, insyaallah para hadirin yang hadir dan para pembaca yang dihormati semoga sentiasa dalam rahmat Allah adalah diharapkan insyaallah akan dapat menerobos hala tuju yang perlu diberi fokus utama. Sekadar contoh, kisah Luqman al-Hakim dalam surah Luqman ialah surah yang baik untuk ditadabbur, di sana terdapat wasiat yang amat bermakna dan lunak dalam pendidikan anak.
Hadis dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi : "Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana pula orang yang dirinya sendiri mengamalkan dengannya".
Kebanyakkan umat Islam hari ini hanya membaca al-Quran hanya dengan lidah sahaja, tidak lebih dari itu. Tidak salah kea rah itu, namun apa yang lebih penting ialah pengambilan dari sudut manafaat daripada isi kandungan al-Quran yang merupakan sebesar-besar rahmat dan nikmat yang Allah berikan kepada umat manusia.
Daripada Uthman Ibnu Affan r.a dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi : "Sebaik-baik kamu yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain".
Berkata Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin bahawa membaca al-Quran itu sebenarnya dengan penyertaan lidah, akal dan hati.
Peranan lidah ialah membetulkan sebutan huruf dengan tartil.
Peranan akal pula ialah dengan pemahaman makna ayat.
Peranan hati ialah untuk mengambil iktibar dan mempraktikkan dalam kehidupan seharian.
Kesimpulannya ; membaca al-Quran dengan penyertaan lidah, akal dan hati inilah yang dikatakan juga sebagai tadabbur al-Quran. Marilah kita semua keluar dari kepompong gelagat masyarakat terhadap al-Quran. Justeru itu, dalam membaca al-Quran ini perlulah juga menjaga akan tatatertib adab-adabnya.
Kita juga tahu ramadhan itu penuh dengan pelbagai keindahan, namum jangan jadikan ramadhan seperti pinggan cantik yang hanya menghiasi almari barangan cantik anda, sedangkan anda tidak dapat merasai apa yang terdapat di dalam pinggan yang cantik itu. jangan jadikan ramadhan kali ini sebagai sebagai Pusat Serenti, anggaplah ramadhan kali ini sebagai ramadhan yang terakhir buat diri kita...semoga kita semua beroleh manafaatnya....amin.
Wallahu’alam (senyuman minda berzikir)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan